Diana Danielle selamat bersalin
Farid memuat naik gambar putera sulungnya itu melalui laman sosial Instagram miliknya
Diana Danielle selamat bersalin
Twitter milik Farid Kamil
Farid Kamil, Diana Danielle
Farid Kamil, Diana Danielle - Foto Bernama
 
TAHNIAH buat pelakon popular, Farid Kamil  di atas kelahiran bayi sulungnya bersama pelakon cantik, Diana Danielle.
Lebih awal dari tarikh jangkaan, bayi lelaki seberat 4.39 kilogram itu dilahirkan di Australia jam 4.30 petang, Selasa lalu.
Berita gembira ini dikongsi pelakon filem, Lagenda Budak Setan itu melalui laman sosial Instagram miliknya.
Farid, 31, juga turut memuat naik gambar putera sulungnya itu dengan kata-kata 'Welcome to the world my son".

Sebelum ini, Farid memaklumkan bahawa Diana sepatutnya bersalin pada 15 Julai depan, namun tidak menyangka proses kelahiran berlaku lebih awal.

Kelahiran bayi sulung pasangan ini sekali gus menepis dakwaan sebelum ini yang mengatakan Diana telah selamat melahirkan anak.

Malah, kontroversi gambar bayi yang dimuat naik Farid beberapa bulan lalu jelas membuktikan bayi tersebut bukanlah anak mereka.

Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo, By The Lake.

Selepas beberapa bulan berkahwin, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 22, berhijrah ke Sydney, Australia untuk melanjutkan pelajaran.

Tunggu kepulangan Farid: Fadzil
Walaupun Diana dan Farid menyambut kelahiran permata hati mereka di Australia, namun berita gembira itu sangat ditunggu-tunggu keluarganya di ibu kota.

Menurut adik Farid yang juga pelakon, Fadzil Zahari, mereka hanya berdoa dari jauh untuk keselamatan Diana dan bayinya.

"Alhamdulillah, bertambah seorang lagi ahli keluarga kami. Saya dimaklumkan oleh abang saya, isterinya bersalin secara normal.
"Diana dan bayinya juga dalam kondisi yang baik. Mungkin saya tidak berpeluang untuk melawat mereka di sana kerana kesibukan kerja.

"Keluarga saya juga mungkin merancang untuk ke sana. Sekiranya tak dapat pergi, kami sekeluarga akan menanti kepulangan mereka bertiga ke sini kerana abang saya memberitahu yang mereka akan pulang," katanya.
sumber : http://www.sinarharian.com.my/diana-danielle-selamat-bersalin-1.178661