1. Kisah Jin IFRIT Mencuri Cincin Nabi SULAIMAN A.S. menarik perhatian Pemikir dan berhajat untuk berkongsi kisah ini dengan pembaca Blog Suara Pemikir. Apapun sumber asal cerita ini tidak dapatlah dipastikan. Kepada sesiap yang lebih arif bolehlah menilai dan melakukan tindakan susulan.
Nabi Sulaiman A.S. merupakan antara nabi yang yang memiliki mukjizat seperti mampu berkomunikasi dan melihat jin dan sebagainya. Antara mukjizat lain yang diberikan oleh Allah SWT pada Nabi Sulaiman a.s. adalah tertulis pada cincinnya namanya dan nama Allah SWT. Adapun setiap sesuatu yang tertulis padanya nama para Nabi dan nama Allah tidak boleh dibawa ke sebarang tempat seperti tempat-tempat yang hina seumpama tandas, tempat-tempat maksiat dan seumpamanya juga tidak boleh dipakai ketika tidur dan ketika berhadas besar.
Kerajaan Nabi
Sulaiman a.s. masyhur serta luas kekuasaannya sehingga anginpun tunduk
atas segala perintahnya. Maka ini memudahkan Nabi Sulaiman a.s. untuk
pergi ke suatu tempat yang dihajati dengan tidak perlu berkenderaan.
Cukup sekadar memerintahkan angin membawanya terbang di atas permaidani
sekiranya baginda yang diiringi oleh pembesar-pembesar kerajaannya mahu
menziarahi daerah kekuasaan baginda yang luas itu.
Pada suatu hari,
Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesar kerajaannya pergi
menziarahi salah sebuah daerah kekuasaan baginda dengan berkenderaan
permaidani yang diterbangkan angin sehingga baginda melalui sebuah
perkampungan nelayan yang terletak di tepi laut. Ketika itu kelihatan
penduduknya sedang menjemur ikan. Di antaranya terdapat gadis-gadis yang
turut serta menjemur ikan. Dari kalangan para gadis itu, ada seorang
gadis yang amat hitam rupanya dan tidak menarik perhatian kaum lelaki.
Apabila Nabi
Sulaiman a.s. dan para pembesarnya melalui tempat itu, maka penduduk
kampung menjadi kehairanan kerana tiba-tiba sahaja cuaca menjadi redup.
Lalu merekapun mendongak dan mendapati rombongan Nabi Sulaiman a.s.
sedang melalui kawasan itu.
Sedang mereka
dalam keadaan itu, berkatalah gadis yang hitam rupanya tadi: “Alangkah
bahagianya aku sekiranya aku menjadi permaisuri Nabi Sulaiman a.s.”
Apabila
teman-temannya yang lain mendengar ucapan gadis itu, mereka lalu
mentertawakannya dan mengejeknya dengan kata-kata menghiris hati: “Wahai
gadis tidak tahu diri, sesungguhnya hasratmu sekadar impian. Rupamu
yang hitam langsung tidak menarik perhatian. Inikan pula mahu
bersuamikan Nabi Sulaiman yang hebat kedudukannya. Sedangkan kami yang
mempunyai wajah menarik tidak bercita-cita untuk menjadi permaisuri
baginda. Apakah engkau tidak sedar bahawa orang-orang lelaki di kampung
kita inipun belum tentu mahu beristerikan engkau yang hitam legam lagi
tidak menarik hati? Cukuplah engkau berangan-angan!” Riuh rendahlah
suara mereka mentertawakan si gadis hitam tadi.
Mendengarkan
cemuhan dan hinaan mereka, merasa sayulah hati gadis yang malang itu.
Dirinya ibarat pungguk merindukan bulan. Rupa yang buruk tidak dipinta.
Akhlak yang baik lebih utama.
Setelah Nabi
Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesarnya selesai dari menjelajah ke
daerah kekuasaan baginda, merekapun balik ke rumah masing-masing.
Setibanya Nabi
Sulaiman a.s. di istananya, baginda berhajat untuk ke tandas. Sebelum
itu, baginda melucutkan cincin yang bertuliskan nama Allah dan namanya,
lalu diserahkan pada isterinya.
