BOLEHKAH ROH SUAMI KEMBALI MENIDURI ISTERINYA YANG MASIH HIDUP?
Soalan: Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga
bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang
pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi
dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula
dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum
kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki
tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan
orang hidup.
Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.
Banting, Selangor.
Jawapan:
Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini,
pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur
bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya,
benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah
suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin,
lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya
yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin
bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh
berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’
– alamul khulud – yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu
tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang
akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian
daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan
berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali
ke alam dunia.”
Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya
kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami.
Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini
memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini
sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat
51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang
menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya,
adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai
kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan
Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat
teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun
Syaitan.
Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta
tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen.
Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan
berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu
keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami
terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah
suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke
rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali
kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya
adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak
mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu
bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh
memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh
ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang
bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada
makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak
membenarkannya kembali ke dunia.”
Ayat al-Quran lain ada menyebut,
“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”
“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”
Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati
berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke
alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam
Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh
kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu
orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur,
tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh
kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab
itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada
dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam
kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas
al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati,
kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi
seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan
orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir,
Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak
tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa
kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya
disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam
fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua
fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan
tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila
dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam
Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan
ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh
adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia
yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.
Wallahu a’lam.
sumber : http://akakdisebalikpintu.blogspot.com/2012/11/bolehkah-roh-suami-kembali-meniduri.html
Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din
Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din