Gitaris kumpulan Kristal serah diri di IPD Kajang
Gitaris kumpulan Kristal, Rody terkejut apabila menerima panggilan
daripada seorang inspektor polis wanita pada Rabu lalu dan
mengarahkannya segera menyerah diri di balai polis atas dakwaan menyamar
dan menipu duit orang ramai.
Menurut Rody, dia dituduh telah menipu beberapa individu dengan cara
menjual gadjet jenama Samsung menerusi online dan kononnya hasil jualan
gadget tersebut akan disumbang kepada sebuah acara amal yang dianjurkan
oleh Samsung dan kumpulan Kristal.
“Saya dapat panggilan telefon dari seorang Inspektor. Dia arahkan saya
menyerah diri. Kalau tidak, katanya dia sendiri akan datang ke rumah dan
menangkap saya. Saya pun terkejut sebab saya tak tahu apa salah saya.
Kemudian inspektor tu marah saya, dia kata dah lah saya menipu, lepas tu
‘lalok’ pulak. Lagilah saya terpinga-pinga. Tak pasal-pasal saya
dituduh lalok?”, katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada
majlis pelancaran Kapal Dredger Inai Kenanga, bertempat di Pulau Indah,
Port Klang, petang semalam.
Tambah Rody lagi dia pada mulanya tidak menghiraukan arahan pegawai
polis tersebut. Tetapi keadaan jadi rumit apabila hal tersebut sampai ke
pengetahuan bapanya. Atas nasihat dari anggota-angota bandnya, dia
pergi juga ke balai dan memberikan kerjasama.
“Pada mulanya saya memang tak mahu ke balai polis sebab petang tu saya
bersiap nak pergi menyaksikan konsert Metallica. Tapi Inspektor tersebut
menelefon bapa saya. Bapa saya telefon saya dan mengamuk suruh saya ke
balai. Sampai di balai saya terus di soal siasat. Saya siap tunjuk tiket
Metallica lagi pada polis tu, bukti yang saya nak ke konsert.
“Rupanya baru saya tahu yang ada individu lain menyamar sebagai saya.
Individu tersebut telah menjaja nama Samsung dan nama Kristal. Dia telah
menjual 3 tablet Samsung dengan harga RM1700 kepada seorang mangsa
penipuannya dengan alasan hasil jualan tersebut untuk acara amal anjuran
kami dan Samsung. Ikut logik mana ada orang jual tiga gadget sekaligus
dengan harga sebegitu.
“Saya difahamkan kalau saya tak serah diri, mangsa tersebut juga mahu
mendedahkan perkara ini kepada pihak media. Sejujurnya saya memang tak
pernah jual apa-apa barang. Tak pernah pula kami (Kristal) rancang nak
buat apa-apa acara dengan Samsung”, katanya.
Sebagai membersihkan namanya dan kumpulan Kristal, Rody turut membuat
laporan polis. Dalam pada itu Rody tidak mengesyaki mana-mana pihak yang
cuba memburukkan namanya dan kumpulan Kristal.
” Ini pertama kali saya berdepan dengan tuduhan sebegini. Saya tak tahu
dan tak syak siapa-siapa yang nak aniaya saya. Orang ramai pun di harap
jangan lah mudah percaya walaupun didatangani individu yang mengenalkan
diri mereka sebagai artis, apa lagi nak jual barang.
“Saya harap hal ini akan selesai segera. Saya pun dah buat laporan
polis. Sekarang ni tengah tunggu siasatan polis”, katanya yang membuat
laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang, kelmarin.
sumber:http://nurulamierulamir.blogspot.com/2013/08/gitaris-kumpulan-kristal-serah-diri-di.html