Taming Sari diuji lelaki Jawa
DALAM
sejarah ketamadunan Melayu, pendapat umum sepakat mengatakan tiada
keris lebih terkenal dan teragung selain keris Taming Sari.
Kisah
keris yang digambarkan penuh sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak
lut ditujah senjata tajam itu seiring dengan legenda pendekar Melayu
terulung, Hang Tuah.
Mengambil
nama sempena pemilik asalnya, seorang pahlawan Jawa dalam kerajaan
Majapahit, fungsi asal Taming Sari adalah sebagai keris kerajaan bagi
jawatan Laksamana semasa Kesultanan Melayu Melaka.
Sebagaimana
misterinya kehilangan Hang Tuah selepas dia gagal meminang Puteri
Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, begitu juga riwayat keris Taming Sari
selepas era pendekar Melayu itu.
Pelbagai
versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling
terkenal ialah keris sakti berkenaan telah dicampak Hang Tuah ke dalam
Sungai Duyung di Melaka.
Namun,
mitos tidak semestinya selari dengan realiti. Kenyataannya, keris
Taming Sari yang dipercayai berusia lebih 500 tahun itu telah menjadi
sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak sejak tahun
1528 lagi.
Pengarah
Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, mengikut sejarah, episod
kegagalan meminang Puteri Gunung Ledang telah menjatuhkan air muka Hang
Tuah lantas beliau menyerahkan Taming Sari kepada Tun Mamat untuk dibawa
balik menghadap Sultan Mahmud Shah.
Setelah
empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat
itu turut dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke
Kampar, Sumatera.
“Kemudian
atas pemintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan
anakandanya, Raja Muzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi
mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.
Keris kuasa
“Baginda
turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk
dijadikan alat kebesaran negeri Perak yang baru ditubuhkan itu,” jelas
Janati kepada Jurnal ketika ditemui pada Pameran Taming Sari di Galeri
Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak minggu ini.
Ditebak
dengan versi yang mengatakan Taming Sari masih terbenam di dasar Sungai
Duyung, Janati berpendapat dakwaan itu sekadar legenda.
Katanya
lagi, seperti pembikinan sebuah filem, penceritaan kisah lisan dan
hikayat tidak semestinya selari dengan fakta sebenar malah boleh ditokok
tambah.
“Kajian
Muzium Perak mendapati keris Taming Sari yang menjadi alat kebesaran
Kesultanan Melayu Perak menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang
terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai
ditulis pada abad ke-15.
“Manuskrip
terbabit turut mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan
Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.
Pengurus
Pameran Taming Sari itu berkata, Taming Sari merupakan keris kuasa atau
bawar yang menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak.
Sehubungan
itu, keris terbabit disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain
di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Seingat
beliau, cuma empat kali keris Taming Sari dipamerkan kepada khalayak
atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah termasuk yang terbaru
selama seminggu sehingga hari ini.
Bersilat
“Penganjuran pameran ini bukan bertujuan untuk membuktikan ketulenan keris Taming Sari kerana tiada keperluan untuk itu.
“Ia
lebih kepada untuk memberi ruang kepada rakyat menyaksikan sendiri
keris kuasa terbabit yang begitu eksklusif sebelum ini sempena ulang
tahun sambutan keputeraan baginda,” jelasnya.
Penganjuran
Pameran Taming Sari kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada
pengunjung pelbagai kaum. Dianggarkan lebih 7,000 orang melawat Galeri
Sultan Azlan Shah bagi melihat keris terbabit.
Panglima
Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman pula berkata, ada
pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang Pameran Taming Sari di
galeri berkenaan.
Menurutnya,
keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar
galeri terbabit bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri
Gading sebagai ‘peneman’.
Dikatakan,
keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu
Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan
‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk
terhadapnya.
“Sepanjang
penganjuran pameran kali ini, pernah sekali berlaku kejadian lima
lelaki dewasa tiba-tiba bersilat serentak di hadapan ruang Pameran
Taming Sari.
“Saya
percaya tindakan mistik itu berpunca daripada perbuatan mereka
menggunakan ilmu untuk ‘menguji’ kekuatan Taming Sari namun tertewas,”
ujar beliau yang merupakan antara pegawai Istana Perak yang bertugas
memantau perjalanan pameran terbabit.
Kejadian selama beberapa minit pada petang Selasa lalu itu menggemparkan pengunjung yang berada di dalam galeri itu.
Menurut
Janati pula, kelima-lima lelaki dipercayai keturunan Jawa terbabit
ditenangkan oleh seorang rakan mereka sebelum masing-masing segera
angkat kaki dari premis terbabit.
Selain itu, keris Taming Sari dan Seri Gading tidak disimpan di dalam galeri selepas waktu lawatan yang berakhir pukul 5 petang.
Sebaliknya,
kedua-dua keris kebesaran Perak tersebut dibawa pulang oleh Tok Nara
Diraja yang bertugas sebagai Ketua Istiadat dan Penyimpan Alat Kebesaran
Perak ke Istana Iskadariah yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.
Pegawai
istana terbabit juga yang bertanggungjawab mengeluarkan Taming Sari dan
Seri Gading dari simpanan untuk dipamerkan ke dalam Galeri Sultan Azlan
Shah pada 10 pagi sepanjang tempoh tersebut.
“Sewaktu
kedua-dua proses tersebut berlangsung, kenderaan yang membawa bekas
khas kedua-dua keris itu akan diiringi oleh beberapa kereta peronda
polis bagi menjamin keselamatannya,” jelas Janati.
Biarpun
tidak mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan Taming Sari mampu
menjadikan pemiliknya kebal, Dzulkanain menjelaskan bukan calang-calang
individu mampu menyentuhnya.
Selain Sultan Azlan sebagai pemilik mutlak, keris itu hanya ‘tunduk’ di bawah jagaan Tok Nara Diraja.
Katanya, walaupun Taming Sari sudah lama tidak diasap dan dilimau, ada zikir khusus dibaca Tok Nara Diraja sebelum memegangnya.