Ayah saya seorang yang sangat dihormati dalam
masyarakat kerana dia ahli politik. Namun, saya tidak bangga dengannya
kerana sikap ayah yang tidak sedar diri.
Ayah menggunakan pengaruh wang untuk berpeleseran dengan wanita yang jauh lebih muda.
Saya benci ayah dan perasaan itu lebih membuak-buak apabila ayah berkahwin dengan perempuan simpanannya.
Ibu saya kecewa dengan berita perkahwinan ayah lantas meminda cerai. Saya bencikan ayah kerana pada usia emas begini seharusnya dia tidak memikirkan keseronokan nafsu dengan perempuan muda.
Ayah mempunyai ba–nyak harta dan saya lihat ibu tiri sebagai perempuan mata duitan serta pisau cukur. Ayah menggunakan pangkat dan gelaran untuk memuaskan nafsu mengahwini perempuan yang lebih muda.
Saya sangat kasihankan ibu yang menderita kerana ditinggalkan ayah. Ibu menjaga kami dengan baik selepas perpisahannya. Ayah juga ada bertanya khabar tapi saya sudah tawar hati dengannya. Saya merasakan tindakan ayah menceraikan ibu adalah satu penganiayaan. Ketika mula-mula bergiat dalam politik, ibu banyak berkorban untuk ayah.
Bapa menyedari perubahan sikap saya namun saya memang tidak berminat menghubungi ayah. Sering kali saya mengelak jika bertemu dengannya. Saya juga tidak menjawab panggilan telefonnya.
Tolonglah saya Dr kerana tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan masalah ini.
SEDIH,
Selangor
Dr memahami perasaan dan masalah yang adik alami. Perasaan ini mungkin berpunca daripada ketidakpuasan hati adik terhadap ayah. Manusia akan sedih, kecewa dan marah apabila seseorang yang disayangi melakukan tindakan mengecewakan.
Seperti adik, disebabkan rasa marah dan kecewa terhadap kelakuan dan tindakan ayah, adik menjadi sangat benci terhadapnya.
Perasaan benci tidak salah tetapi adik perlu mengawal kebencian itu kepada sesuatu yang positif. Perkara yang perlu diingati setiap manusia ialah setiap apa yang berlaku itu pasti mempunyai sebab musababnya dan hikmah yang kita sendiri tidak ketahui.
Kebencian yang melampau akan membuahkan perasaan dendam yang menyebabkan manusia mempunyai penyakit hati yang teruk iaitu dendam.
Sifat dendam ini akan menyebabkan individu tidak tenang dengan apa yang dilakukan dalam kehidupannya. Tapi, seperkara yang kita harus ambil peduli ialah ketenangan adalah satu sifat yang sangat penting untuk seseorang individu melayari kehidupannya.
Dr menyarankan supaya sentiasa muhasabah diri dan bersabar dengan apa yang ayah adik lakukan. Sewajarnya adik perlu memikirkan apa yang harus dilakukan untuk meredakan kebencian terhadap ayah.
Adik perlu tahu jika ayah tiada maka adik juga tiada di dunia ini.
Untuk meredakan perasaan ini Dr cadangkan adik ingat kembali apa yang ayah sudah lakukan untuk keluarga dan diri adik.
Mungkin dengan cara ini, adik akan berasa tenang dan tidak terlalu marah. Adik perlu tahu yang setiap manusia itu mempunyai kekurangan dan kelebihan. Maka terimalah segala kekurangan dimiliki supaya kita berasa tenang dan sentiasa bersyukur.
Ingat kembali apa yang ayah adik lakukan untuk keluarga sehingga keluarga mampu di tahap sekarang dan bersyukurlah dengan segala usaha ayah adik untuk memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga.
Tidak semua insan di dunia ini bertuah untuk mempunyai kehidupan selesa.
Berkaitan dengan isu ayah dan ibu adik di dalam kes ini, Dr menasihatkan supaya adik menjadi seorang pendengar yang baik kepada kedua-duanya.
Berbincang dengan ayah apa yang adik rasa dan lalui serta ceritakan secara telus perasaan adik terhadap ayah. Jangan sesekali kaitkan dengan isteri keduanya apabila berbicara dengan ayah.
Hal itu kita serahkan kepada Allah kerana Dia lebih tahu aturan yang terbaik untuk hamba-Nya. Apabila menjadi pendengar kepada kedua-dua pihak, usah terlalu cepat membuat andaian. Dengar secara adil supaya tidak membenci kedua-dua insan yang membesarkan adik di dunia ini.
Adik perlu sedar bahawa keredaan hidup di dunia ini bergantung kepada keredaan ibu bapa. Apa yang salah dan sudah ayah lakukan kepada keluarga adik itu adalah urusan dia dengan Allah.
Berkenaan dengan ibu, Dr nasihatkan supaya adik sentiasa bersama dengan ibu dalam apa jua keadaan kerana dia sangat memerlukan adik pada waktu ini.
Adik perlu berfikiran terbuka dan matang dalam menghadapi dilema ini. Semoga adik menjadi matang dan tenang.
Apa yang harus dilakukan sekarang ialah usah biarkan diri berada dalam kebencian yang melampau terhadap ayah adik. Berusaha untuk menyayanginya dengan mengingati segala kebaikan dan kelebihan yang dilakukan.
Pesanan Dr ialah sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa, nescaya adik akan berada dalam fasa ketenangan dalam hidup seperti yang dikehendaki.
Usah buruk sangka dan berdendam dengan manusia kerana ia akan membuatkan kehidupan adik tidak tenang. Dr doakan semoga nasihat ini akan memberi jalan kepada adik untuk meleraikan kekusutan dihadapi, sekali gus merungkai kebencian terhadap ayah.
Akhir kalam semoga adik terus tabah dan sabar dengan setiap dugaan dihadapi dalam kehidupan ini dan ingatlah bahawa sabar itu separuh daripada iman.
sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Bencisikapayah/Article