SHAH ALAM: Buat julung
kalinya, para peminat muzik tanah air berpeluang untuk melihat
persembahan kumpulan rock dari tiga era dalam satu konsert yang akan
diadakan di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam pada 13 Mac ini.
Para peminat akan berpeluang untuk
kembali menyaksikan kehebatan persembahan kumpulan rock yang pernah
menggegarkan dunia muzik tanahair dengan lagu-lagu Bunga Padang Pasir,
Anak Liar dan Hati Syaitan iaitu Sofea.
Sofea yang juga dikenali dengan nama SYJ
akan berganding dengan kumpulan Jinbara yang popular dengan lagu Resah,
Farhana, Patah Pusing, Nilai Cinta,
Jerangkung Bernyawa sekitar tahun 2000-2005
Selain itu, Konsert Di hatiku yang
merupakan projek akhir pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM
turut akan dijayakan oleh kumpulan Bunkface yang popular dengan lagu
Revolusi dan Situasi.
Menurut pegawai publisiti penganjur
konsert, Nur Syahirah Abd. Majid, apa yang menarik ialah, ketiga-tiga
kumpulan berkenaan dipilih untuk membuat persembahan berdasarkan
pungutan suara yang dilakukan ke atas lebih 100 pelajar fakulti
tersebut.
“Kami cuba untuk membuat kelainan dengan
mengadakan satu konsert mengikut citarasa penonton dan ketiga-tiga
kumpulan inilah yang mendapat pilihan paling tinggi dalam pungutan suara
yang kami lakukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari
ini.
Menurut Syahirah, setakat ini sebanyak
400 daripada 1,500 tiket-tiket konsert bernilai RM25 dan RM50 telah
terjual sejak tiket-tiket berkenaan mula dijual dua hari lepas.
Jelas beliau, bagi mereka yang berminat,
tiket-tiket konsert tersebut masih boleh diperolehi di UiTM Shah Alam,
I-City Shah Alam, Space U8, Plaza Masalam, Giant Shah Alam, dan
disekitar Lembah Klang.
Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai
konsert tersebut boleh diperolehi dengan menghubungi Bahagian Publisiti,
Konsert Di Hatiku di talian 013-7089805. -