D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

28 Januari 2013

Cerita gengster Melayu Singapura



"SELAMA 16 tahun menjadi Muslim yang jahil adalah kerugian paling besar dalam hidup saya." - Mahathir

PEMUDA ini, Mahathir Dawood, masih muda. Umurnya baru sahaja mencecah 24 tahun.
Berpewatakan menarik dan petah bercakap, beberapa potong hadis dan sirah Nabi yang dilafazkan tatkala menyertai sesi perkongsian pengalaman pada petang itu secara tidak langsung menonjolkan karakter warak lelaki ini.

"Jangan puji lebih-lebih. Saya masih baru mengenal Islam walaupun dilahirkan sebagai Muslim. Banyak lagi yang perlu dipelajari," ujarnya.
Ditemui selepas sesi kaunseling bersama remaja terlanjur di rumah perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, Selangor, Mahathir tidak lokek berkongsi sisi jahil kehidupannya.
"Saya mula kenal Allah semasa berumur 16 tahun, itu pun kerana saya berjumpa dengan orang yang selalu ajak saya sembahyang ketika direman.
"Kalau saya jumpa dengan orang yang salah lagi, mungkin sekarang saya masih sesat," katanya yang pernah dipenjarakan selama dua tahun angkara terlibat dalam rusuhan antara dua kumpulan gengster di Singapura.
Menurut Mahathir, dia terlibat dalam kumpulan Sio Kun Tong atau Salakau. Kumpulan itu juga dikenali dengan kod 369.
Ia bermula selepas Mahathir mengikut ibunya yang telah berpisah dengan bapanya berpindah ke Marsling, Singapura.
"Marsling adalah salah satu kawasan gelap di Singapura. Di situ pusat berkumpulnya penagih dadah, ahli kongsi gelap, pelacur, penyeludup, pencuri, kaki ponteng sekolah dan kaki judi, semua ada.
"Kesibukan ibu bekerja pula membuatkan saya lebih suka mencari hiburan di luar bersama kawan-kawan.
"Kami melepak, mencuri telefon bimbit dan menjualnya semula, menjadi penyeluk saku dan macam-macam lagi," kata Mahathir yang mula merokok dan menjadi ahli Salakau ketika berumur 12 tahun.
Jelas anak kedua daripada lima beradik ini, terdapat banyak kumpulan gengster di negara jiran tersebut.
Di kawasan tempat tinggalnya sahaja, ada beberapa kumpulan samseng dengan jumlah ahli melebihi 200 orang. Kumpulan samseng itu kerap bergaduh sesama sendiri.
Rebut perempuan
"Biasanya mereka bergaduh kerana tidak puas hati, mahu tunjuk kuat, luaskan pengaruh serta kawasan dan berebut perempuan," katanya.
Tidak serik bergaduh dan menjadi mangsa pukul?
"Hati saya sudah keras selepas sering terlibat dalam pergaduhan.
"Lagipun, saya cuma ada dua pilihan, sama ada memukul atau dipukul. Apabila sekali kena pukul, saya tidak akan lepaskan peluang untuk memukul orang lain pula.
"Memukul samseng dari kumpulan lain adalah cara terbaik untuk saya menarik perhatian dan keyakinan ketua," tuturnya.
Selain menjadi kaki pukul, dadah, rokok, arak dan perempuan adalah jamuan harian Mahathir.
"Saya memang tonggak tin arak macam air masak. Saya juga ada ambil ganja dan pil tidur.
"Semasa berumur 15 tahun pula, saya ditugaskan oleh taiko (ketua samseng) untuk menjaga keselamatan pelacur dan buat rundingan harga dengan pelanggan.
"Jika pelanggan enggan bayar, saya diberi tanggungjawab untuk memukul mereka," katanya.
Momen gelap kehidupan anak muda ini berakhir selepas buat kali pertama dia dimasukkan ke penjara setelah tiga tahun bergelar samseng.
Semasa menjadi tahanan reman, dia berkenalan dengan seorang tahanan lain bernama Ramo. Lelaki itu berjaya melembutkan hatinya untuk mempelajari Islam dan bersolat.
"Ramo banyak beri bimbingan dan nasihat kepada saya. Namun, perubahan itu tidak lama.
"Selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun, saya terpisah dengan Ramo.
"Di penjara, saya kembali kepada tabiat lama. Solat saya abaikan.
"Bagaimanapun, selepas berkenalan dengan seorang banduan bernama Khairul Fahmi, perasaan takut kepada Allah seolah-olah ditiup kembali.
"Fahmi pernah bunuh orang dan dijatuhi hukuman penjara. Rakannya pula dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
"Terlepas daripada hukuman gantung sangat menginsafkannya. Ia seperti mati hidup semula. Fahmi menjadi rakan banduan yang rajin mengajak saya solat bersama dan mendalami agama," cerita Mahathir.
Apabila difikirkan semula, lelaki ini amat bersyukur kerana sempat kembali ke landasan kehidupan yang sepatutnya.
Benarlah katanya, walaupun majoriti masyarakat memandang rendah institusi penjara, lain pula bagi Mahathir.
Jihad
Padanya, di sebalik tembok dan jeriji besi itulah dia mengenali serta memahami Islam yang kini menjadi pegangan hidupnya.
"Di bilik pengasingan itu saya dapat mengubah diri daripada hamba dunia kepada Muslim yang dahagakan ilmu akhirat," ujarnya yang sempat mengumpulkan tahanan beragama Islam dan membentuk satu kumpulan jihad menentang kezaliman Israel ketika di penjara.
Dua tahun menjalani hukuman, perubahan positif Mahathir kurang disenangi ibu dan adik-beradikya. Tindakan Mahathir menegur cara hidup mereka yang selama ini kebaratan hanya menimbulkan kemarahan.
"Ibu tidak suka jika saya menasihatinya untuk bersolat dan menutup aurat. Adik-beradik yang lain pula menempelak dan memaki hamun.
"Katanya, bekas banduan yang pura-pura alim seperti saya tidak layak untuk menasihati mereka.
"Saya ambil masa dua tahun untuk pujuk mereka. Lama-kelamaan, mereka menerima saya kembali dan beransur-ansur mendalami Islam.
"Malah, adik saya yang paling kuat menentang kini sedang tekun mempelajari al-Quran.
"Syukur, Allah memakbulkan doa saya. Saya cukup takut jika ada ahli keluarga yang meninggal dunia dalam keadaan yang tidak diredai Allah," ujarnya sebak.
Penghijrahan Mahathir kali ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Sebaliknya, dia berazam untuk mendekatkan dirinya sekarib mungkin dengan al-Quran, bahkan dalam telefon pintar miliknya, hanya rakaman surah-surah al-Quran yang disimpan.
"Saya haramkan telinga saya untuk mendengar muzik. Begitu juga mata.
"Sangat sedikit rancangan di televisyen yang saya tonton," katanya yang kini mendalami bahasa Arab dan kefahaman Islam di Kolej Islam Mahmoodiah, Singapura.-SUMBER

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog