CROMOK AKHIRNYA MELAKUKAN REUNION?
CROMOK REUNION!!! Setelah sekian lama peminat-peminat Cromok menantikan
saat-saat bersatunya semula kumpulan thrash metal paling popular di Malaysia
kini harapan dan masanya telah tiba! 'Comeback' tersebut akan membariskan
line-up klasik Cromok iaitu Sam (bass/vokal), Karl (gitar) dan Miji (dram).
Menurut Sam, setakat ini projek tersebut masih dalam perancangan dan belum
diputuskan secara rasmi.
"Kemungkinan
kita hanya akan melakukan konsert reunion tetapi perancangan untuk merakam
album belum ada lagi, tapi tunggulah, tengok macamana nanti." Karl pula
turut mengesahkan berita gembira tersebut. "Kita dapat banyak sangat
permintaan untuk reunion, jadi kita sedang berusaha ke arah itu," ujar
Karl yang mengeluarkan album solo pertamanya awal tahun ini berjudul 'Shred It
Back'. Sementara Miji pula teruja untuk bermain semula setelah sekian lama
tidak aktif bermain muzik. "Kita memang tengah bincang tetapi konsert
reunion ini bukan dalam masa terdekat. Aku pun kena praktis dan mantapkan
permainan dalam masa dua tiga bulan ni. Kalau jadi pun mungkin dalam tahun
depan, sekitar bulan Mac. Kita pun tak tau sambutan macamana, nanti letak harga
tiket mahal-mahal takda orang datang pulak (ketawa)," ujar Miji. Sebagai
penghormatan kepada mereka, di bawah disiarkan temuramah eksklusif bersama
Cromok untuk isue kedua Karisma keluaran Februari 2010. Maklumat dalam
temuramah ini tidak akan dapat dan tidak pernah dibuat oleh majalah atau
akhbar! Isu tersebut masih ada dalam simpanan dan bagi sesiapa yang mahu
mendapatkannya boleh berhubung dengan Karisma.
SEDUTAN
INTERVIU DI MAJALAH KARISMA EDISI KE 2
Oleh
: Xul Metal Storm.
Kehadiran Cromok pada awal '90-an adalah satu
fenomena di luar realiti yang memecah dominasi irama rock tempatan. Ini kerana
sebelum ini laman hiburan tempatan dimonopoli irama tersebut dengan menerima
hujanan album-album rock sehingga mengakibatkan satu kebanjiran karya yang
tidak bermutu. Bermula dari bawah lebih 20 tahun lalu dengan bermain di hadapan
kira-kira 200 peminat muzik underground di Australia dan seterusnya berada di
puncak populariti dengan melakukan persembahan untuk lebih 20,000 penonton di
Kuala Lumpur. Mereka adalah prototaip kepada 'thrash kapak' di Malaysia dan
bukan satu liabiliti sebaliknya satu entiti penting dalam sejarah rock di
negara kita. Cromok sebenarnya bukan datang daripada spektrum muzik underground
metal tempatan tetapi mereka mempunyai peranan yang amat besar dalam industri
muzik tempatan. Mereka memainkan fungsi yang mendefinisikan bentuk irama berat
dan bagaimana bentuk itu diolah ke tahap maksimum tanpa perlu menjejaskan
kefungsian, itu adalah satu kuasa magis daripada Cromok!
Invasi pertama mereka adalah melalui
demo-album 'Image of Purity' pada 1989/1991 yang merupakan karya klasik thrash
metal tempatan. Selepas itu, sebanyak lima buah album lagi dirakamkan yang semuanya
kekal menggunakan bahasa Inggeris dengan lirik bertemakan fantasi dan realiti.
Sementara realiti dan fantasi muzik mereka bermula daripada asas thrash tetapi
turut digarapkan dengan elemen daripada heavy hingga speed metal. Mereka
terkenal dengan muzik yang bermelodi, harmonik, separa teknikal (awal) dan
teknikal (kemudian), sound, ritma dan lenggok solo tersendiri serta mempunyai
pelbagai variasi yang membentuk dimensi metalik mereka antara laju atau pun
perlahan. Mereka adalah raja thrash Malaysia walaupun ungkapan 'thrash' pernah
dinafikan sebelum ini tetapi itu adalah pengkelasan yang dikira tepat dan
paling imbang dalam neraca pengkonsepsian.
