Pada asalnya, kedua beradik itu dilahirkan sebagai wanita tapi turut mempunyai alat kelamin lelaki yang menyebabkan pembedahannya menjadi sukar. Selepas Nor Intan Syamimi Mohd Rahim, 5, dilahirkan sedemikian, adiknya, Liahana Dalisya yang berusia 15 hari mengalami nasib sama.
Ibunya, Noraziani Rameli, 30, berkata, kalau dulu dia hanya perlu menampung kos perubatan Nor Intan seorang sahaja, kini kosnya berganda kerana Liahana juga perlu dirujuk sebulan sekali ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.
Katanya, Nor Intan ada kalanya mengadu sakit kesan ketumbuhan alat kelamin lelaki itu dan masalah sama sudah tentu akan dirasai Liahana tidak lama lagi jika tidak dibedah awal.
“Saya difahamkan pihak HUSM akan menentukan tarikh pembedahan, tempat pembedahan dan kosnya pada 24 Julai nanti, ia cukup merimaskan kerana saya tidak mempunyai wang untuk semua itu.
“Ketika ini saya masih berhutang dengan HUSM sebanyak RM700 itu pun tidak terbayar dan ditambah pula dengan kos pembedahan nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Tambak, Tasek Pauh, Selising dekat sini, semalam.
Noraziani ibu kepada lima anak itu berkata, suaminya, Mohd Rahim Yusof, 40, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan rendah serta tidak menentu.
“Saya sudah mengemukakan masalah ini kepada pemimpin setempat untuk dipanjangkan kepada wakil rakyat tapi sehingga kini belum mendapat maklum balas,” katanya.
Keluarga itu bernasib baik kerana dapat mendiami rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak tiga tahun lalu, sebelum ini mereka terpaksa menyewa rumah.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi Noraziani di talian 0139715272. Kes bayi dilahirkan mempunyai dua jantina dipanggil sebagai intersex dan dalam kebanyakan kes, proses mengenal pasti jantina sebenar bayi agak rumit.
Sebagai ibu, Noraziani yakin kedua anaknya perempuan dan hanya mengalami kecacatan yang mendatangkan kesakitan kerana turut mempunyai alat kelamin lelaki.
“Alat kelamin lelaki pada kedua anak saya tidak sempurna sebagaimana alat kelamin perempuan, saya yakin mereka perempuan, sebab itulah saya menamakan mereka dengan nama perempuan,” katanya.
Ketika baru dilahirkan katanya, kedua anaknya itu berkulit agak gelap tidak seperti anaknya yang lain.
“Saya agak risau keadaan itu kekal, syukurlah kulit mereka beransur cerah apabila membesar, bagaimanapun saya sedia menerima ketentuan takdir.
“Saya menganggap semua ini sebagai dugaan ALLAH, saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami yang hanya mampu berdoa agar kedua anak saya ini dapat menjalani pembedahan,” katanya.
Noraziani berkata, dia menyedari Nor Intan malu serta ada kalanya tidak mahu keluar rumah untuk bermain kerana diejek kawan-kawan.
SUMBER : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tidak-mampu-biayai-kos-bedah-anak-khunsa-1.180389