Anda masih boleh bergaya walaupun memakai tudung, tetapi perlu menepati syarat dalam Islam. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “...hendaklah mereka melabuhkan tudung (selendang) mereka ke leher dan dada mereka...” (Surah An-Nur: Ayat 31). Cara berpakaian juga perlu sopan bertepatan dengan pemakaian tudung menutupi paras dada 360 darjah. Ia bermaksud, bahagian depan dan belakang perlu sama panjang. Dara.com ingin berkongsi beberapa tip pemakaian tudung sesuai untuk remaja seperti anda.
1- Anak Tudung – Jika anda gemar memakai
selendang daripada fabrik jojet, satin atau pun sifon yang licin, maka
seelok-eloknya anda menyarungkan anak tudung terlebih dahulu. Guna anak
tudung buatan fabrik lycra kerana selendang tersebut akan mudah dibentuk serta terletak dengan cantik.
2- Warna Terang – Hitam dan putih adalah warna
selamat untuk dipadankan dengan apa jua warna, tetapi apa kata anda ubah
cita rasa itu pada penampilan diri. Gunakan warna terang pada selendang
agar wajah anda kelihatan lebih segar dan bersemangat. Ini kerana warna
yang pudar, gelap atau pun kedam akan membuatkan wajah anda seperti
lesu dan tidak bermaya.
3- Corak Tudung – Elakkan memilih corak yang
terlalu penuh pada tudung. Ia akan menyerabutkan penampilan anda. Cukup
sekadar renda, kerawang, jemeki atau pun corak bunga di hujung selendang
sahaja. Corak yang ringkas ini sudah boleh melengkapkan gaya manis
anda. Jangan sesekali memilih corak berunsur binatang yang kontra dengan
budaya Islam.
4- Sanggul Belakang – Tidak dinafikan, kewujudan
sanggul di belakang kepala membuatkan tudung beralun cantik, tetapi anda
perlu ingat dosa yang perlu ditanggung. Sanggul yang terlalu tinggi
bukan mengikut ajaran Islam.
Tegahan gaya ini telah diriwayatkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud: “Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku
lihat: Suatu kaum yang memiliki cemeti ekor lembu untuk memukul manusia
dan para wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, kepala mereka
seperti bonggol unta yang bergoyang-goyang. Wanita seperti ini tidak
akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan baunya dapat
dicium selama perjalanan sekian dan sekian. (Hadis Riwayat Muslim)
5- Bentuk Leher – Ini juga dilarang dalam Islam kerana menyerupai
agama lain. Ia juga serupa menampakkan leher anda walaupun ditutupi
dengan kain tudung. Sedar atau tidak, terlalu ramai yang meniru fesyen
sebegini sekarang ini. Nabi Muhammad SAW menerusi hadisnya berkata:
“Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk daripada
golongan mereka”. (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Hibban).
Maka, ubah gaya tudung anda sekarang sementara belum terlambaT
SUMBER : http://www.sinarharian.com.my/hijab-rahsia-muslimah-menawan-1.34437