Biasanya apabila melakukan introdusir tentang
Cromok dalam satu-satu temuramah, ungkapan klise yang biasanya kita dengar
adalah 'mereka tidak perlu diperkenalkan lagi' kerana semua sudah tahu mengenai
mereka tetapi benarkah begitu? Sejauh mana sejarah kumpulan ini diketahui yang
mana pernah mencetuskan satu polemik di luar intelektualisme metal sebenar hanya
kerana dibicarakan tentang pengaruh Ulek mayang dalam muzik mereka atau
penuntut Melayu buat album thrash metal di luar negara? Cromok lebih daripada
itu jika diangkat dan diletak mereka ke tempat sewajarnya lalu diperdebat
tentang sound, stail dan keunikan muziknya. Sempena album kompilasi terbaru
Cromok 'Anthology' baru-baru ini, satu interviu secara holistik dilakukan
bersama Sam bass/vokal yang juga pengasas utama grup lagenda sepanjang zaman
ini. Cubaan untuk mengumpulkan Miji dan Karl adalah terlalu sukar disebabkan
kesibukan masing-masing. Bagaimanapun temuramah ini menjawab hampir semua
persoalan dan ini juga merupakan satu metalurgikal tentang Cromok.
Selepas pertengahan 80-an kamu, Miji dan Karl
berhijrah ke Australia untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Wollonggong,
Sydney, Australia tetapi sebelum migrasi itu, adakah semuanya memang peminat
rock dan heavy metal serta mengikuti perkembangan muzik tersebut di tanah air?
"Kami sememangnya mengikuti perkembangan muzik rock tanah air, sejak zaman
kemunculan band-band yang sekarang ini dianggap sebagai 'legend' contohnya
Sweet Charity, Rusty Blade, Search, Ella and The Boys dan sebagainya,"
kenangnya ketika itu yang mereka semuanya masih remaja, Sam atau nama penuhnya
Shamsudin Ali sambil menggenggam semangat zaman itu menyambung kembali,
"selain itu, terdapat juga 'rockers-rockers' awal seperti Metallian, SYJ,
Bloodshed dan D'Fesbian yang turut kami minati pada zaman itu. Biasala demam
rock masa tu kat mana-mana saja. Muzik rock telah kami minati sejak zaman
sekolah menengah lagi dan terus meminatinya hingga kami melanjutkan pelajaran
ke luar negara."
Macamana dengan perkembangan irama metal
khususnya thrash ketika mula-mula kamu jejakkan kaki ke Australia? "Metal
scene di Australia, lebih kurang sama dengan 'metal scene' di Malaysia. Masa
baru-baru sampai sekitar 1986, tempat yang paling popular untuk konsert dan gig
metal ialah di Sydney iaitu tempat atau kelab yang bernama Seven Hills Inn, The
Den Penthurst dan Teachers Club. Mula-mula kami pergi tengok gig aja tetapi
tidak sangka pula tidak lama selepas itu apabila Cromok ditubuhkan dan aktif,
kami pula bermain dekat situ dan bernasib baik kerana di beri peluang untuk
mangadakan persembahan," singkapnya yang semakin jauh menelusuri zaman mengenai
introduksi awal mereka dengan pergerakan muzik underground negara berkenaan
setelah mengikuti perkembangan irama ekstrem sejagat waktu itu, speed dan
thrash metal!!!
Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk
menubuhkan Cromok sedangkan kamu semua merupakan penuntut sepenuh masa di
universiti terbabit dan bila kenal antara satu sama lain? "Panjang
cerita...," celahnya ringkas tetapi membuatkan penulis berdebar-debar dan
tidak sabar dengan cerita selanjutnya, "aku, Miji dengan Karl sudah kenal
sejak sebelum kami sambung pelajaran ke Australia, kenal masa kat Malaysia
lagi. Sebenarnya kami semua adalah penuntut Sekolah Menengah Sains Dungun,
Kemaman, Terengganu dan semuanya sama 'batch' dengan aku. Kira kat sekolah tu
kitaorang antara mat rocklah (tersenyum)." Bila pula kenal dengan arwah
Din yang kemudiannya menjadi gitaris/vokalis Cromok? "Arwah Din atau
Khairudin Muhammad kami kenal masa di Australia, dia sambung pelajaran lebih
awal daripada kami. Aku orang Johor, Karl dari Selangor manakala Miji dan Din
berasal dari Kelantan. Idea nak tubuhkan band datang daripada kebosanan duduk
kat rumah, tak tau nak buat apa masa 'weekend'. Kami memang minat muzik dan ada
'basic' main muzik masa tu."
