REDANG PANJANG – Keadaan jambatan kayu yang reput dengan runtuhan tebing sedalam lebih lima meter di kawasan Kota Raja Bersiung, dekat sini, menggusarkan penduduk dan petani.

Penduduk, Abdul Wahab Hamid, 63 memaklumkan bahawa jambatan berkenaan telah berusia 16 tahun serta dipercayai telah dibina sekitar tahun 1996, dan sehingga kini tiada usaha dilaksanakan untuk membaikinya.

Menurutnya, jambatan berkenaan dilalui lori seberat 14 tan ke atas saban hari untuk mengeluarkan hasil sawit dan lain-lain hasil pertanian.

Manakala, wakil penduduk Redang Panjang, Mohd Zulkifli Mohd Rosidi, 51 memaklumkan, jambatan itu berfungsi sebagai menghubungkan kawasan pertanian dan jalan utama serta merupakan jalan utama untuk mengeluarkan hasil pertanian.

“Jambatan ini hanya menanti masa untuk roboh dan penduduk terpaksa berdepan dengan bahaya untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka, tambahan keadaan air sungai yang boleh melimpah hingga menenggelamkan jambatan ini.

“Lebih membimbangkan, jambatan ini dilalui puluhan lori untuk ke Felda Ijok yang terletak sekitar lima kilometer dari sini,” katanya ketika ditemui, di sini.


Aduan dipandang sepi

WAKIL penduduk Kampung Raja Bersiung, Abu Osman Ahmad, 71 mendakwa, aduan demi aduan yang dibuat oleh penduduk dipandang sepi hingga kini dan tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

Katanya, penduduk telah mengambil inisiatif sendiri untuk menahan runtuhan tebing di tepi jambatan itu berterusan dengan menambah batu, namun mereka sedar hasil usaha mereka itu hanya untuk sementara waktu.

“Hakisan tanah akan berlaku setiap kali hujan lebat melanda dan runtuhan tebing ini akan bertambah teruk. Kita harap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera berhubung masalah ini kerana tidak mahu berlaku kehilangan nyawa atau kejadian buruk di sini,” katanya.

Che Zamri Bidi, 38 berkata, kedua-dua masalah itu sepatutnya telah selesai kerana pihak berkenaan telah membuat pemantauan.

Menurutnya, setakat ini, pihak berkenaan hanya meletakkan pita kuning untuk memberi amaran kepada pengguna supaya berhati-hati, namun tiada tindakan susulan.

Dakwanya, terdapat pihak lain yang berjanji untuk menurap kawasan jalan itu tetapi menyepikan diri sehingga kini.

Pengusaha Kolam Ikan, Zazuuddin Mat Isa, 55 berkata, jambatan kayu itu sepatutnya ditukar dengan jambatan lebih kukuh seperti jambatan batu bagi menampung beban kenderaan berat.

“Bagi masalah tanah runtuh, saya cadangkan pihak berkenaan menggunakan tembok ‘gabion’ bagi mengurangkan kesan runtuhan dan seterusnya menyelesaikan masalah itu,” katanya.


Telah jumpa agensi

ADUN Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, beliau sendiri telah membuat tiga lawatan ke kawasan berkenaan kerana risau berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada penduduk dan petani.

Katanya, beliau sendiri telah berjumpa dengan agensi-agensi terlibat termasuk Risda dan Felcra, dalam usaha membaiki jambatan berkenaan.

“Dalam beberapa sesi tinjauan yang dilakukan ,saya dapat keadaan berkenaan telah mendatangkan masalah agak besar kepada penduduk serta petani. Saya harap agensi-agensi berkaitan dapat bertindak segera untuk membaiki jambatan itu supaya petani tidak perlu lagi berdepan dengan bahaya untuk mencari rezeki,” katanya ketika dihubungi, semalam.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/sabung-nyawa-cari-rezeki-1.29290