D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

21 September 2013

BAGAN SERAI : BAJU DALAM DI PAGAR ASRAMA

BAGAN SERAI - Bukan hanya baju dan seluar, malah pakaian dalam pelajar perempuan turut digantung pada pagar asrama sekolah.

Itu tindakan dilakukan pengurusan asrama sebuah sekolah agama di Kerian yang mendakwa ia sebagai hukuman dan denda terhadap pelajar yang gagal menuntut pakaian mereka.

Bapa seorang pelajar sekolah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, 49, berkata, dia kesal dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak wajar.

Menurutnya, tindakan keterlaluan dan memalukan pelajar itu diketahuinya ketika menghantar anak perempuannya pulang ke asrama Ahad lalu.

"Tindakan pihak pengurusan asrama sekolah ini sememangnya mengejutkan ibu bapa.

"Pakaian anak-anak kami digantung dan dipamerkan di pagar dan sekeping kadbod tertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar," katanya kepada Sinar Harian.

Shafie berkata, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mempertimbangkan hukuman lain yang lebih wajar.

“Kes ini sebenarnya hukuman terbaru dikenakan pengurusan asrama selepas hukuman denda keterlaluan lain dikenakan sebelum ini terhadap beberapa pelajar perempuan di sini, termasuklah hukuman ketuk ketampi sebanyak 100 kali diselangi berjalan itik sejauh 200 meter pada 26 Jun lalu.

“Persoalannya, mengapa tidak dikenakan hukuman lebih rasional terhadap pelajar yang bersalah?.

"Saya gesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat isu ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Shafie berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengemukakan aduan bertulis kepada pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan JPN Perak.

Menurutnya, tujuan aduan dikemukakan bukannya untuk mempertahankan kesalahan dilakukan pelajar tetapi mahu pihak pengurusan asrama sekolah terbabit lebih rasional dalam mengenakan hukuman ke atas mereka.

Katanya, tindakan mengantungkan pakaian dalam bukan hanya memalukan pelajar perempuan sekolah itu malah menjadikan mereka trauma kerana diejek pelajar lelaki yang menetap di blok bertentangan asrama pelajar perempuan.

Dia berkata, sebelum ini anaknya dan pelajar perempuan lain pernah dikenakan hukuman lain yang disifatkannya juga tidak wajar.

“Saya mendesak pentadbiran sekolah memberi jaminan kejadian sebegini tidak berulang memandangkan tindakan menjatuhkan hukuman keterlaluan ke atas pelajar seolah-olah sudah menjadi budaya sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, pengurusan sekolah itu enggan mengulas isu tersebut kerana Sinar Harian difahamkan, pihak terbabit tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran pihak JPN.

SUMBER : http://www.sinarharian.com.my/baju-dalam-di-pagar-asrama-1.203704

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog