D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

2 Oktober 2013

cuka bonggol pisang

Penggunaan cuka tidak asing bagi masyarakat kita kerana fungsinya sebagai bahan tambahan masakan seperti garam dan gula.
Cuka digunakan untuk mengawet atau mening­katkan bau, rasa dan rupa makanan. Namun tidak ramai tahu kesan kesihatan akibat penggunaan cuka kimia.

Cuka kimia boleh menjejaskan kesihatan jika digunakan dalam jumlah banyak manakala cuka buah-buahan seperti epal, anggur dan delima agak mahal.

Dalam menyelesaikan masalah penggunaan cuka sintetik, sekumpulan pelajar Kolej Vokasional Teluk Intan, Perak, menghasilkan i-Vine cuka bonggol pisang.

Produk inovasi itu dibangunkan sekumpulan 22 pelajar kolej itu menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi kursus Diploma Pemprosesan Hasil Pertanian.

Hasil ciptaan itu memenangi Anugerah Emas dan Best of The Best anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pingat emas dalam Anugerah Promising Inventor Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL).

Mereka juga muncul johan negeri Perak dan Hilir Perak sempena Karnival Sains dan Teknologi.

Pelajar, Nurin Izzati Mohamet Halim, 16, berkata, kesan lelehan pada permukaan meja hingga meninggalkan kesan karat mencetuskan idea menghasilkan cuka itu.

“Cuka kimia yang tertumpah di atas meja ketika itu meninggalkan kesan hakisan hitam pada permukaan besi.

“Dari situ timbul kebimbangan penggunaan bahan berkenaan kepada manusia,” katanya.

Ditemani dua rakan, Nor Syamrina M Othman, 16, dan Nurul Fila Hazuin Mohd Kassim, 16, Nurin Izzati berkata, hasil carian menerusi Internet, mereka mendapati bong­gol pisang mengandungi karbohidrat yang tinggi.

“Kami dapati masyarakat Indonesia memanfaatkan bahagian bonggol pisang untuk menghasilkan kerepek kerana ia tinggi karbohidrat,” katanya.

Inovasi cuka makanan dihasilkan mereka sukar ditiru kerana menggunakan teknik rahsia daripada sejenis bakteria air liur lalat buah.

“Lalat buah tertarik pada bau manis sediaan feromon, ia akan hinggap selain meninggalkan air liur mengandungi bakteria aceti. Bakteria ini mempercepatkan pembuatan cuka,” katanya.

Berkongsi kaedah digunakan untuk mendapatkan bakteria aceti, katanya, penyediaan induk, kulit pisang dan gula dimasukkan dalam perangkap dan digantung pada pohon buah-buahan yang berbunga.

“Selepas tujuh hari, ia akan memperlihatkan selaput putih bakteria terbentuk dan induk cuka atau acetobacter aceti terhasil.

“Fasa kedua membabit­kan penyediaan bonggol pisang dan ragi diperam dua minggu pada suhu bilik,” katanya.

Ia disusuli fasa fermentasi iaitu hasil fermentasi dan induk cuka diperam selama dua minggu.

“Proses terakhir membabitkan aktiviti pembotolan. Bahan cuka terhasil ditapis dan dibotolkan. Sebonggol pisang dapat mengeluarkan 50 botol cuka,” katanya.

Produk itu dijual sekitar Teluk Intan selain dalam proses mengumpul dana untuk mempatenkan produk itu.

Sementara itu, guru penasihat, Mohd Rosnizam Mohd Yusoff berkata, kesan mudarat cuka sintetik pada bahan makanan terutama dalam produk sos cili menyuntik idea pelajarnya menghasil­kan produk inovasi.

“Dalam program P&P, pelajar terdedah dengan pembuatan makanan seperti sos cili yang ba­nyak menggunakan cuka,” katanya.

Dari situ kata­nya, tercetus idea untuk menghasil­kan satu produk menggantikan cuka sintetik yang ada dalam pasaran,” katanya.


sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cukabonggolpisang//Article/index_html

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog