Uniform menyerupai polis
Mohd Adnan (dua, kiri) menunjukkan pelbagai baju uniform menyerupai uniform polis yang dirampas dalam serbuan di rumah suspek di Taman Chi Liung, Klang, kelmarin.
Uniform menyerupai polis
Mohd Adnan menunjukkan alat walkie talkie dan Mohd Amirul menunjukkan lencana serta lambang pertubuhan yang dirampas di Ibu Pejabat Agensi Ranger Khas Malaysia di Pandan Indah, Ampang.
 
 
SHAH ALAM - Seorang kontraktor binaan yang terlibat membantu mengendalikan sebuah pertubuhan tidak berdaftar, Agensi Ranger Khas Malaysia ditahan polis dalam serbuan di rumahnya di Taman Chi Liung, Klang, kelmarin.

Suspek lelaki yang juga orang kanan pertubuhan itu ditahan pada jam 8 malam, susulan aduan yang diterima polis pada 9 Jun lalu mengatakan pertubuhan itu bukan sahaja tidak berdaftar malah turut menggunakan baju uniform menyerupai pakaian polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, selepas penahanan dibuat ke atas suspek lelaki berusia 44 tahun itu, pihaknya merampas pelbagai uniform yang tertera logo pertubuhan serta nama beberapa individu dipercayai ahli pertubuhan terbabit.

Beliau berkata, uniform dirampas menyerupai uniform polis dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada serbuan di ibu pejabat pertubuhan terbabit yang berpusat di Pandan Indah, Ampang.

"Pemeriksaan menemui antaranya pelbagai dokumen keahlian, sijil, alat walkie talkie, lambang pertubuhan, lampu siren serta cop pertubuhan.

"Siasatan mendapati pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) itu beroperasi sejak 2010 dan kini memiliki kira-kira 200 ahli," katanya pada sidang media, semalam.

Mohd Adnan berkata, siasatan awal menunjukkan semua ahli pertubuhan itu dikehendaki mengisi borang yang disediakan dan membayar yuran penyertaan RM120 bagi tempoh dua tahun.

Menurutnya, semua ahli kemudiannya akan diberi latihan khusus pada Sabtu dan Ahad di Bahau, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti bahawa pertubuhan ini aktif beroperasi di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak.

Katanya, siasatan dapati pertubuhan ini berfungsi melakukan kerja berkaitan dengan keselamatan, lalu lintas, rondaan dan memberi bantuan-bantuan kemasyarakatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar penubuhan agensi berkenaan, termasuk sama ada mereka memperdaya ahli dengan meminta wang," katanya.

Beliau berkata, orang ramai khususnya yang menjadi ahli pertubuhan diminta tampil atau berhubung pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Amirul Abdullah di talian, 012-4748870.