Cromok sebenarnya ditubuhkan pada 1986 tetapi
ketika itu masih tidak mempunyai nama (pra-Cromok) dan diwujudkan hanya untuk
mengisi masa terluang. Kamu (bass/vokal) dan Din (gitar/vokal) adalah pengasas
utama kumpulan ini bersama-sama Ji (dram) dan Denan (gitar) dengan memainkan
lagu-lagu cover daripada kumpulan Iron Maiden, Deep Purple, Helloween,
Metallica, Slayer, Kreator dan lain-lain. "Ya, Ji atau Nik Ramzee dan
Denan atau Che Adnan adalah line-up asal. Din, Ji dan Denan kami kenal masa di
sana, mereka 'senior' kami yang belajar di universiti yang sama. Ji dan Denan
tidak bertahan lama, pada peringkat awal, setiap tiga bulan akan bertukar-tukar
line-up (tergelak), tidak terkira banyaknya yang semuanya adalah budak-budak
Malaysia yang belajar kat sana. Boleh dikatakan ramai yang boleh main muzik.
Masa tu dah start main lagu-lagu thrash." Bila band ini mula serius dan
bergelar Cromok? "Kami 'start' serius pada 1987 apabila Miji atau Tarmizi
Mokhtar masuk sebagai pemain dram diikuti Mat Puck atau Muhammad Fadhil yang
bermain gitar selain aku dan Din. Miji, Din dan semua bekas anggota Cromok
berasal dari Kelantan, cuma aku dan Karl
atau Khairul Anuar Shariff dari negeri lain. Kami namakan band kami sebagai
Cromok dan nama ini tidak mempunyai sebarang makna pun."
Sam berkata, tahap penguasaan bermain
alat-alat muzik masih lagi sebagai pemuzik amatur tetapi gigih berusaha untuk
memantapkan kemahiran masing-masing. Mereka kemudian mengumpul duit
masing-masing sebagai untuk modal membeli gitar, bass, set dram, amplifier dan
peralatan lain. Dengan sumber kewangan itu juga tempat letak kereta di rumah
sewa mereka diubah suai menjadi 'mini studio' untuk berlatih, 'jamming' dan
tempat berkumpul bersama rakan. Menceritakan bagaimana mereka membahagi masa
antara belajar dan bermain muzik, Cromok katanya, hanya bermain pada cuti
kuliah iaitu setiap Sabtu dan Ahad. Difahamkan ahli-ahli Cromok turut bekerja
sambilan semata-mata untuk bermain muzik? "Biasala cari duit untuk main
muzik dan beli album-album metal baru masa tu. Kitaorang bekerja 'part time'
bila cuti panjang macam 'summer break'. Sebahagian besar 'student oversea' akan
bekerja pada masa ni. Selain kerja sampingan, kalau bernasib baik dapatla buat
'show' tambah pendapatan sikit." Ramai penuntut tempatan di universiti
tersebut yang jadi mat metal? "Mat metal, mana mana pun sama, segelintir
sahaja 'student' tempatan kat sana yang jadi peminat muzik metal. Ada yang
bukan daripada peminat metal tetapi turut beri sokongan dan menjadi 'peminat'
Cromok sebab kami antara band Melayu
yang ada pada masa tu. Kitaorang takde duit beli peralatan muzik yang bagus
masa tu, apa yang ada belasah ja (ketawa), maklumlah gila sangat nak main
muzik."
Masa itu kumpulan yang paling menonjol dan
baru menghasilkan album di negara tersebut ialah Mortal Sin 'Mayhemic
Destruction' dan Hob's Angel Of Death 'Hob's Angel Of Death' pada 1987. Band
seangkatan dengan Cromok ialah White Trash, Massive Apendage dan Mass Appeal
yang baru bermula dan tidak punya demo lagi. Bagaimana scene di Australia masa
tu? "Ada banyak lagi nama yang menonjol pada masa tu, Addictive, Fester
Fanatics, Frozen Doberman dan beberapa lain. Kami bernasib baik kerana dapat
bermain bersama selain diberi peluang oleh band-band berikut untuk menjadi
'opening show'." Selain Cromok ada sebuah lagi kumpulan rock Melayu yang popular di Australia ketika itu,
Mustafa Tapuk, boleh cerita mengenai kumpulan ini? "Sebenarnya band
Mustafa ni top kat Australia tapi bukan main rock atau metal tetapi irama pop,
country dan sebagainya. Dianggotai oleh pemuzik-pemuzik Melayu dan mempunyai ramai
peminat kat sana walaupun tidak pernah menghasilkan album, mereka main kat
pub-pub dan memang pemuzik yang bagus."
