Menurut Sabariah, 43, dia terharu dengan kata-kata Ameng dalam surat yang diterimanya pada Selasa kerana ia menunjukkan sifat romantik suaminya yang tidak pernah diungkapkan dengan kata-kata selama lapan tahun mereka mendirikan rumah tangga.
“Saya baru terima surat ketiga daripada Ameng pada hari ini (Selasa). Surat itu dikirimkan pada 9 Oktober lalu tetapi baru hari ini sampai.
“Surat kali ini sangat mendalam dan istimewa. Ia menguatkan lagi hubungan kami suami isteri,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Selasa.
Sabariah berkata, surat itu mengukuhkan lagi ikatan mereka biarpun dia terus disindir dengan kata-kata sinis segelintir pihak yang mempersendakan hubungan mereka sejak penahanan Ameng di Penjara Kluang, Johor kira-kira setahun lapan bulan yang lalu.
“Banyak dugaan sejak dia dipenjarakan. Ramai yang meragui kesetiaan Ameng terhadap saya apabila dia dibebaskan nanti tetapi saya percaya apa juga luahan dan kerinduannya itu adalah ikhlas.
Ujar Sabariah, surat itu juga menjadi pengubat kerinduannya sehingga dia bertemu semula dengan Ameng pada sesi lawatan akan datang selepas berjumpanya pada Aidiladha lalu.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 44, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan dadah.
sumber : http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2012/11/7/mstar_hiburan/20121106203556&sec=mstar_hiburan