Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Tahun ini masuk enam tahun usia perkahwinan saya. Selama ini saya
tinggal bersama ayah dan kakak kandung.
Buat pengetahuan Dr, suami saya seorang yang baik dan tidak kisah
untuk tinggal dengan sesiapa pun. Ini menyebabkan kakak kandung
mengambil kesempatan terhadap saya dan keluarga dengan secara halusnya
mengawal segala pergerakan kami sekeluarga.
Ini menyebabkan suami tidak berapa suka dengan cara kakak saya itu. Suami tidak mahu lagi tinggal bersama kakak. Saya kasihankan ayah. Mana satu yang patut saya ikut, cakap kakak atau suami?
Saya sebenarnya masih keliru. Saya sedar tanggungjawab terhadap suami dan anak, tetapi mana satu yang patut saya utamakan? Saya harap Dr dapat membantu saya yang buntu dan tak sempurna ini.
Isteri buntu
Selangor
Sebagai isteri anda hendaklah mengutamakan suami dan keluarga sendiri. Memandangkan ayah sudah ada kakak yang menjaganya, anda dan suami sepatutnya tidak bermasalah untuk berpindah.
Seorang suami sepatutnya menyediakan tempat tinggal untuk isteri dan anak sama ada rumah sendiri atau rumah sewa.
Dengan tinggal berasingan dalam rumah sendiri, kehidupan keluarga menjadi lebih bahagia kerana suami dan anda yang akan mencorakkannya sendiri.
Bagaimanapun, hubungan silaturahim antara keluarga hendaklah dijaga agar tidak putus. Inilah tujuan Islam dalam membentuk keluarga besar dalam kehidupan bermasyarakat.