Sumber Dari mStar Online
Pelakon Farid Kamil bukan sahaja
tidak mendapat kebenaran untuk memakai uniform pasukan keselamatan pada
majlis resepsi persandingannya dengan Diana Danielle tetapi telah
mengenakan pakaian yang cacamarba.
Pegawai
Perhubungan Media, Unit Komunikasi Kementerian Pertahanan, Leftenan
Komander Rahimah Taib berkata, pakaian “istiadat” itu tidak mencerminkan
anggota beruniform di negara ini kerana ia tidak selari dengan imej
pasukan berkenaan.
“Pada dasarnya baju,
seluar dan topi dipakai Farid itu adalah pakaian anggota Polis Diraja
Malaysia (PDRM) manakala lencana pada bahunya adalah lambang mejar
jeneral Tentera Darat.
“Lencana
penerbangan di bahu kanan pula menggambarkan seseorang itu adalah
anggota Tentera Udara,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di
sini pada Isnin.
Tambah Rahimah, sekiranya Farid benar-benar berhajat untuk menyarungkan
uniform tentera pada majlis itu, dia boleh membuat permohonan rasmi
untuk dipertimbangkan.
Pihak beliau tiada masalah untuk tujuan tersebut kerana selama ini
mana-mana penerbit yang ingin menggunakan pakaian tentera bagi
watak-watak tertentu dalam filem atau drama akan mendapat nasihat cara
pakaian sebenar sebagai seorang anggota tentera.
“Kami tidak menerima apa-apa permohonan daripada Farid berhubung
perkara itu tetapi langkahnya mencampuradukkan pangkat dan pakaian
pasukan beruniform di negara ini adalah tidak wajar,” katanya.
Sehubungan itu pihaknya akan menghantar surat teguran kepada Farid
supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut namun tiada tindakan
undang-undang dapat dikenakan disebabkan pakaian yang disarungkan itu
tidak mencerminkan mana-mana pasukan keselamatan di negara ini kerana ia
bersifat cacamarba.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Urusetia) Jabatan,
Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman,
Asisten Komisioner, Zulkifli Alias pula berkata Farid tidak melakukan
sebarang kesalahan terhadap pasukan itu kerana pakaian yang digayakannya
tidak melambangkan imej sebenar PDRM.
sumber ; http://zamani84.blogspot.com/2012/12/kisah-sebenar-di-sebalik-pakaian.html