'Jadilah garam, bukan langau'
Mohamad bersama sebahagian daripada guru-guru Kafa yang menerima saguhati pada Majlis Penyampaian Saguhati Guru- Guru Kafa Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN -  “Guru jangan jadi seperti langau tetapi sebaliknya jadilah seperti garam yang memperbaiki keadaan,” demikian pesanan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di hadapan 1,663 guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) pada Majlis Penyampaian Saguhati Guru- Guru Kafa Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Mohamad berkata, semua guru agama perlu membimbing anak bangsa yang dahagakan ilmu dengan menyalurkan pengajaran yang baik dan tidak sesekali mencemari pemikiran dan ideologi mereka dengan perkara yang tidak baik.

“Susah jadi garam, tetapi senang jadi langau dan guru perlu berperanan sebagai garam kerana guru merupakan profesion yang amat mulia.

“Jangan jadi makhluk perosak seperti langau yang akan menjadi busuk apabila dihinggapi tetapi sebaliknya guru perlu menjadi garam yakni individu yang dapat memperbaiki keadaan,” katanya.

Menurut beliau, generasi muda perlu diterapkan dengan pemikiran terbuka yang mempunyai pengertian hidup bernegara dan bermasyarakat.

“Justeru bimbingan seimbang antara agama dan dunia dituntut demi memastikan anak-anak lebih memahami erti kehidupan, kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) turut menyeru agar Sekolah Agama Rakyat (SAR) menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran bagi mendapat kemudahan dan peruntukkan yang disediakan oleh kerajaan.

Pada majlis tersebut, kumpulan guru agama daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat dan Kafa di 287 buah sekolah di seluruh negeri ini menerima saguhati bernilai RM800 setiap seorang.
Hadir sama, Speaker Dun, Datuk Razak Mansor; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Yusoff Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS), Datuk Johani Hassan.

sumber ;http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/jadilah-garam-bukan-langau-1.138505