Setelah anak saya genap dua tahun, saya memberhentikan penyusuan. Tetapi air susu saya masih ada kalau dipicit. Setiap minggu apabila saya picit, keluar air susu yang pekat dan seakan berwarna coklat cair.
Adakah keadaan itu normal? Adakah saya perlu makan ubat untuk memberhentikan susu atau membiarkan ia kering sendiri? Saya risau kerana ada pendapat mengatakan air susu yang tidak dikeluarkan dengan betul akan menjadi punca barah.
Harap doktor dapat memberi nasihat.
Kuala Lumpur.
Jawapan
SEKIRANYA tiada ketulan atau bengkak pada payudara, doktor mungkin hanya akan mengambil contoh susu atau cecair terbabit untuk ujian sitologi. Selain itu, ujian imbasan ultrabunyi juga mungkin akan dilakukan untuk mengesan bengkak.
Perbuatan memicit payudara sebenarnya akan merangsang aktiviti payudara mengeluarkan susu.
Jika anda berniat untuk menghentikan penyusuan badan, anda perlu berhenti daripada berbuat demikian. Terdapat juga ubat yang hanya diambil sekali saja, bertujuan untuk segera menghentikan pengeluaran susu.
Pendapat mengenai air susu yang tidak dikeluarkan dengan betul akan menjadi punca barah sukar diterima pakai kerana kita tidak pasti sama ada susu sudah habis dikeluarkan dari dalam payudara. -SUMBER