Karaoke ala disko kena serbu
Awaluddin menerangkan sesuatu kepada seorang pengusaha kedai makan karaoke (duduk, kiri) sambil diperhatikan penguat kuasa dan pelanggan.
Karaoke ala disko kena serbu
Pemilik premis kedai makan karaoke (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan Awaluddin.
SABAK BERNAM –Terdapat beberapa kedai makan di sekitar daerah ini dikesan menyelitkan karaoke ala ‘disko terbuka’ sehingga lewat malam bagi menarik kehadiran pelanggan untuk menikmati makanan sambil berhibur.

Hampir setiap malam, kedai makan karaoke itu menjadi lokasi pilihan warga emas dan pertengahan umur, lelaki dan perempuan melepaskan geram dengan berkaraoke sambil menari dengan pelbagai pilihan irama muzik.

Malah, terdapat pentas lengkap dengan sistem audio dan lampu ibarat berada dalam disko selain khemah yang dipasang bagi memuatkan meja dan kerusi yang cukup untuk menampung kira-kira 50 hingga 100 pengunjung dalam satu-satu masa.

Kebanyakan lagu yang dinyanyikan pelanggan berkonsepkan irama dangdut selain irama 60-an dan moden yang sudah tentunya membingitkan telinga mereka yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Tidak hairanlah, apabila penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sering kali merungut dan membuat aduan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berhubung dengan tindakan pengusaha kedai makan yang menawarkan hiburan karaoke kepada pelanggan.

Lari berkaki ayam

Bimbang gejala itu berleluasa terutama ketika umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadan, MDSB dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam dan Polis bertindak menggempur kedai makan berkenaan.

Pelbagai aksi dapat dilihat semasa serbuan itu, termasuk kelibat seorang wanita berpakaian seksi hitam yang sanggup berkaki ayam apabila mengetahui kedai makan terbabit diserbu pihak berwajib.

Wanita terbabit yang bertumit tinggi itu terpaksa menanggalkan kasutnya bagi meloloskan diri, mengelakkan dia ditahan dan meninggalkan premis itu kerana bimbang disoal siasat pihak berkuasa.

Selain aksi wanita itu, seorang pemuda turut melepaskan kemarahannya dengan menendang meja dan kerusi kedai makan kononnya kehadiran penguat kuasa itu seolah-olah menutup pintu ‘rezeki’ keluarganya.

Malah, di sebuah kedai makan yang diserbu pula, seorang wanita yang sedang asyik menyanyi tidak menyedari kehadiran penguat kuasa untuk memeriksa kedai makan terbabit.

Bertindak atas aduan

Setiausaha MDSB Awaluddin Zakaria berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 30 anggota terdiri daripada penguat kuasa MDSB, Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam, polis dan dua wakil ahli MDSB.

Beliau berkata, operasi bersepadu yang dijalankan bermula pada jam 10.30 malam dan berakhir 1.30 pagi itu menumpukan empat lokasi utama kedai makan karaoke di sekitar daerah itu.

Menurutnya, sebanyak empat premis kedai makan yang diperiksa dalam operasi itu didapati menjalankan aktiviti hiburan karaoke malam seperti mana aduan yang diterima MDSB daripada orang awam.

“Kita telah menerima banyak aduan daripada penduduk yang memaklumkan kepada kami bahawa, aktiviti karaoke kedai makan telah menyebabkan kacau ganggu persekitaran kerana bunyinya yang bising.

“Malah, kita juga difahamkan, beberapa premis turut terdapat tarian-tarian hiburan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Awaluddin, pihaknya akan menghantar surat kepada lapan lagi premis kedai makan karaoke kecil sekitar daerah itu yang turut menjalankan kegiatan yang sama.

“MDSB akan mengeluarkan surat dalam kadar segera untuk mengingatkan pengusaha kedai makan supaya menutup operasi hiburan karaoke.

“Sekiranya, masih enggan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan, termasuk menutup keseluruhan operasi premis terbabit.

Semua pengusaha kedai makan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1996 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau lima tahun penjara
jika sabit kesalahan.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/karaoke-ala-disko-kena-serbu-1.177163