Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam berlaku selepas sebuah lori treler yang membawa muatan papan lapis hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan sehingga mengakibatkan papan lapis berkenaan menggelongsor menghempap kereta dinaiki empat pelajar itu.
Mangsa dipercayai pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah dialaminya di bahagian kepala akibat dihempap muatan lori treler terbabit.
Bagaimanapun, pemandu lori treler terbabit dikatakan melarikan diri selepas kejadian itu.
Difahamkan, lori treler itu yang datang dari arah Pekan Danok, Thailand tiba-tiba hilang kawalan dipercayai berpunca masalah brek sebelum hilang kawalan ketika menuruni bukit menghampiri Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.
Kereta model Perodua Kancil dinaiki mangsa pada mulanya dikatakan mengekori lori berkenaan sebelum cuba memotongnya apabila mendapati lori hilang kawalan namun sebaik berada di sebelah kiri lori treler itu papan lapis diatasnya mula menggelongsor dan menghempap bahagian belakang kereta.
Ia mengakibatkan kereta mangsa remuk teruk menyebabkan mangsa yang berada di bahagian kanan belakang maut ditempat kejadian manakala rakan disebelahnya cedera parah. Dua lagi rakan mangsa di bahagian hadapan dilaporkan cedera dan masih dirawat di Hospital Jitra.
Pegawai Penyiasat Polis Daerah Kubang Pasu, Inspektor Juhaisham Jusoh ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu mangsa berasal dari ipoh dan baru mendaftar sebagai pelajar di UUM.
Katanya, semua mangsa yang belum dikenalpasti identitinya itu sudah dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, berdasarkan maklumat dalam laman twiter Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sehingga jam 11 pagi ini menyatakan pihaknya masih belum dapat mengalihkan lori berkenaan yang tersangkut pada pembahagi jalan namun sudah membuka laluan itu untuk kegunaan ramai berikutan kerja-kerja mengalihkan papan lapis berkenaan selesai dijalankan awal pagi tadi.-SUMBER