19 GRO warga asing ditahan
Salah seorang GRO yang cuba bersembunyi ketika operasi dilakukan.
JOHOR BAHRU - Seramai 19 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops Sayang di sebuah pusat hiburan terletak di Stulang Laut, di sini kelmarin.

Serbuan jam 11.50 malam itu disertai oleh 20 anggota dan pegawai diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Masri Adul.

Masri berkata, seorang daripada 19 GRO berusia 16 hingga 43 tahun terbabit merupakan wanita warga Indonesia, manakala selebihnya adalah rakyat Vietnam.

“Bertindak daripada aduan awam, anggota ops melakukan serbuan di Stulang Laut. Kehadiran anggota ops tidak disedari oleh GRO warga asing ini kerana berpakaian preman.

“Bagaimanapun, ketika anggota ops memperkenalkan diri, GRO warga asing ini ada yang bertindak untuk cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di bawah singki di dalam bilik,” katanya, di sini semalam.

Masri berkata, kesemua ditahan di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan dan bekerja tanpa pas serta permit.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/19-gro-warga-asing-ditahan-1.166889