D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

31 Ogos 2010

Al - Quran Dalam Bahasa Dunia

INILAH ayat-ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril ketika Nabi Muhammad SAW sedang bersendirian di Gua Hira’.

Peristiwa itu yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran disambut setiap kali tibanya 17 Ramadan.

Al-Quran telah disampaikan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Malah apabila Rasulullah SAW menghembuskan nafas yang terakhir, mukjizat agung tinggalan baginda adalah kitab suci al-Quran, selain hadis yang menjadi pedoman dan panduan umat Islam seluruh dunia sehingga ke akhir zaman.

Hakikatnya, penguasaan ayat-ayat al-Quran penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Menerusi al-Quran manusia mengenali tujuan mereka dihidupkan di atas muka bumi ini dan menjalani cara hidup sebagaimana dituntut syarak.

Allah berfirman yang bermaksud: ‘‘Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim. (an-Nahl: 89)”

Lantas, menguasai al-Quran perlu bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang untuk membaca nya dengan baik. Dalam surah Fatir ayat 29-30 pula Allah berfirman: ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya (dengan itu) Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaannya. Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas sebaik-baiknya.”

Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca tetapi ia perlu difahami kerana di dalamnya terdapat panduan dalam segala aspek kehidupan.

Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisa ayat 82 yang bermaksud: Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.

Meskipun al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, namun usaha untuk memahami pengertiannya menjadi milik semua umat manusia.

Justeru, terhasillah berbagai-bagai naskhah terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa di dunia ini.

Harapannya, kalam Allah itu dapat lebih dihayati dan bukan sekadar dibaca untuk santapan halwa telinga .

Tetapi tidak siapa tahu dengan tepat jumlah bahasa di mana al-Quran telah diterjemah.

Namun, Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif menghimpunkan terjemahan-terjemahan al-Quran ini.

Menurut Ketua Pustakawan UIAM, Nooraini Ismail, setakat ini pihak UIAM sudah dapat mengesan naskhah terjemahan al-Quran dalam 40 bahasa.

Antaranya Albania, Melayu, Indonesia (Basa Mandar), Burma, China, Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, Hungary, Filipina (Iranon), Jepun, Portugis, Korea, Kazakhstan, Macedonia dan Rusia. Malah ada juga al-Quran terjemahan dalam bahasa Rusia, Bosnia, Somali, Urdhu, Zulu, Thailand, Icelandic, Inca (Peru), Yunan, Tamil, Sind, Malayalam, Telugu, Turki dan beberapa lagi.

Kata Nooraini, idea mengumpulkan naskhah tersebut timbul pada pertengahan 2007 ketika beliau mengunjungi Mesir dan Jordan.

“Saya mula menyedari bahawa tidak pernah ada usaha untuk menghimpunkan aneka terjemahan al-Quran pelbagai bahasa secara khusus.

“Kebanyakan al-Quran terjemahan ini diperolehi dengan membelinya daripada pengeluar al-Quran, kompleks al-Quran King Fahd di Madinah, selain sumbangan daripada pihak-pihak tertentu termasuk pelajar.

“Koleksi ini sekali gus membuktikan betapa luasnya syiar Islam dan terdapatnya kehendak untuk memahaminya.

“Siapa sangka malah kami sendiri terkejut apabila berjaya memperoleh terjemahan al-Quran dalam bahasa Inca di Peru,” kata Nooraini yang mahu menambah koleksi sedia ada.

Ditanya kaedah penyimpanan koleksi terjemahan al-Quran itu, Nooraini memberitahu, pihak perpustakaan tidak mempunyai masalah penjagaan kerana ia merupakan naskhah cetakan moden dan bukannya manuskrip lama.

Terangnya, terjemahan al-Quran yang berada dalam simpanan mereka telah mendapat permit daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dirujuk terlebih dahulu dengan pihak agama di negara asal naskhah tersebut bagi memastikan kesahihannya.

Selain memiliki koleksi terjemahan al-Quran, pada tahun ini pihak perpustakaan UIAM juga telah menambah koleksi dalam bentuk elektronik iaitu e-quran yang mengandungi 30 juzuk dan terjemahan dalam 40 bahasa.

“e-quran ini memaparkan ayat al-Quran lengkap dalam format digital. Malah terdapat juga terjemahan beserta bacaan dalam bentuk audio dengan pelbagai pilihan surah, ayat, terjemahan dan pembacaan.

“Selain itu ia juga mengandungi hadis-hadis dalam empat bahasa, koleksi tafsir dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Urdu.

“Satu lagi kelebihannya ialah kemudahan untuk mencari waktu solat dan mencari arah kiblat bagi bandar-bandar utama di seluruh dunia,” kata beliau.

teks dari utusan

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog