SATU
mayat pengganas Sulu ditemui diletakkan atas karpet selepas dipercayai
mati dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu kelmarin.
LAHAD DATU - Saki-baki kumpulan pengganas Sultan Sulu diyakini berada
dalam keadaan lemah ekoran Jeneral Raja Muda Azzumuddie Kiram yang
mengetuai pencerobohan di Sabah terbunuh bersama 31 anggotanya dalam
pertempuran di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini.
Sehingga semalam, jumlah musuh yang terbunuh sejak pertempuran bermula
pada 1 Mac lalu seramai 52 orang. Bagi pihak pasukan keselamatan pula
seramai lapan pejuang negara gugur.
Bagaimanapun, dalam pertempuran terbaharu kelmarin dan semalam, tiada
kematian atau kecederaan dialami pihak pasukan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, 31 daripada pengganas
termasuk seorang ketua puak musuh yang berpangkat Jeneral maut dalam
pertempuran yang berlaku di Kampung Tanjung Batu petang kelmarin.
Seorang lagi pengganas berjaya ditembak mati pasukan keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada pukul 11 pagi semalam.
"Sejak petang semalam (kelmarin) hingga pukul 11 pagi ini (semalam)
pasukan keselamatan terlibat dalam beberapa pertempuran di Kampung
Tanjung Batu dan sekitar Kampung Tanduo," kata beliau pada sidang akhbar
di sini semalam.
Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan status seorang Jeneral yang
terbunuh ialah Azzumuddie yang merupakan adik kepada Sultan Sulu,
Jamalul Kiram III.
"Setakat ini kita belum dapat mengesahkan identiti Jeneral yang terbunuh
berikutan keadaan yang berisiko dan membahayakan anggota keselamatan
bagi mengeluarkan mayat-mayat pengganas yang terbunuh," kata beliau.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.