Sepotong
roti bakar yang dipercayai dihidangkan pada 1981 untuk pewaris pertama
takhta diraja Britain, Putera Charles dilelong kelmarin pada harga
AS$359 (RM1,131), lapor agensi berita Reuters.
Roti
itu dihidangkan untuk sarapan pagi di Istana Buckingham pada hari
perkahwinan Charles dengan Puteri Diana pada 29 Julai 1981.
Pemilik roti itu sebelum ia dilelong ialah Rosemarie Smith yang kini berusia 83 tahun.
Roti itu tidak rosak kerana dia menyimpannya selama bertahun-tahun di dalam bekas kedap udara di sebuah almari rumahnya.
Menurut Smith, seorang anak perempuannya bekerja sebagai pelayan di istana tersebut.
Smith berkata, dia dan anaknya melihat Charles meninggalkan roti tersebut dari koridor istana.
Menurutnya, dia kemudian memikirkan untuk menyimpan roti tersebut.
Smith
berkata, pada tahun lalu, dia berpendapat roti tersebut mungkin
mempunyai nilai jika dilelong ekoran majlis perkahwinan antara anak
Charles, Putera William dengan Kate Middleton pada April tahun lalu.
Lelongan itu dikendalikan oleh Charles Hanson Auctioneers.
Terdapat dua pembida yang mahu membeli roti tersebut menerusi telefon. - Agensi