Adik ipar lelaki saya tinggal serumah.
Seperti semua maklum, haram ipar-duai untuk tinggal serumah. Namun,
perkara ini dianggap ringan oleh keluarga mentua saya.
Masalah bertambah berat apabila suami saya selalu bekerja di luar
kawasan dalam jangka masa yang lama. Hanya tinggal saya dan adik ipar
lelaki serta anak saya.
Suami saya menjadi serba salah. Adik ipar juga belum mampu untuk menyewa sendiri. Saya juga menjadi serba salah.
Ibu mentua menyuruh saya menganggap adik ipar seperti adik sendiri. Itulah yang saya lakukan, namun rasa tidak selesa tetap timbul.
Sudah tentu keadaan berlainan kerana dia adalah ipar saya dan bukan adik kandung.
Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tidak mahu suami menjadi anak derhaka. Saya juga tidak mahu ibu mentua berkecil hati, namun kebajikan dan perasaan saya bagaimana? Bantulah saya Dr.
Iza
Selangor
Pada kebiasaannya, masyarakat lebih berhati-hati dengan orang asing, tetapi tidak berbuat demikian dalam keluarga sendiri atau terdekat.
Mereka mengambil mudah dan kadang-kadang terlepas pandang dengan ahli keluarga sendiri. Ini yang berlaku dalam keluarga anda.
Sebab itu, Rasulullah SAW memberi amaran supaya perkara buruk tidak berlaku. Antaranya hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jangan kamu sekalian masuk ke dalam (ruang) wanita.
“ Seorang Ansar bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saudara ipar (al-hamu)?” Rasulullah menjawab: “Saudara ipar adalah kematian.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad)
Kematian di sini bermaksud keadaan yang sangat bahaya kerana perbuatan berdua-duaan itu boleh membawa kepada dosa seperti zina, tuduhan jahat dan berlaku perpecahan keluarga apabila perkara tidak diingini berlaku.
Seorang suami sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan dan perasaan isteri, contohnya dalam kes di atas, suami mesti meraikan hak dan perasaan isteri.
Membawa adik sendiri tinggal serumah sepatutnya mendapat keizinan isteri terlebih dahulu dengan adanya perbincangan dan dibuat peraturan tertentu.
Apabila isteri tidak selesa, suami hendaklah mencari alternatif lain seperti mencari rumah atau bilik berasingan untuk adiknya. Sekiranya adik tidak mampu, suami boleh mendahulukan sedikit wangnya.
Begitu juga adik ipar dan ibu mentua perlu memahami kedudukan puan dalam rumah itu. Misalnya apabila suami puan tiada di rumah, adik ipar perlu dinasihati supaya tidak bermalam di rumah puan dan beliau boleh menumpang rumah kawan atau sebagainya.
Dengan berbuat demikian, semua kebajikan masing-masing dapat dipenuhi dengan sebaiknya.
sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Takselesatinggalserumahiparlelaki/Article