Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak
Kesan digigit bekas suami
Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak
Mangsa menunjukkan kecederaan yang dialami.
Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak
Mangsa (kiri) menceritakan kejadian malang itu kepada Noor Hanim dan Sze Han.\
 
 
PUCHONG - “Saya meronta-ronta minta bekas suami berhenti memukul tetapi dia mencekik, memijak perut dan menendang saya berkali-kali tanpa belas kasihan,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zee.

Perbalahan yang didakwa mangsa bermula dengan pertengkaran mulut berakhir tiga jam selepas itu apabila dia berjaya melarikan diri ke pos pengawal keselamatan di kediaman dihuninya di Bandar Kinrara, di sini.

Kejadian pada Ahad lalu katanya, bermula apabila bekas suami yang tinggal berasingan sejak dua bulan lalu tiba-tiba muncul di depan pintu pagar rumahnya.

Menurut wanita berusia 37 tahun itu, bekas suaminya bertanya sama ada dia mahu merujuk semula sekiranya mahkamah mendapati talak dilafaz sebelum ini tidak sah.

Zee, yang bekerja sebagai pereka dalaman sambilan berkata, keengganan dia menuruti kehendak bekas suaminya itu menyebabkan lelaki itu tiba-tiba naik angin dan meludah mukanya beberapa kali.

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu dakwanya terus menarik dan mengheret dia masuk ke dalam rumah sebelum memukulnya berkali-kali.

Sambil memaki hamun dengan menuduh dia perempuan sundal dan pelacur murahan, Zee mendakwa bekas suaminya itu menendangnya.

Dakwanya dia percaya lelaki itu menyerangnya di bawah pengaruh alkohol dan mungkin terjebak
dengan dadah.

“Ketika bergelut itu, dia baling bekas abu rokok namun nasib baik ia tidak mengenai kepala saya. Kejadian disaksikan pembantu rumah dan anak lelaki saya yang berusia lima tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembantunya tidak berani menolong kerana diugut lelaki itu dan akibat tidak mampu menahan sakit dicekik, dia kemudian bertindak mencakar muka bekas suaminya itu.

Berang dengan tindakan itu, lelaki itu katanya menggigit bahunya dan terus membelasah tubuh badannya sehingga bengkak dan lebam.

Insiden berlaku hampir tiga jam itu, katanya, tanpa mendapat bantuan sesiapa sehinggalah dia mempunyai kekuatan melarikan diri ke pos pengawal untuk menghubungi pihak polis.

“Bekas suami itu tinggal di rumah adiknya tidak jauh dari rumah yang saya sewa, selepas kejadian dia terus mengugut menggunakan SMS, dengan mengatakan tengok malam nanti apa akan jadi, saya rasa takut sangat untuk keluar rumah sekarang.

“Ketika membuat laporan polis awal pagi Isnin lalu, dia tanpa rasa takut dan segan menendang dan meludah ke muka saya meski ada anggota polis di situ,” katanya.

Zee berkata, dia berkahwin dengan bekas suaminya berusia 43 tahun itu pada 2006 selepas berkenalan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun mereka berdua mula tinggal berasingan selepas bekas suaminya melafazkan talak tiga, dua bulan lalu.

Katanya, bekas suaminya memeluk agama Islam pada tahun yang sama namun mula menunjukkan belang dan sikap panas baran dua tahun selepas perkahwinan.

Ketika mengandung anak tunggalnya, Zee berkata, dia pernah ditendang hanya kerana melakukan kesalahan kecil malah dakwanya sepanjang perkahwinan dia sudah lebih 20 kali dibelasah suaminya.

Jelasnya, beberapa hari lalu bekas suaminya menghantar SMS berbunyi, ‘aku akan mati di depan mahkamah Khamis ini (hari ini) kerana enggan rujuk semula'.

“Esok (hari ini) kes kami akan disebut di mahkamah syariah disebabkan itu dia cuba mengugut dan menghantar SMS sedemikian,” katanya yang mengadukan kejadian kepada Adun Kinrara, Ng Sze Han dan Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.