Baru-baru ini, rumah itu hendak dijual balik, persoalannya kini ibu saya tidak bersetuju untuk menjualnya atas alasan yang munasabah iaitu rumah itu dijadikan tempat anaknya (termasuk saya) berkumpul.
Kakak sulung saya mendapat tanah pemberian mak saudara dan mereka memujuk bapa supaya menjualkan rumah dan membina rumah baru di atas tanah milik kakak.
Yang menjadi masalah adalah hak saya dan adik-beradik yang lain, sedangkan rumah bakal dibina menggunakan hasil pembelian bersama ibu dan bapa saya akan menjadi milik kakak dan pewaris utama adalah suaminya.
Disebabkan masalah ini, hingga kini rumah berkenaan tidak dijual. Baru-baru ini, ibu menyatakan hasrat untuk menjualkan rumah dengan syarat hasil penjualan dibahagi sama rata mengikut hukum agama.
Persoalannya, apakah hak kami sebagai anak terhadap rumah berkenaan? Apakah proses perlu kami lalui supaya hak kami diberikan berdasarkan hukum Islam?
HAFIZ
Banting
Rumah itu sebenarnya adalah milik bersama atau harta perkongsian ibu dan bapa. Walaupun ibu tidak bekerja tetapi harta yang diperoleh semasa perkahwinan adalah milik ibu bapa bersama.
Jika rumah itu dijual, maka hasil jualannya dibahagikan kepada ibu dan ayah sama rata dan bukannya anak-anak. Selagi keduanya masih hidup, anak tidak layak mendapat sebarang hak daripadanya.
Ia bukan harta pusaka untuk mana-mana anak mahu menuntutnya. Jika ibu mahu membahagikan haknya kepada anak, dia boleh berbuat demikian selepas mendapat habuannya.
Dia boleh menghadiahkan pada anak atau menghibahkannya.