BERMULA 1 Ramadan, umat Islam yang akil baligh, berakal dan tidak mengalami sebarang keuzuran mula berpuasa sehinggalah Ramadan melabuhkan tirainya dan Syawal menyingkap tabirnya.
Tahun ini merupakan tahun ke 1413 umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan jika didasarkan kalendar Hijrah yang mula dipergunakan pada tahun 622 sebagai tahun mula diwajibkan berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan.
Kalendar Hijrah didasarkan kepada tahun penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang mana jarak antara Mekah dengan Madinah mengambil masa 14 hari perjalanan.
Madinah atau nama asalnya Yathrib merupakan perhentian tradisi yang terpenting bagi laluan perdagangan dari Mekah ke Syria dan sebaliknya.
Orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi menguasai Yathrib sejak sebelum Masehi lagi.
Pada abad ke-5 Masehi barulah orang Khazraj dan Aus berpindah dari Selatan Tanah Arab ke Yathrib dan telah menguasainya.
Sebagaimana orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi yang merupakan orang agama, orang Khazraj dan Aus juga menerima tempias itu kerana pergaulan mereka dengan orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi.
Justeru itu selepas menguasai Yathrib sedikit sebanyak orang Khazraj dan Aus faham tentang ketuhanan, kenabian, kerasulan, wahyu dan hari akhirat.
Jadi tidak hairanlah apabila datang dakwah Islamiah ke Yathrib mereka mudah menerimanya.
Kerana itulah apabila kota kelahiran baginda tidak sesuai lagi menjadi pangkalan dakwah dan dengan perintah Allah, maka Rasulullah SAW telah memilih berhijrah ke Yathrib yang kini dikenali dengan Madinah bagi melancarkan tugas-tugas kerasulan baginda.
Setelah menjalani perjalanan jauh dan merbahaya dengan merentasi padang pasir yang luas dan panas, akhirnya pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan dengan 19 September 622, Rasulullah SAW bertemankan Abu Bakar As-Siddiq tiba di Quba, kira-kira tujuh kilometer dari Yathrib.
Baginda berehat selam empat hari di Quba dan sempat membina masjid pertama dalam Islam yang dinamakan Masjid Quba.
Pada hari Jumaat 12 Rabiulawal, bersamaan dengan 24 September 622 Masehi, baginda beserta Abu Bakar dan Ali bin Abi Talib yang menyusuli penghijrahan masuk ke Yathrib.
Pada hari yang sama Yathrib ditukar nama kepada Madinatun Nabiy yang bermakna 'Kota Nabi' yang kini dikenali dengan Madinah sebagai tanda penghormatan terhadap Rasulullah SAW. Pada hari dan tarik tersebutlah juga sembahyang Jumaat pertama kali diadakan.
Sayyidina Omar Ibnu Khattab yang merupakan Khalifah Ar-Rasyidin kedua adalah tokoh yang bertanggungjawab mencadangkan penggunaan kalendar sendiri oleh umat Islam.
Tahun penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah dipilih sebagai permulaan tahun hijrah manakala 'hijrah' atau hijriyah dipilih sebagai trade-mark kalendar yang kini sudah pun mencapai angka 1413 dari sudut bilangan tahunnya.
Setakat ini penulis tidak temui fakta sama ada kewajipan berpuasa sebulan bulan Ramadan bermula pada tahun 1 hijrah yakni pada tahun 622 Masehi atau jauh lebih awal dari itu.
Setelah demikian hebat dan tamadunnya kehidupan manusia, sepatutnya fakta-fakta itu tidak terus menjadi misteri.
Mudah-mudahan akan ditemui juga fakta itu nanti hasil usaha para cendekiawan Islam dengan dibantu oleh kecanggihan pelbagai perlatan sekarang.
Demikian juga bila menjelangnya bulan Ramadan, yang lazimnya di kuliah, dipercakapkan dan ditulis adalah tentang puasa, fadilat serta syarat sah puasa dan tuntutan kewajipan berpuasa serta kelebihan puasa sunat.
Jarang diperkatakan tentang larangan atau waktu dan keadaan yang haram untuk kita berpuasa.
Dalam Islam ada dua perkara pokok yang kena diberi perhatian yakni yang disuruh dan ditegah, dihalal dan yang diharamkan.
Buat yang disuruh dan halal berpahala, buat yang ditegah dan diharamkan berdosa.
Peringatan atau rangkai kata seperti apa yang dilakukan disangka perbuatan ahli syurga tetapi sebenarnya adalah perbuatan ahli neraka manakala perbuatan yang disangkakan pelakuan ahli neraka sebenarnya perbuatan ahli syurga tidak cuba dikaitkan dengan ibadah puasa.
Walhal larangan serta suruhan Allah dan Rasul-Nya relevan untuk semua keadaan dan suasana bagi kesempurnaan keislaman yang mana Islam itu sarat dengan disiplin.
Dalam tuntutan puasa wajib dan galakkan berpuasa sunat, kita juga diharamkan berpuasa pada hari tertentu yang mana sebab musabab ia diharamkan hanya Allah Yang Maha Tahu.
Yang pasti sama ada suruhan atau larangan-Nya tentu ada hikmah walaupun apa yang disuruh dan dilarang itu banyak yang bertentangan dengan naluri kita manusia yang terdedah kepada godaan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.
Sama-samalah kita mengambil peringatan dan iktibar supaya kerana terlalu ghairah, maka kita berbuat sesuatu yang kita anggap ibadah sedangkan pada hakikatnya kita melakukan amalan yang diharamkan.
Mudah-mudahan puasa kita dan segala amal ibadat kita pada tahun ini diterima-Nya di samping segala dosa kita diampunkannya dan tahap keimanan kita akan jauh lebih sempurna berbanding dengan tahuh-tahun yang telah kita tinggalkan.
lRAMLI ABDUL HALIM adalah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin, Rong Chenak, Pasir Mas, Kelantan.
petikan teks dari utusan