D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

13 Ogos 2010

kisah benar berlaku di negara kita -misi membunuh syaitan dan dajal

RASAH 11 Ogos – Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini dikejutkan dengan pendedahan seorang saksi yang memberitahu bahawa Rasidi Ismail mendakwa dia bertindak membunuh empat ahli keluarganya demi melaksanakan satu misi suci ‘membunuh syaitan dan dajal’.

Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Noor Suran Abdul Wahid ketika disoal balas oleh peguam bela kepada Rasidi, Hanif Hassan.

HANIF: Ada tanya OKT (orang kena tuduh) kenapa tanam kepala bapanya, Ismail Awang di Shah Alam, Selangor?

NOOR SURAN: Ada. OKT beritahu ketika itu dia bercelaru.

HANIF: Ada OKT beritahu bahawa kepala yang dia tanam itu adalah kepala Sayidina Abu Bakar?

NOOR SURAN: Ada.

HANIF:Ada OKT beritahu bahawa dia menanam kepala itu bagi menghalang ia diambil oleh syaitan dan dajal?

NOOR SURAN: Ada.

HANIF: Ada OKT beritahu bahawa dia ketika itu menjalankan satu misi suci untuk membunuh syaitan dan dajal yang kini banyak di muka bumi ini?

NOOR SURAN: Ada.

Saksi pendakwa kesembilan itu juga menyatakan, tertuduh ada memberitahunya bahawa nenek tertuduh, Sufiah Katas, 80, ialah jelmaan syaitan manakala datuknya, Atan Daud, 87, ialah jelmaan dajal.

Di samping itu, tertuduh mendakwa dia membunuh adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, kerana perlu menyelamatkan mangsa daripada syaitan dan dajal.

‘‘Tertuduh juga ada memberitahu sebelum semua mangsa dibunuh, dia telah meminta maaf daripada mereka,’’ kata Noor Suran.

Rasidi, 32, dibicarakan atas tuduhan membunuh bapanya, Ismail, 76, datuk dan neneknya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, di sini antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.

Tertuduh yang merupakan penganggur juga dituduh membunuh Siti Khadijah di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada masa dan tarikh yang sama.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin pula memberitahu, Rasidi berharap agar dia dibunuh ketika bertindak menyerang dua anggota polis bantuan di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu.

Menurut saksi kesepuluh itu, pemuda tersebut memberitahu tindakannya menyerang anggota polis bantuan itu bertujuan agar mereka menyerangnya semula.

HANIF: Ada dia beritahu tujuan dia menyerang anggota polis bantuan berkenaan supaya dia boleh terbunuh ketika diserang balas?

KHAIRIL ANUAR: Ada.

HANIF: Ada OKT beritahu dia mahu mati kerana dia sudah dijatuhkan hukuman mati?

KHAIRIL ANUAR: Ada.

Selepas saksi itu selesai memberi keterangan, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan Rasidi membela diri atas tuduhan yang dihadapinya setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berjaya membuktikan kes prima facie.

‘‘Laporan bedah siasat dan keterangan saksi membuktikan bahawa semua mangsa mati akibat kecederaan yang dialami mereka.

‘‘Mahkamah juga mendapati penemuan kepala, rekod percakapan tertuduh dan kelakuan tertuduh jelas menunjukkan niat tertuduh,’’ katanya.



petikan teks dari utusan online

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog