Pelakon nekad saman pengarah
Pelakon baru berusia 22 tahun ditemui Sinar Harian ketika hadir ke IPD Tampin, semalam bagi memberi keterangan.
 
 
TAMPIN – “Saya akan saman. Jangan anggap pelakon baru senang disentuh dan diugut untuk mendiamkan diri," kata pelakon yang menjadi mangsa cabul seorang pengarah drama.

Pelakon berusia    22 tahun itu ditemui Sinar Harian ketika dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam bagi direkodkan keterangan berhubung insiden cabul yang berlaku di tempat penginapan di bandar ini, awal tahun ini.

Menurutnya, mencabul merupakan kejadian terbaru membabitkan perbuatan keji pengarah itu kerana kejadian kali pertama semasa pengarah berusia sekitar 60-an itu menghantarnya pulang ke Damansara.

“Pada masa itu saya terkejut dengan perbuatannya, namun pengarah itu ugut saya diamkan diri.
Sekiranya perkara ini tersebar, nama saya dalam dunia lakonan akan 'gelap'.

“Saya memang minat berlakon, tetapi kerana insiden itu, saya takut untuk menerima tawaran berlakon. Jika diikutkan, pengarah itu merupakan pengarah ketiga yang pernah saya bekerjasama dan pengalaman bekerja dengannya memang benar-benar menakutkan saya,” katanya.

Beliau berkata, selepas insiden yang berlaku antara Januari dan Februari lalu, pengarah berkenaan ada memberi tawaran berlakon kepadanya, tapi dia menolak kerana tidak mahu perkara sama berulang.

“Cukuplah insiden sebelum ini. Saya nekad untuk membuat laporan polis serta berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas bagi memberi pengajaran kepada pengarah berkenaan," katanya.

Difahamkan, insiden yang berlaku itu semasa beliau jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tiga hari berturut-turut apabila pengarah itu sesuka hati meraba tubuhnya dan menciumnya jika dia terleka.

“Saya harap apa yang berlaku kepada saya jadi tauladan. Malah, saya harap pengarah itu juga akan mendapat hukuman setimpal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kes dalam siasatan polis.

"Hari ini (semalam), kita memanggil pelakon berkenaan untuk merekod keterangannya," katanya.