Aidilfitri - Tiket KTM Habis, Tiket Bas Ada
Kuala Lumpur - Beberapa syarikat bas ekspres di ibu negara masih menawarkan tiket kepada orang ramai yang ingin pulang berhari raya bulan depan.
Menurut Pegawai Operasi Konsortium Bas Hasry Ekspres, Farah Hasry, 28, kebiasaannya permintaan terhadap tiket akan meningkat apabila menghampiri hari raya.
Mengenai langkah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memberi kelulusan kepada para pengendali bas ekspres untuk menaikkan harga tiket bas sebanyak 10 peratus pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini, beliau menyambut baik langkah itu.
Bagaimanapun, syarikatnya masih menjual tiket pada harga biasa di awal bulan Ramadan ini dan akan menaikkan harga mengikut yang dibenarkan oleh pihak berkuasa mulai 20 Julai, katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) mendapati tiket kereta api sudah habis dijual walaupun bulan Ramadan baru memasuki hari kedua.
Menurut seorang jurucakap KTM Intercity, penjualan tiket bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke pantai timur dan utara tanah air telah dijual bermula awal bulan lepas.
"Tiket perjalanan tren KTM Intercity ke pantai timur pula bertarikh 30 Julai dan perjalanan tren ke utara pada 31 Julai sahaja yang masih boleh didapati oleh para pelanggan," katanya.
sumber : http://berita.rtm.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=5884&Itemid=88