D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

29 Ogos 2010

Wajah Terkini M Rajoli


KEDATANGAN kami di pangsapuri mereka tengah hari Isnin lalu disambut mesra oleh isteri pertama seniman tersohor, M. Rajoli, iaitu Hashimah Mohd. Din.

Walaupun sebelum melangkah masuk ke rumah mereka hati sentiasa berharap agar ada perubahan kepada seniman itu, namun apa yang nyata dia masih seperti dulu.

Sebaik sahaja melangkah masuk, pandangan tetumpu di sudut kanan pangsapuri tiga bilik itu.

Di atas katil besi terbaring sekujur tubuh kurus dengan mata layunya terbuka sesekali tanpa kata-kata.

Ucapan salam kami tidak mendapat jawapan daripadanya hanya sekadar pandangan mata layunya yang menyimpan 1,001 rahsia yang hanya Allah SWT yang tahu.

Malah jika lima bulan lalu ketika penulis menziarahnya, M. Rajoli atau Mohd. Rajoli Mohd. Zin, 65, masih mahu bercakap sepatah dua kata, namun kini dia lebih senang menyepikan diri.

Jika isteri tercinta bertanya makan minumnya, M. Rajoli akan menunjukkan isyarat bagus jika lapar dan menggoyangkan tangan jika dia enggan makan.

“Macam itulah abang sejak dua bulan lalu. Dia tak mahu bercakap dan makan minum pun dia tidak pernah minta.

“Mulanya saya tunggu juga apabila dia mahu makan tapi lama-lama dia diamkan diri dan tidak pernah minta apa pun walaupun setitik air.

“Akhirnya saya buat keputusan memberi abang makan ikut waktu tertentu iaitu pukul 10 pagi beri sarapan, pukul 2 petang makan tengahari dan pukul 8 malam suapkan makan malam,” cerita Hashimah sambil memandang penuh kasih pada suami tercinta.

Bukan itu sahaja, malah kini Hashimah juga memastikan M. Rajoli memberi reaksi terhadap apa saja pertanyaannya terutama dalam memastikan makan minumnya terjaga.

“Memang abang semakin ‘malas’ mahu bercakap atau memberi sebarang reaksi. Tetapi akhirnya, kalau lapar abang akan tunjukkan jari tanda bagus tetapi kalau dia tidak mahu dia akan menggoyangkan tangannya.

“Begitulah keadaan abang. Masuk tahun ini sudah empat kali puasa abang hanya di katil. Kalau dulu pada puasa pertama pada tahun 2007 selepas pembedahan membuang ketumbuhan di kepalanya, abang masih boleh bercakap dan makan.

“Malah sejak tahun 2007 hingga 2009, abang masih puasa penuh. Tapi... kali ini saya tak bagi abang puasa sebab dia nak bercakap pun tak larat,” kata Hashimah sambil membetulkan kedudukan kaki suaminya.

M. Rajoli menjalani pembedahan penyakit limfoma (kanser kelenjar di otak) pada 11 November 2007. Selepas pembedahan itu, M.Rajoli menjalani kimoterapi sebanyak empat kali.

M. Rajoli asalnya boleh berjalan seperti biasa selepas pembedahan. Bagaimanapun, kata Hashimah, selepas darah dan air tulang belakang diambil untuk tujuan uji kaji, dia terus terbaring.

“Enam bulan abang menjalani fisioterapi tetapi apabila melihat tidak ada perubahan, saya dan anak-anak mengambil keputusan untuk menghentikannya.

“Tetapi kini setiap petang Selasa dan Rabu ada dua orang jururuawat dari syarikat swasta akan datang ke rumah untuk membuat fisioterapi.

“Selama sejam itu, mereka mengurut dan menggerakkan kaki dan tangan abang agar tidak kejang tanpa mengenakan apa-apa bayaran.

“Di samping itu sebulan sekali, saya akan ke Intistitut Jantung Negara (IJN) untuk mengambil ubat jantung abang,” cerita Hashimah.

Hashimah yang mempunyai empat orang anak hasil perkahwinannya dengan M. Rajoli - Siti Zaleha, 34, Nur Muhammad, 33, Siti Nazirah, 27, dan Mohd. Ariff, 23, ketika ditanya penjagaan terhadap suaminya, sambil membetulkan selimut suaminya, berkata: “Syukur benar saya ada anak-anak yang tidak merungut menjaga bapa mereka.

“Selalunya, saya yang jaga tetapi bila hari cuti anak-anak akan ambil alih tugas menjaga keperluan ayah mereka.

“Anak-anak sangat sayang ayah mereka dan begitu mengambil berat soal makan minum, buang air dan sebagainya kerana semuanya dilakukan di katil.

“Saya lega kerana mereka tidak ada perasaan jijik untuk menguruskan semua itu. Mungkin ini berkat didikan abang terhadap anak-anak sewaktu dia sihat dulu,” luah Hashimah.

Ditanya andai sesuatu terjadi kepada suami tercinta, Hashimah dengan tenang menjawab: “Sebenarnya sejak abang terbaring begini, kakak reda menerima apa juga kemungkinan yang akan berlaku.

“Jika suatu hari nanti ditakdirkan abang akan pergi meninggalkan kami anak beranak, kami reda.

“Tidak sampai hati saya melihat abang menderita begitu dan sudah kering air mata kakak menangis melihat abang begini.

“Namun sebagai isteri, saya sentiasa berdoa kesihatan dan kesejahteraan abang dan adalah tanggungjawab kakak menjaga abang dengan baik dalam sihat dan sakitnya.”

Itulah luahan hati dan semangat Hashimah yang tidak pernah padam terhadap suami tercinta.

Ketika kami memandang wajah kosong seniman tersohor itu, hati tiba-tiba tersentuh tatkala Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa mengucapkan Selamat Hari Raya, dengan pantas M. Rajoli menyambut dan menggenggam salam itu penuh erat.


teks dan gambar dari utusan

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog