Penganjur konsert Metallica ditangkap
NEW DELHI – Polis semalam menyatakan pihaknya telah menangkap penganjur konsert Metallica di India selepas satu keganasan berlaku pada minggu lalu.
Empat eksekutif daripada Rangkaian Hiburan DNA ditangkap di Gurgaon, pinggir New Delhi kerana disyaki menipu.
Konsert itu dirancang diadakan pada Jumaat lalu sempena perlumbaan kereta Formula Satu (F1).
Bagaimanapun, konsert tersebut dibatalkan band Metallica atas alasan ‘sebab-sebab keselamatan.’
Konsert itu dibatalkan semasa band tersebut bersedia untuk muncul di pentas.
Para peminat kumpulan itu kemudian marah ekoran band tersebut tidak muncul.
Kumpulan peminat itu sudah menunggu selama beberapa jam manakala sejumlah kecil mereka menyerbu pentas dan merosakkan peralatan selepas band berkenaan tidak muncul.
Menurut seorang pegawai kanan polis, Alok Mittal, seorang penduduk Gurgaon telah memfailkan satu kes polis selepas syarikat berkenaan enggan memulangkan wang tiket.
Ribuan peminat yang berkumpul untuk menghadiri konsert tersebut menuntut supaya wang yang telah diguna untuk membeli tiket dipulangkan dengan segera.
Peminat-peminat itu mendakwa tiket yang dijual penganjur lebih banyak daripada had kapasiti penonton.
Pihak penganjur menyatakan alasan teknikal sebagai punca konsert berkenaan dibatalkan. sumber http://gambargambarpelik.blogspot.com/2011/10/penganjur-konsert-metallica-ditangkap.html