Misteri Batu Nisan Bernyawa Di Kuala Lipis | Bagaimana yang dikatakan batu nisan boleh bernyawa? Mungkin para pembaca KisahBest.My tertanya-tanya. Di Kuala Lipis, terdapat sebuah kubur lama yang dipercayai batu nisannya semakin lama semakin meninggi. Biarpun cerita ini berlaku pada tahun 2011, misteri ini masih lagi belum diungkapkan. Oleh kerana kewujudan batu nisan bernyawa inilah, menyebabkan ada individu tertentu membuat cubaan untuk memuja. Boleh lihat gambar di bawah ini.
Misteri batu nisan sebuah kubur dipercayai berusia lebih 300 tahun yang seakan ‘bernyawa’ apabila semakin tinggi hingga mencecah hampir satu meter menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk Kampung Dusun di sini.
Kubur lama itu menempatkan cucu kepada
seorang mualaf yang juga kapitan Cina dikenali sebagai Loo Soon yang
membuka kampung berkenaan dan lelaki itu datang ke Kampung Dusun untuk
mencari emas.
Loo Soon atau nama Islamnya, Bedu Ahmad
atau Tok Dusun kemudian berkahwin dengan wanita tempatan dan memperoleh
empat anak. Seorang daripadanya dipanggil Tok Muda.
Penduduk kampung terbabit mendakwa, kubur mempunyai batu nisan bernyawa itu milik Karim Muda iaitu cucu kepada Tok Dusun
yang juga individu bertanggungjawab membuka perkampungan berkenaan.
Bekas Penghulu Kampung Dusun, Ahmad Nazri Abdul Rani, 73, berkata, keanehan batu nisan berkenaan membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya apakah fenomena sebenar di sebalik kejadian itu.
Katanya, batu sungai yang dijadikan nisan
itu pada mulanya tidaklah setinggi dilihat kini dan perkara itu amat
menghairankan penduduk.
“Kami percaya batu nisan itu hidup kerana
di sini ada lagi beberapa kubur dipercayai daripada keturunan Tok Dusun
yang diletakkan batu jenis sama untuk dijadikan nisan tetapi tidak pula
meninggi.
“Sehingga kini, penduduk kampung berusaha mengesan identiti sebenar kubur lain yang dipercayai daripada keluarga Tok Dusun untuk mencari salasilah individu dikatakan bertanggungjawab membuka kampung yang turut dinamakan sempena namanya itu,” katanya ketika ditemui.
Sambil menunjukkan ketinggian sebenar
batu nisan itu, Ahmad Nazri yang juga ‘orang lama’ di kampung berkenaan
berkata, dia percaya kejadian pelik itu bukti hikmah dan kekuasaan
Allah.
“Kita janganlah memikirkan yang bukan-bukan kerana apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya.
“Sebagai hambaNya, kita mesti percaya
pada apa yang berlaku dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan
menyalahi agama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Dusun, Ibrahim Aziz, 58, berkata, disebabkan keganjilan yang berlaku itu, penduduk kampung kini
berusaha menjaga kawasan tanah perkuburan berkenaan kerana khuatir
kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab berbuat syirik di kubur itu.
Katanya, mereka tidak mahu sesuatu perkara khurafat yang menyalahi
agama dilakukan di kawasan tanah perkuburan berkenaan apatah lagi di
‘kubur bernyawa’ itu.
“Kita sedia maklum benda pelik begini
mudah dijadikan pihak cetek agama sebagai tempat melakukan perkara
syirik seperti pemujaan nombor ekor dan sebagainya. “Justeru penduduk
kampung berusaha menjaganya supaya bebas daripada gangguan pihak tidak
bertanggungjawab itu,” katanya.
Ibrahim berkata, sehingga kini penduduk kampung masih tidak melihat sesuatu kejadian pelik berlaku di sekitar kubur berkenaan.
“Jika boleh, saya minta pihak berkenaan
datang menjalankan kajian di sini untuk mengenal pasti identiti sebenar
beberapa lagi kubur lain,” katanya.
SUMBER : http://kisahbest.my/2012/12/misteri-batu-nisan-bernyawa-di-kuala-lipis/