Oleh ADHAM SHADAN
“AKU
ingat kalau hangpa (kamu) kena ganggu macam ni, mau terkencing dalam
seluar dan silap hari bulan boleh demam seminggu.” Begitulah kata-kata
seorang warden penjara yang masih terngiang-ngiang dalam fikiran Ahmad
Mohd. Jais saat dia melawat Penjara Pudu pada tahun 1996 selepas penjara
itu dikosongkan.
Ahmad, 49, memberitahu, warden tersebut yang merupakan sahabatnya mendakwa, warden-warden penjara selalu menerima gangguan di pondok kawalan mereka bertugas.
Ahmad, 49, memberitahu, warden tersebut yang merupakan sahabatnya mendakwa, warden-warden penjara selalu menerima gangguan di pondok kawalan mereka bertugas.
“Di
pondok kawalan inilah ramai warden yang bertugas pada waktu malam
selalu menerima gangguan. Ada ketikanya kerusi dalam pondok kawalan ini
terbang keluar seolah-olah dibaling atau dicampak keluar oleh seseorang,
walhal pada masa itu tiada siapa di dalamnya,” kata Ahmad kepada Jurnal
baru-baru ini.
Potret misteri
Penjara Pudu kini tinggal kenangan apabila tembok penjara berusia lebih 100 tahun di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur itu dirobohkan pada 21 Jun lalu.
Penjara Pudu kini tinggal kenangan apabila tembok penjara berusia lebih 100 tahun di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur itu dirobohkan pada 21 Jun lalu.
Dalam
tempoh lebih seabad, ramai banduan yang dihukum mati di Penjara Pudu
termasuk penjenayah-penjenayah terkenal dalam lipatan sejarah negara.
Dari 1960 hingga 1993 sahaja, seramai 180 pesalah menjalani hukuman
gantung sampai mati.
Pada tahun 1996, Penjara Pudu ditutup manakala banduan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.
Seorang
bekas penghuni Penjara Pudu yang hanya mahu dikenali sebagai Nasyitah
menceritakan kisah seram yang pernah didengarinya di penjara itu. Ia
tentang potret misteri.
“Ia berkisar tentang seorang banduan akhir iaitu panggilan untuk banduan yang akan dihukum mati.
“Dia
banduan yang pandai melukis. Dia melukis potretnya sendiri di dalam
selnya sebelum dia dihukum gantung. Warden memberitahu, lampu di bilik
sel itu akan terpadam dan ia akan sentiasa gelap. Dalam kegelapan itu,
potret itu akan bercahaya seolah-olah ia hidup.
“Banyak
orang mengadu melihat bayang-bayang berkeliaran. Lebih menyeramkan,
bilik sel itu berdepan dengan sel saya,” katanya yang mendakwa banduan
akhir itu ialah seorang wanita.
Ada juga yang mendakwa bahawa potret wanita itu juga akan ‘menangis’ apabila hari penggantungan seseorang itu semakin hampir.
Walaupun
hanya sempat ditahan di penjara itu selama dua hari, namun Nasyitah
yang ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi jalanan dapat merasai
keseraman suasana di situ.
“Saya
takut. Apabila warden itu ingin membawa kami melihat sel itu, empat
orang rakan saya pergi tengok, saya sahaja tidak mahu tengok. Seram.
“Kawan-kawan
saya beritahu memang betul kata warden tersebut. Dalam gelap, lukisan
itu berkilauan dan menyeramkan. Mereka juga bercerita lampu tidak boleh
dinyalakan di bilik tersebut, ia terus terpadam,” ujarnya kepada Jurnal.
Bermalam
Sementara
itu, pensyarah fotografi, Khairul Azril Ismail yang pernah bermalam
selama enam bulan di Penjara Pudu untuk menghasilkan tesis bertajuk Pudu
Jail’s Graffity menceritakan pengalaman anehnya.
Kata Azril, antara bahagian penjara itu yang paling menarik ialah bilik gantung kerana ia menawarkan banyak ‘cerita’.
