- Amirudin menunjukkan tangannya yang dipotong selepas digigit babi hutan semasa bertugas pada 5 Disember lalu.
Ekoran kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Amirudin Osman, 35, kehilangan tangan kiri akibat kecederaan parah selepas digigit haiwan berkenaan.
Menceritakan kembali peristiwa tersebut, Amirudin berkata, dia dilanggar daripada arah belakang oleh haiwan itu semasa menyiram pokok bunga di tepi pagar dalam kawasan sekolah.
Katanya, akibat disondol haiwan berkenaan, dia terjatuh dan babi hutan bertindak lebih agresif dengan menggigit bahagian siku tangan kirinya.
Dia bergelut dengan haiwan tersebut selama lima minit untuk menyelamatkan diri tetapi tidak berjaya.
“Isteri (Noraini Muharam, 36) turut bekerja sebagai tukang kebun dan kebetulan berada pada jarak kira-kira 15 meter daripada saya. Dia yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan memukul kepala haiwan itu menggunakan kayu.
“Haiwan tersebut melepaskan gigitan dan kemudiannya berlari bersembunyi ke dalam tandas berdekatan dengan tempat kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jalan Panglima Salleh, Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Sungai Abong di sini, semalam.
Amirudin berkata, kekecohan itu telah menyedarkan pekerja lain dalam kawasan sekolah berkenaan dan kemudian membantu menghantarnya yang dalam keadaan berlumuran darah ke hospital.
Katanya, haiwan itu kemudiannya ditembak mati oleh penduduk berhampiran bagi mengelakkan ia kembali menceroboh ke dalam kawasan sekolah.
“Mujur kejadian berlaku ketika musim cuti sekolah dan jika tidak, mungkin murid sekolah menjadi sasaran babi hutan ini.
“Saya tidak sedar babi hutan masuk melalui pintu hadapan sekolah dan dipercayai datang dari kawasan semak berhampiran sekolah,” katanya.
Menurutnya, kecederaan itu memaksanya menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama seminggu.
“Saya masih trauma dengan kejadian itu yang menjadi pengalaman pahit dalam hidupnya terutamanya apabila diberitahu tangan terpaksa dipotong berikutan banyak urat yang putus.
“Saya menangis sedih tetapi tidak ada pilihan lain dan terpaksa akur dengan keputusan perubatan untuk keselamatan diri,” katanya yang sudah satu tahun tiga bulan bertugas di sekolah berkenaan.
Jelasnya, pujukan dan kata-kata perangsang isteri, menjadikannya lebih tabah menjalani kehidupan dengan status sebagai orang kurang upaya (OKU).
sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/hilang-tangan-digigit-babi-hutan-1.233912