Pelajar 14 Tahun Mati Tergantung di Tingkap
MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan
keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang
lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di
rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.
Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu
ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada
jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.
Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat
mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa
ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk
menghantarnya ke sekolah.
“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah
tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke
sekolah.
“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun
ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka,
ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak
bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak
mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah
sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.
“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya
kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan
mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock
Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat
mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.-SUMBER