“Bilik
itu kosong, kecil sahaja. Saya melihat imej aneh yang sukar untuk
dijelaskan. Saya dapat merakamkan satu garisan putih yang panjang dan
melengkung. Bagi saya mustahil cahaya dapat dibengkokkan. Kalau hendak
dikatakan ia asap, saya tahu sangat rupa kepulannya kerana saya seorang
perokok.
“Saya
bukan jenis yang gemar bercerita perkara-perkara mistik. Saya lebih
suka kepada fakta dan akademik. Saya kemudian menghantar gambar itu
untuk diteliti oleh pensyarah saya di Columbus College of Art &
Design (CCAD) di Ohio, Amerika Syarikat.
“Mereka
meminta saya untuk memeriksa peralatan tetapi tidak timbul masalah sama
ada daripada kamera atau dalam proses mencuci gambar,” jelasnya kepada
Jurnal tidak lama dahulu.
Azril berkata, kalau sudah bermalam di tempat begitu bukanlah suatu yang asing jika mendengar pelbagai bunyi dan gangguan.
“Keadaan
lazimnya gelap. Saya pula mahu merakam gambar tanpa bantuan cahaya
tiruan seperti flash kamera, sebaliknya menggunakan cahaya semula jadi.
Jadi saya kena menanti lama untuk mendapatkan pencahayaan yang baik.
Makan masa satu hingga dua jam setengah.
Jiran
“Dalam masa menunggu itu, saya rasa kepala saya diketuk sebanyak tiga kali. Seperti ada tangan yang mengetuk kepala saya.
“Kalau
nampak bayang-bayang itu memang sudah biasa sangat. Sampai dah jadi
normal bagi saya. Begitu juga dengan suara orang jerit melolong.
“Tapi
saya tidak dapat tangkap apa yang disebut kerana bunyinya bergema,”
ujar pensyarah di Jabatan Fotografi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam itu.
Selain
itu, Azril juga mendengar bunyi lain seperti paluan beduk dua kali dan
kakinya bagai dipeluk sesuatu ketika hendak memasuki bilik mayat.
Walaupun
mempunyai kenangan seram di penjara itu, Azril menyatakan rasa
duka-citanya kerana tembok dan kompleks Penjara Pudu itu dirobohkan.
“Ia
satu seni bina ikon yang sungguh menarik dengan bentuk X. Saya
mendapati ia mempunyai ciri persamaan dengan seni bina lama dari
Perancis. Tapi masih banyak kajian perlu dilakukan untuk memastikan
kesahihannya,” katanya.
Seorang
pekerja penjara juga mendedahkan kepada media baru-baru ini bahawa
mereka disakat oleh bayangan lembaga hitam yang merenung tajam, bayangan
kanak-kanak berlari dalam kawasan penjara selain kelibat perempuan
cantik yang berjalan sendirian di tengah-tengah lorong penjara.
Jurnal juga cuba mendapatkan pandangan ‘jiran-jiran’ di sekitar Penjara Pudu tentang sejauh mana keseraman penjara lama itu.
Seorang
penghuni rumah pangsa berdekatan yang telah mendiami kawasan itu selama
18 tahun menyatakan dia tidak banyak mendengar cerita seram penjara
itu.
“Ada
juga orang bercerita. Tapi saya biasa sahaja. Dari rumah saya boleh
juga melihat penjara itu tetapi tidak ada banyak peristiwa aneh.
“Pernah
jugalah macam terdengar suara orang minta tolong. Entahlah,” katanya
yang dikenali sebagai Faris yang kelihatan seperti gelisah untuk
bercerita.
Seorang
pekerja keselamatan di sebuah stesen pengangkutan awam berdekatan
memberitahu selama 15 tahun dia berkhidmat di situ, tidak ada cerita
aneh yang didengarnya.
“Berdasarkan pengalaman saya, stesen ini tidak ada. Tetapi kalau stesen lain banyak cerita,” ujarnya.