Misi mencari Afran yang hilang merupakan titik permulaan pengembaraan
Idrus bersama adik-beradik angkatnya iaitu Giran, Hana dan Qyra untuk
menyelidik sejarah Tok Long yang dirahsiakan. Kecacatan dan parut pada
muka Tok Long merupakan dorongan utama untuk kesemua anak-anak angkatnya
membalas dendam, tetapi Tok Long sentiasa menghalang dengan keras
hasrat mereka itu tanpa memberi alasan yang jelas.Tatu merah yang ada
pada pergelangan tangan Tok Long juga menjadikan dorongan mereka untuk
terus curiga. Perasaan ingin membalas dendam untuk Tok Long terus
membara, tambahan pula dengan ilmu mempertahan diri yang penuh di dada,
yang diturunkan sendiri oleh ayah angkat mereka. Kesempatan untuk
meninggalkan kampung demi misi mencari Afran disalahgunakan oleh kesemua
adik-beradik angkat itu. Selepas menjumpai Afran di awal misi, mereka
meneruskan penjelajahan untuk menyelidik sejarah Tok Long. Pertembungan
dengan Botak merupakan titik peralihan utama kepada pengembaraan mereka.
Perkataan ‘Lambang Merah’ yang terkeluar daripada mulut botak semasa
dia dipukul oleh orang-orang Man menarik perhatian Idrus dan
adik-beradiknya. Akhirnya, Idrus dan adik beradik-angkatnya itu berjaya
menyelamatkan Botak dan sebagai ganjaran, Botak menyediakan tempat
tinggal dan kabel pekerjaan. Botak membawa mereka ke Joni Hitam. Joni
Hitam merupakan orang kanan yang berpengaruh, yang berkhidmat di bawah
payungan sebuah kumpulan gelap yang masyhur bernama Lambang Merah. Aksi
daripada Giran dan Afran sudah cukup untuk meyakinkan Joni Hitam untuk
mengambil kesemua adik-beradik angkat itu berada di bawah naungannya.
Idrus terus bersetuju demi matlamat utamanya iaitu untuk mengbongkar
rahsia yang terbenam didada Tok Long. Akibat potensi dan kerja tangan
mereka, mereka akhirnya dihadapkan ke Tiger Lang iaitu Kepala kumpulan
Lambang Merah. Tiger Lang mempelawa untuk terus duduk di bawah
payungannya. Mereka juga akan diberikan kemewahan yang tidak mungkin
mereka dapat di tempat lain. Idrus mula berasa was-was akan kumpulan itu
kerana dikhuatiri dapat menyesatkan mereka, tetapi demi matlamat
utamanya, dia tetap bersetuju. Tambahan pula dengan desakan keras
daripada Giran yang semakin gilakan harta dan sudah mula lali dengan
persekitaran yang gelap. Jauh di dalam hati Idrus, dia sudah dapat
merasakan bahang akibat mengingkari arahan Tok Long tetapi tetap
meneruskan pengembaraannya demi hati yang curiga. Tetapi, apa yang
dirancang Idrus tidak menjadi. Akibat ditaburi kemewahan dan bergelumang
dengan kejahatan, misi utama Idrus kelihatan semakin kelam kerana
mereka semua sudah mulai lalai. Ternyata kerja-kerja haram dan gelap
mampu mengaburi mata manusia. Ternyata cinta mampu membutakan
perjalanan. Yang disangka teman, rupanya bukan. Dek kemewahan, mereka
juga sanggup berbunuhan. Cinta dan dusta tidak dapat mereka bezakan
kerana memilih kehidupan yang sedemikian. Hubungan di antara
adik-beradik itu juga mula bergolak. Pengembaraan untuk mencari rahsia
Tok Long terus pudar. Persoalan yang timbul bukan sahaja kemampuan
mereka untuk membongkar rahsia Tok long, tetapi mampukah mereka kembali
bersatu.
Idrus (Pelakon Utama)
Giran (Pelakon Utama)
Afran (Pelakon Utama)
Qyra (Pelakon Utama)
Hana (Pelakon Utama)
Suria (Pelakon Utama)
Botak (Pelakon Pembantu)
Tiger Lang (Pelakon Pembantu)
Tok Long (Pelakon Pembantu)
Man (Pelakon Pembantu)