PENYANYI Najwa Latif agak jarang dikaitkan dengan sebarang
kisah kontroversi. Biarpun begitu, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor berusia
17 tahun itu terpaksa akur apabila dia turut tidak dapat mengelakkan diri
daripada dilanda isu sensasi sehingga dirinya diperkatakan ramai.
Baru-baru ini, sebuah akhbar telah melaporkan tentang luahan
bapanya, Abdul Latif Ismail yang mendakwa Najwa telah meminggirkan dirinya
sebagai seorang bapa.
Bapa Najwa juga mendedahkan anaknya itu kini sudah lalai
dalam pelajaran sejak bergelar penyanyi.
Dalam kenyataan tersebut juga seolah-olah menggambarkan
penyanyi muda berbakat besar itu sebagai seorang anak derhaka dan sudah mula
lupa diri setelah mencipta nama dalam bidang nyanyian.
Sehubungan itu, Kosmo! menghubungi penyanyi yang popular
menerusi lagu Muka Cinta Buku itu semalam bagi mendapatkan kepastian tentang
isu tersebut.
Kosmo!: Najwa baru hendak membuat kemunculan semula setelah
lama cuti menyanyi. Adakah Najwa kecewa apabila terdapat cerita kurang baik
tentang anda yang telah dipaparkan dalam media?
NAJWA: Sama ada saya kecewa atau tidak, saya terpaksa
berhadapan dengan segala apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang lebih penting
saya perlu terus menjadi seorang yang kuat dan bersemangat untuk menghadapi
semua itu.
Dalam perkara ini, saya cuma menganggap setiap perkara yang
telah terjadi ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Jadi, lebih baik sekiranya
saya kembali fokus kepada kerjaya sahaja tanpa memikirkan perkara peribadi.
Najwa sudah bersedia untuk menceritakan hal yang sebenar?
Saya minta maaf kerana tidak akan memberi sebarang komen
buat masa sekarang kerana isu yang timbul ini melibatkan keluarga. Kalau saya
buka mulut dan bercerita, sudah tentu saya akan mengaibkan keluarga dan itulah
perkara yang saya mahu elakkan sekarang.
Dengan cerita yang didedahkan itu, adakah Najwa fikir ia
akan menjejaskan kerjaya dan periuk nasi anda sebagai penyanyi?
Sebenarnya saya lebih percaya bahawa setiap rezeki yang
diperoleh itu semuanya telah ditentukan oleh Allah. Sekiranya terdapat sebarang
tawaran membuat persembahan ditarik balik, saya anggap itu bukan rezeki dan
terima dengan hati terbuka.
Apakah reaksi peminat terhadap cerita berkenaan?
Saya berasa sangat lega dan gembira kerana para peminat
masih tetap menyokong saya, malah ada antara mereka yang turut memberi
pandangan supaya saya tidak memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.
Bagaimana perasaan Najwa setelah tamat menjalani peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
Pastinya saya sangat teruja kerana banyak perkara yang boleh
saya lakukan sekarang tanpa halangan, terutamanya kembali menyambung karier
nyanyian saya. Selain itu, saya kini sedang dalam proses untuk mendapatkan
lesen kereta.
Apabila Najwa menyambung pelajaran nanti, apakah jurusan
yang ingin diambil?
Dengan kerjaya saya sekarang ini pasti ramai yang ingat saya
akan mengambil jurusan seni, tetapi sebenarnya saya telah merancang untuk
belajar dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Salah satu faktor utama yang menyebabkan saya ingin
mengambil jurusan tersebut kerana saya memang meminati bahasa Inggeris. Bagi
saya, lebih baik saya ambil jurusan yang saya memang minat agar lebih mudah
memahami setiap yang diajar.
Apakah perkembangan terbaharu Najwa sekarang?
Pada 15 Disember ini saya akan membuat persembahan pada
majlis Anugerah Planet Muzik, Singapura. Seminggu kemudian saya kembali semula
ke Singapura untuk menjayakan showcase Najwa Latif Live In Singapore yang akan
berlangsung The Joyden Hall @ Bugis pada 21 Disember ini.
sumber : http://www.1newsonline.com/2012/12/komen-balas-isu-najwa-latif-derhaka.html