Sesetengah upacara penamatan latihan senibela
diri tomoi disudahkan dengan ritual menyuap pulut ke mulut penuntut.
Pulut itu adakalanya hadir dengan ‘kuasa’ warisan yang akhirnya memakan
diri.
"SAYA sering gelisah. Pada waktu malam, jantung berdebar kuat dan badan menjadi panas. Dalam keadaan itu, perkara kecil pun boleh buat saya naik angin. Saya sedar saya semakin menjadi seorang yang pemarah," ujar lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 36.
Pernah satu ketika hentakan siku dan lengan singgah di badan seorang pelayan restoran hanya kerana pelayan itu tanpa sengaja tertumpahkan kuah sup panas di belakang tubuh Kamal. Pelayan lelaki itu terjelepok ke lantai. Kecoh jadinya!
"Mujur isteri saya mententeramkan keadaan. Rayuan isteri buat saya kembali berfikir serta segera meminta maaf kepada lelaki itu. Malah, saya mahu membawanya ke klinik untuk dirawat jika ada kecederaan," imbasnya yang bernasib baik kes tersebut tidak dilanjutkan ke pihak berkuasa.
Pertemuan dengan Jurnal turut
ditemani isterinya, Zalifah. Atas menghormati permintaan, mereka hanya
mahu berkongsi cerita tanpa perlu gambar mereka diambil.
Walaupun
Kamal mengakui dirinya cenderung untuk mengamuk, jauh dalam hatinya dia
sedar bahawa perbuatannya itu salah. Namun, dia sering gagal mengawal
perasaan itu.
Kisah sepak terajang di restoran itu adalah salah satu daripada banyak contoh Kamal melepaskan sikap panas barannya.
Baginya,
sebarang perkara yang mengejutkan emosi dan fizikalnya umpama satu
ancaman buat diri dan keluarga. Semangat pahlawan yang muncul entah dari
mana mempengaruhinya agar bertindak!
"Pendek
kata, saya pantang dicabar atau dikejutkan dengan sesuatu. Dalam
fikiran hanya satu matlamat iaitu untuk menumpaskan lawan, walaupun saya
sebenarnya bukan di gelanggang," kata Kamal yang berloghat Pantai
Timur.
Kamal
mengakui bahawa dia pernah mempelajari seni bela diri muay thai atau
tomoi di kampungnya yang berjiran dengan tanah Siam. Selama lima tahun
dia patuh pada tunjuk ajar jurulatihnya yang juga berasal dari seberang
sempadan itu.
Seingat
Kamal, dialah yang paling gagah di kem tomoi yang disertainya. Ramai
lawan mudah ditewaskan di gelanggang. Dalam latihan, sudah banyak batang
pokok yang patah-riuk hanya dengan tendangan menggunakan tulang keting.
Rasa sakit pula hanya sekejap.
Kamal menjadi orang kesayangan jurulatihnya lantaran sering membawa pulang trofi kejuaraan.
Tanpa
berasa hairan tentang tenaga tubuhnya yang tidak mudah surut ketika
bertarung, Kamal tidak pula mencurigai tentang perkara-perkara lain.
"Tiga
tahun lalu, saya telah berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur kerana
menerima tawaran berkhidmat dengan sebuah pasukan keselamatan.
Mengetahui hal itu, jurulatih saya di kampung segera menganjurkan
upacara penamatan latihan tomoi.
"Katanya,
sebagai satu majlis penghargaan. Antara lain, saya disuapkan pulut
kuning olehnya," kata Kamal yang menyangkakan itu hanyalah ritual biasa.
Menurutnya,
kesibukan tugas di Kuala Lumpur tidak memberi peluang kepadanya
berlatih tomoi seperti selalu. Lama-kelamaan, bermulalah perubahan
ketara dalam dirinya.
"Saya
malas bersembahyang dan sering merancang untuk membuat perkara yang
tidak elok. Saya bercakap besar dan suka mencari gaduh. Tanggungjawab
pada Tuhan dilupakan, apatah lagi tanggungjawab pada keluarga.
"Di
mana-mana pun, pasti ada yang cedera saya kerjakan. Saya rasa puas bila
tengok orang yang dibelasah meminta dikasihani," terangnya yang hampir
kehilangan kerja kerana sikapnya itu.
Jauh
dalam hatinya, Kamal sedar betapa sudah ramai yang menjadi mangsa
amarahnya. Isterinya juga tidak terkecuali. Hinggalah akhirnya kesulitan
dan kecelaruan perilaku itu sampai ke pengetahuan seorang ustaz yang
sudi membantu Kamal. Itupun atas inisiatif rahsia teman-teman sekerja
Kamal.
"Ketika
bertentang mata, suami saya seperti amat berdendam pada ustaz itu. Dia
serta-merta menceceh dalam bahasa Siam dan kemudian membuka buah
(langkah) tomoi. Saya seperti tak percaya apa yang dilihat dengan mata
sendiri," kata Zalifah yang turut merancang pertemuan itu dalam senyap.
Enam
orang yang berbadan sasa, menurut Zalifah, diperlukan untuk menandingi
kekuatan Kamal yang terbit mendadak. Rancak berasak dan bergelut,
disertai tekanan ilmu penawar dari ustaz itu, Kamal akhirnya memuntahkan
sesuatu.
"Dia
tak henti menjerit dan mendengus berat saat direbahkan beramai-ramai.
Macam lembu korban, perlahan-lahan dia hilang tenaga dan tidak melawan,"
kata Zalifah.
"Saya
betul-betul tidak sedar apa yang berlaku sepanjang tempoh itu. Saya
cuma rasa tubuh semakin lemah, seperti bertarung berjam-jam lamanya
dengan lawan yang sangat kuat," ujar Kamal yang mengakui fikirannya
lebih tenang selepas mengikuti siri rawatan bersama ustaz tersebut.
Apabila
dikenangkan semula, Kamal teringat tentang hidangan makanan, air
mandian wangi dari kolah dan mangkuk tembaga yang diletakkan di sisi
kiri dan kanan tempat tidurnya di kem tomoi di kampungnya dahulu. Semua
itu disediakan jurulatihnya.
Kamal
sempat berpesan, kalau ada sesiapa yang mewarisi ilmu muay thai atau
tomoi dan sedang berbangga dengan kemahiran yang ada agar berwaspada
dengan perubahan diri. Ilmu kebatinan pasti meminta 'pulangan' daripada
tuannya.
"Apa yang dimuntahkan?" tanya saya kepada Kamal.
"Awak
tak akan percaya. Benda yang dimuntahkan itu kelihatan seperti gumpalan
pulut. Sama seperti yang saya makan bertahun-tahun dahulu di kem tomoi
itu," jawabnya. SUMBER