Pada masa itulah
datang jin Ifrit menyerupakan dirinya sepertimana Nabi Sulaiman a.s,
lalu menemui isteri baginda dan berkata: “Wahai isteriku, ambilkan
cincinku tadi.” Tanpa merasa ragu, isteri baginda menyerahkan cincin itu
pada Ifrif kerana menyangka dirinya Nabi Sulaiman a.s.
Apabila Nabi
Sulaiman a.s. selesai melepaskan hajatnya, baginda meminta dikembalikan
cincinnya tetapi isterinya berkata: “Sesungguhnya telah aku kembalikan
sebentar tadi.” Nabi Sulaiman a.s. diam kehairanan. Kemudian baginda
berkata: “Baru inilah aku meminta kembali cincin itu.” Tetapi isteri
baginda tetap mengatakan bahawa ia telah diserahkan.
Nabi Sulaiman
a.s. merasa serba salah dan curiga. Kemungkinan cincin itu telah dicuri
oleh seorang yang menyamar sebagai diri baginda kerana isterinya tidak
mempunyai alasan untuk menyerahkan barang kepunyaannya kepada sesiapapun
jua.
Adapun Ifrit
setelah ia mencuri cincin tersebut, iapun masuk ke dalam istana kerajaan
dan duduk di singgahsana sambil memerintah rakyat Nabi Sulaiman a.s. ke
istana dan mendapati seorang yang menyerupai dirinya duduk di atas
singgahsana. Maka fahamlah baginda kedudukan perkara.
Lalu baginda berkata: “Wahai rakyatku sekalian, sesungguhnya akulah Sulaiman, raja kamu yang sebenar.”
Jawab rakyatnya:
“Tidak, raja itulah yang sedang memberi ucapan. Kamu bukan raja kami.
Raja Sulaiman yang sebenar adalah dia yang duduk di kerusi singgahsana.
Kamu pendusta!”
Apabila
rakyatnya tidak percaya lagi pada baginda, maka baginda pun pergi
meninggalkan istana, menuju dari sebuah perkampungan ke perkampungan
yang lain dan menyatakan dirinya sebagai Raja Sulaiman tetapi kesemua
mereka menafikannya.
Akhirnya baginda
pergi ke sebuah kampung nelayan yang terletak di tepi laut, lalu
baginda menyatakan hajatnya untuk turut bekerja sebagai nelayan kepada
seorang nelayan di tempat itu. Nelayan itu menerima hajat baginda tanpa
menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Raja Sulaiman.
Nabi Sulaiman
a.s. menjalani kehidupannya sebagai seorang nelayan dengan baik dan
baginda bekerja bersungguh-sungguh tanpat mengenal jemu dan penat
sehingga menghasilkan pendaptan yang lumayan dengan nelayan itu.
Pada suatu hari, ketika baginda duduk berehat menunggu waktu makan tengahari, baginda tertidur oleh sebab keletihan.
Tidak lama
kemudian, datanglah anak gadis nelayan tersebut membawa makanan
tengahari. Berkata si nelayan kepada anaknya: “Wahai anakku, panggillah
Sulaiman untuk makan tengahari bersama kita.”
Gadis
tersebutpun pergilah mendapatkan baginda yang sedang tidur sambil
dikipas oleh seekor ular dengan sehelai daun. Alangkah terkejutnya gadis
itu melihat keadaan yang luar biasa ini, lalu segera dikhabarkan kepada
ayahnya. Apabila si nelayan menyaksikan sendiri perkara itu, ia pasti
baginda bukan sebarangan orang tanpa mengesyaki baginda adalah raja
Sulaiman. Mereka meninggalkan baginda sendirian sehingga akhirnya
baginda terjaga dari tidurnya dan merekapun menghadapi hidangan
tengahari bersama-sama.
Setelah beberapa
lama Nabi Sulaiman tinggal nelayan, maka nelayan itu bermaksud untuk
mengahwinkan anaknya dengan baginda. Nabi Sulaiman as tidak pula menolak
kehendak nelayan itu. Maka hiduplah Nabi Sulaiman a.s. bersama gadis
hitam yang pernah bercita-cita untuk menjadi isterinya suatu masa dahulu
sebagai suami isteri yang sah tanpa gadis itu menyedari bahawa Tuhan
telah menjadikan impiannya suatu kenyataan.
Manakalah di
istana yang telah ditinggalkan baginda, Ifrit menyamar sebagai Nabi
Sulaiman as memberikan pengajaran yang menyesatkan manusia. Berpunca
dari amarannya yang jahat itu, Ifrit tidak sanggup menyimpan cincin
baginda yang dicurinya itu, kerana khianatnya cincin itu lalu
dicampakkannya ke dalam laut yang kemudiannya ditelan oleh seekor ikan.
Ifrit meninggalkan takhta kerajaan. Ketika itulah orang ramai baru
menyedari kepalsuan orang yang selama ini mengaku dirinya Raja Sulaiman
rupanya jin yang menyamar sebagai baginda.
Segala sesuatu hanya Allah swt yang menentukan.
Sebagaimana
biasa, nelayan dan Nabi Sulaiman as keluar menangkap ikan sebagai
memenuhi keperluan hidupnya. Kebetulan pada hari itu, masuklah ikan yang
menelan cincin Nabi Sulaiman as ke dalam pukat mereka. Menjelang senja,
kembalilah mereka ke rumah. Sebahagian daripada ikan yang ditangkap
hari itu mereka jemur manakala sebahagian lagi dijadikan hidangan makan
malam.
Tatkala isteri
baginda menyiang ikan yang akan dimasak malam itu, tiba-tiba ditemui
dalam perut ikan itu sebentuk cincin yang bertuliskan nama Nabi Sulaiman
as dan nama Allah.
Segeralah isteri
baginda mengkhabarkannya. Demi melihat baginda akan cincin itu, baginda
terus mengucap syukur sebanyak banyaknya kepada Tuhan kerana haknya
telah dikembalikan tanpa ia duga sementara rasa kasih terhadap isterinya
semakin bertambah.
Setelah cincin itu disarungkan, barulah rakyat baginda meyakini bahawa baginda adalah sebenarnya Raja Sulaiman.
Nabi Sulaiman as
bermaksud untuk kembali ke istana dan melihat keadaan rakyat baginda
yang telah lama ditinggalkan. Baginda juga berhasrat untuk membawa
isteri baginda bersama-sama tetapi merasa keberatan kerana ditakuti
isterinya akan menjadi bahan ejekan berpunca dari kehitaman rupanya itu.
Baginda lalu berdoa kepada Allah Taala supaya mengubah rupa isterinya
yang hodoh itu menjadi cantik. Doa baginda dimakbulkan sehingga merasa
cemburulah teman-teman yang pernah menghina dan mengejek isterinya
dahulu.
Baginda beserta isterinya kembali ke istana dengan disambut meriah oleh rakyat jelata yang telah menyedari kesilapan meraka.
Kemudian pada
suatu hari, dikumpulkanlah sekalian rakyatnya, baik dari golongan
manusia, jin dan juga binatang kerana Nabi Sulaiman ingin mengetahui
siapakah yang telah mencuri cincin baginda dan menyesatkan rakyat dengan
perbuatan durjana. Sesiapa yang telah melakukan kesalahan pasti takut
untuk bertemu dengan baginda.
Setelah sekalian
rakyat berkumpul, ternyata yang tidak hadir adalah jin Ifrit. Dengan
ini, diisytiharkan bahawa Ifritlah yang telah mencuri cincin baginda.
Mendengar kenyataan ini, merasa marahlah golongan jin terhadap Ifrit
kerana telah memalukan bangsa mereka di khalayak ramai. Lalu Nabi
Sulaiman as memerintahkan beberapa orang bangsa jin untuk menangkap
Ifrit. Bangsa jin yang diperintah itu segera pergi mencari tempat
persembunyian Ifrit.