MANGALORE, India - Mayat
jururawat Hospital King Edward VII, London, Jacintha Saldanha, 46, yang
ditemui mati selepas menggantung diri di kediamannya kerana ditipu dua
penyampai radio dari sebuah stesen radio Australia yang menyamar sebagai
pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera
Charles tiba di sebuah lapangan terbang di sini semalam untuk
dikebumikan.-SUMBER
Majlis pengebumian
Saldanha dijangka berlangsung pada hari ini di kampung halaman suaminya,
Benedict Barboza di Shirva kira-kira 50 kilometer dari Mangalore.
Barboza bersama-sama kedua-dua anaknya Lisha, 14, dan Junal, 16, mengiringi jenazah Saldanha sepanjang penerbangan ke sini.
Paderi Gereja Our Lady of Health, Stany Tauro berkata, mayat Saldanha akan dikebumikan pada pukul 4 petang waktu tempatan.
Seramai 5,000 orang dijangka hadir pada majlis tersebut.
Saldanha ditemui mati
pada 7 Disember lalu di kediaman untuk kakitangan hospital tersebut,
tiga hari selepas menyambung panggilan kepada rakan setugasnya yang
mendedahkan berita mengenai tahap kesihatan isteri Putera William, Kate
Middleton.
Kate sebelum ini dilaporkan loya ekoran kehamilannya dan di dirawat di hospital tersebut selama empat hari.
William ialah cucunda ratu tersebut.
Saldanha yang berketurunan India turut mempunyai kecederaan di pergelangan tangan dan meninggalkan tiga keping nota.
Kedua-dua penyampai
stesen radio 2Day FM, Michael Christian dan Mel Greig bertindak memohon
maaf dalam satu wawancara di televisyen pada minggu lepas.
Ekoran penyamaran itu,
kedua-dua penyampai radio tersebut menerima kritikan pelbagai pihak
kerana menyebabkan kematian yang tragis itu.
Laporan di akhbar Sunday
Times semalam menyatakan Saldanha terlibat dengan perbalahan bersama
seorang rakan setugasnya sebelum kematiannya.
Dia juga dilaporkan tidak gembira yang layanan yang diberikan pihak pengurusan hospital ekoran kejadian tersebut.
Kelmarin, sejumlah
pelajar India berarak ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di New Delhi
bagi menuntut keadilan terhadap kematiannya. - Agensi