D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

10 Jun 2013

SATE IKAN TILAPIA


DUa orang pelanggan restoran Sate Kajang Hj. Samuri teruja melihat sate ikan. 
 
 
BAGI menjamin produk makanan yang berkualiti dan selamat dimakan, aktiviti ternakan akuakultur yang baik perlu diadaptasikan menerusi amalan pensijilan seperti Sijil Amalan Akuakultur Baik (SAAB).
Berikutan usaha tersebut, Jabatan Perikanan dengan kerjasama beberapa pihak swasta memulakan usaha mempromosi serta memperkenalkan produk nilai tambah berasaskan ikan air tawar iaitu sate ikan.
Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, Malaysia merupakan negara yang mempunyai penggunaan perkapita ikan yang tertinggi di dunia.
"Permintaan ikan sebagai sumber makanan dijangka meningkat kepada 1.9 juta tan metrik menjelang tahun 2020.
"Peningkatan permintaan ikan didorong oleh pertambahan jumlah penduduk dan kecenderungan para pengguna mengambil sumber protein yang sihat.
"Kecenderungan tersebut menjadikan harga ikan marin melambung naik, justeru itu, jabatan mengambil inisiatif memperkenalkan ikan air tawar sebagai pilihan," katanya dalam majlis Promosi Makan Sate Ikan anjuran bersama Sate Kajang Hj. Samuri serta pihak Tilapia House Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Jelas Ahamad Sabki, bagaimana pun ikan air tawar kurang digemari jika tiada produk sampingan dihasilkan daripadanya.
Oleh yang demikian, syarikat Sate Kajang Hj. Samuri mengambil pendekatan terbaru dengan menghasilkan sate daripada isi ikan air tawar iaitu ikan tilapia.
Pemilik syarikat tersebut, Datuk Samuri Juraimi berkata, pengenalan terhadap produk sate ikan tersebut adalah bertujuan menyahut seruan Jabatan Perikanan bagi menggalakkan penyertaan syarikat swasta agar meningkatkan pengeluaran ikan dan produk berasaskan ikan untuk pengguna domestik.
"Selain itu, usaha ini juga adalah selaras dengan matlamat kerajaan bagi memperkenal dan menggalakkan orang ramai menjadikan ikan air tawar sebagai pilihan utama pengguna di negara kita," katanya.
Tambah Samuri, pihaknya telah lama melakukan kajian untuk menghasilkan sate ikan yang berkualiti di samping pelbagai jenis sate yang disediakan.
Antara isi ikan yang pernah dicuba adalah isi ikan kerapu, isi ikan dory, juga isi ikan Aruan Tasik (Cobia).
Namun, semuanya tidak dapat memenuhi keperluan asas serta standard yang diingini untuk dijadikan sate ikan.
Setelah isi ikan marin tidak dapat memenuhi standard yang dikehendaki, Samuri beralih kepada ikan air tawar dan antara yang sesuai adalah isi ikan tilapia.
"Terus terang saya katakan, penggunaan isi ikan ini (tilapia) pada mulanya kurang menarik minat pihak syarikat kerana ikan ini secara amnya dikenali sebagai ikan sungai yang sinonim dengan bau hanyir yang kuat.
"Bagaimanapun, penggunaan isi ikan tilapia yang dipelihara menerusi teknologi penternakan dari Norway ini ternyata mengubah persepsi kami," katanya.
Jelas Samuri, apabila kajian dilakukan, pihaknya amat berpuas hati kerana isi ikan yang diternak tidak berbau hanyir dan menepati kualiti yang dikehendaki di samping harga yang amat berpatutan.
Persis sate ayam, sate ikan tilapia keluaran Sate Kajang Hj. Samuri tidak berbau hanyir serta sedikit pejal berbanding tekstur isi ikan yang lain.
Sate ikan itu juga dijual pada kadar harga 70 sen secucuk sama seperti harga sate ayam dan daging menjadikannya pilihan tetap pelanggan apabila mengunjungi restoran tersebut.
Dalam pada itu, kajian Jabatan Perikanan mendapati produk tersebut mengandungi lemak Omega 3 yang mampu mengurangkan risiko darah tinggi dan penyakit jantung serta dapat meningkatkan fungsi otak.
Produk sate ikan tersebut dipercayai mampu diketengahkan di kalangan masyarakat kerana rasanya yang enak setanding dengan sate ayam, daging dan lain-lain jenis sate.
Malah, pengurniaan pensijilan seperti SAAB, Sijil Pengiktirafan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM), Global GAP (Good Aguaculture Practice) mampu meningkatkan kepercayaan pelanggan.
Pengeluaran komoditi akuakultur terutama ternakan ikan air tawar merupakan satu industri yang semakin mendapat perhatian.
Data pada tahun 2011 menunjukkan pengeluaran hasil akuakultur air tawar adalah sebanyak 122, 218.73 metrik tan yang bernilai RM684.15 juta.
Pengeluaran akuakultur di Malaysia dijangka meningkat kepada 790,000 metrik tan menjelang tahun 2020. Peningkatan tersebut bakal menjamin bekalan bahan mentah untuk industri pemprosesan produk berasaskan ikan air tawar mencukupi.

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog