Saya dan isteri masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Kami berkahwin beberapa tahun lalu.
Namun, sebelum itu saya mengenali seorang sahabat isteri dan saya
jatuh hati padanya, tetapi disebabkan bertunang dengan isteri ketika itu
adalah amat mustahil saya memutuskan ikatan pertunangan tanpa sebab
kukuh serta memikirkan hal keluarga kami.
Kadang-kadang saya terbayangkan melakukan hubungan kelamin dengan wanita terbabit walaupun pada hakikatnya saya sedang bersama isteri.
Keluarga wanita terbabit tahu hubungan kami dan mereka menerima saya, tetapi belum mengetahui status saya sebagai suami orang.
Saya masih sayangkan isteri dan rumah tangga dibina. Namun pada masa yang sama saya ingin berpoligami untuk menghalalkan hubungan kami, tetapi isteri tidak boleh menerima sepenuhnya dan sentiasa bermasam muka.
Pada saya poligami saja jalan untuk tidak melakukan dosa. Namun, saya sedar yang saya tidak mampu untuk berbuat demikian ketika ini.
Justeru, saya berharap Dr dapat memberi nasihat dan jalan penyelesaian untuk masalah ini.
Saya tidak mahu terus melakukan dosa. Terima kasih Dr.
Suami dilema
Perak
Pada pandangan saya lebih baik anda memilih untuk bernikah dengan teman anda terbabit daripada berbuat maksiat seperti yang anda ceritakan. Dengan berbuat demikian masalah boleh selesai.
Bagaimanapun, cabaran hidup dalam rumah tangga akan tetap berlaku sama ada beristeri seorang atau dua. Apa yang penting syarat poligami mesti anda laksanakan,iaitu keadilan.
Islam lebih mementingkan persoalan keadilan dalam soal poligami. Ini bersesuaian dengan tabiat seorang lelaki yang biasanya alpa dalam melayan semua isterinya secara adil.
Al-Quran mengingatkan kita terutama pihak lelaki dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap anak yatim (perempuan), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain) dua, tiga atau empat.
“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang saja atau (kahwinilah) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa, ayat 3)
Maksud keadilan di sini berkisar kepada hadiah yang diberikan dan giliran bermalam dengan isteri.
Ia hendaklah sama pada prinsipnya antara semua isteri.
Dalam keadaan tertentu Islam masih membenarkan berlaku perubahan dan ketiadaan giliran apabila isteri terbabit membenarkannya.
Dengan kata lain, seorang suami hendaklah berlaku adil kepada isterinya tanpa ada ‘favouritisme’ (unsur lebih cenderung) antara mereka.
Contohnya, dalam mengiringi suami ketika bermusafir, suami hendaklah mencabut undi dalam memilih antara isterinya.