Kontras kepada kelaziman band biasa ketika di
awal penubuhan yang sering memainkan lagu-lagu idola mereka, Cromok, walaupun
turut berbuat demikian tetapi pada masa yang sama sudah mula mengeksplorasi
kreativiti untuk mencipta lagu, "sejak tahun 1986 lagi kita sudah mula
mencipta lagu-lagu sendiri. Antara lagu yang paling awal ialah 'Journey' dengan
'Metallurgical'. Ketika itu kami banyak berlatih dalam garaj," dan sejak
itu, mereka terus menggubah lagu-lagu sendiri sehingga melebihi keperluan untuk
sebuah demo tetapi tidak mampu merakamkannya dari 1987 hingga 1988 kerana
ketiadaan modal, "bukan setakat kewangan sahaja malah daripada segi studio
rakaman dan material yang masih menjadi tanda tanya menyebabkan rakaman
terpaksa ditunda ke tahun 1989," rujuknya terhadap demo 'Image of Purity
yang sepatutnya dirakam satu atau dua tahun lebih awal tetapi tidak mampu untuk
direalisasi impian tersebut.
Sebelum berjaya merakamkan demo tersebut,
Cromok buat pertama kalinya berpeluang bermain dalam gig sulung pada tahun 1988
sebagai kumpulan pembukaan untuk sebuah kumpulan crossover tempatan. Mengimbau
kembali kali pertama beraksi di pentas, Sam, agak kuat ingatannya tentang
persembahan bersejarah itu, "gig pertama kami, 'opening' untuk band
punk-metal Fester Fanatics. Cromok banyak main lagu cover Metallica , Anthrax
dan sebagainya bersesuaian dengan gig hari tu. 'Performance was ok' tapi
'crowd' memang dingin. Rata-rata yang datang lebih kurang 100 orang yang
majoritinya mat Salleh. Ni semua 'regular pub goers' atau peminat Fester
Fanatics. 'Malaysian student' ada beberapa kenalan rapat sahaja yang
datang," menceritakan pengalaman pertamanya bersama Mat Puck, Din dan
Miji. Jadi gig pertama bukanlah di Seven Hills semasa beraksi dengan White
Trash, Massive Apendage dan Mass Appeal seperti yang dikatakan sebelum ini?
"Betul tu, gig di Seven Hills bukan persembahan pertama tetapi kedua, kami
terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan baru seperti yang disebutkan
tadi," katannya dan sejak itu mereka semakin aktif bermain gig dalam tahun
tersebut.
Pada 1989, Mat Puck atau dikenali juga
sebagai Pucky meninggalkan Cromok dan tempatnya digantikan oleh Karl atau Chot
daripada satu lagi kumpulan thrash, Keraz yang dianggotainya bersama pemuzik
mat salleh, mengulas menengenainya, "apabila Karlmenyertai Cromok band
lamanya terus senyap dan sebelum itu pun mereka tidak sempat merakam sebarang
demo," jelas pemilik suara kasar yang mempunyai keunikan sendiri itu.
Ceritakan pengalaman merakamkan 'Image of Purity'. Apa memori yang paling manis
dan tidak dapat dilupakan. "Image of Purity dirakamkan secara 'live'. 'Edit' hanya 'part
vocal' dan 'solo'. 'Recording' dalam masa tiga hari dan dua hari 'mixing'. Kami
menggunakan '16 track recording tape' dalam studio kecil di persekitaran
Wolonggong. Memori terbaik adalah daripada segi kecekapan 'sound engineer'
mengendalikan studio rakaman. 'Studio Owner' iaitu 'sound engineer' (Rob
Specogna-Xul) bukannya seorang peminat muzik metal dan tiada pengalaman dalam
menghalusi kehendak pemuzik metal. Tetapi atas dasar 'professionalism' dia
dapat menghasilkan satu 'demo recording' yang berkualiti dan mampu bersaing
dengan penjualan 'recording studio' yang jauh lebih mahal." Betul ketika
itu Cromok sebenarnya mempunyai lebih daripada enam buah lagu? "Benar,
ketika merakamkan demo itu kami sebenarnya sudah mempunyai berbelas-belas lagu
tetapi 'record' enam lagu saja, yang lain simpan untuk demo berikutnya, untuk
rakam album memang tidak pernah terlintas pun."
Bagaimana respons dalam underground scene di
Australia masa tu ? "Respons dari 'underground scene' adalah sangat baik.
Kami diberi peluang untuk muncul dalam beberapa fanzine terutamanya dari
kawasan Sydney dan Melbourne, termasuk dalam satu majalah muzik komersial
tempatan. Selain itu kami pernah diinterviu dalam siaran radio tempatan
Witching Hour. Selepas demo itu, kami bermain gig sekitar Sydney sahaja dan
bianya jadi 'opening band'. Kami main seperti di The Den, Teachers Club, Seven
Hills Inn dan beberapa tempat lain." Ketika itu ada sasaran untuk pergi
lebih jauh dan hantar ke label-label besar seperti Noise Records atau
Steamhammer? "Kami ni band kecik ja, banyak band lain kat sana yang lagi
bagus, kami tak hantar pun demo kami kat label-label tu, cuma 'Image of Purity'
diedarkan dalam kuantiti kecil oleh pihak Utopia Records, biasala kawan-kawan
sama underground. Lagipun kami lebih suka 'stay underground' waktu tu, biasalah
'underground band' punya 'attitude'."
Selepas itu Cromok pernah menjadi band
pembukaan untuk Mortal Sin, band thrash paling popular di Australia ketika itu
bagi mempromosikan album kedua 'Face of Despair' pada 1989. Ini adalah salah
satu pengalaman paling berharga Cromok yang tidak dapat dilupakan. Apa
pandangan Mortal Sin dan Hobs Angel of Death, dua gergasi thrash Australia
tentang muzik Cromok? "Biasa-biasa ja tetapi ada menyatakan mereka minat
dengan muzik kami.Salah satu pengalaman besar adalah 'opening' untuk Mortal
Sin. 'Crowd' dan pengikut Mortal Sin adalah antara yang terbesar sekitar
Sydney. Hasilnya lebih ramai mat metal yang dapat mengenali Cromok,"
jelasnya yang ketika itu Mortal Sin baru sahaja menerima kemasukan pemain dram
baru, Nash Hall menggantikan Wayne Campbell. Berapa banyak gig pernah dimainkan
Cromok sepanjang di Australia? "Kurang dari 20 gigs sahaja yang kami mainkan
di Australia sejak 1988 hingga 1991. Peminat yang datang untuk gig antara 200
hingga 300 orang ja manakala konsert yang besar sikit 1,000 orang atau
lebih." Adakah main muzik masa itu sekadar untuk suku-suka atau ada impian
menghasilkan album dan seterusnya terkenal di dunia. "Sememangnya dari
asal lagi kami main muzik untuk suka-suka dan bukannya untuk menjadi popular
atau 'cari makan' melalui muzik."
Sekitar awal 1990 Cromok telah dihubungi oleh
fanzine-fanzine underground tempatan seperti Vortex From The East, Immortal,
Words Of Evil dan seterusnya mendapat ekspos dalam pergerakan underground di
Malaysia. Sejauh mana kamu mengetahui tentang pergerakan underground tanah air
masa itu? "Tidak banyak yang kami ketahui tentang pergerakan underground
di Malaysia. Aku ada dapat satu atau dua demo tempatan masa tu tapi lupa
namanya. Berbanyak-banyak terima kasih kami ucapkan kepada fanzine-fanzine
tersebut dan peminat-peminat muzik tanahair yang menyokong band kami. Ada
antara fanzine Malaysia berhubung dengan rakan-rakan kami iaitu 'Malaysian
student' yang bukan 'band member' untuk mendapat maklumat tentang Cromok. Bagi
kami, Cromok adalah kumpulan minoriti sahaja, perkembangannya hanya sekitar
'underground scene'. Kitoarang pun 'promote' yang termampu je, janji dapat main
muzik 'and active in the underground' (ketawa)." Pada awal 1990 ada sebuah
band black metal dari Pulau Pinang menggunakan nama Kromok, pernah dengar
tentang kumpulan ini? "Eh ye ke? Kitorang tak pernah tau la, masih ada
lagi ke?" Band tersebut berkubur pada awal 1991 dan tidak sempat merakam
sebarang demo walaupun masa itu memiliki lebih kurang empat buah lagu.
Menariknya, mereka pun kata nama Kromok itu tidak mempunyai maksud seperti juga
yang didakwa Cromok tetapi dipercayai berasal dari perkataan hentam keromo.
Penerbit album ekstrem metal tempatan, Jig,
adalah salah seorang penuntut dari Malaysia yang sama-sama belajar di
universiti berkenaan. Beliau pulang lebih awal ke tanah air dan merupakan orang
yang bertanggungjawab memperkenalkan demo Cromok kepada pihak atasan Valentine
Sound Productions (VSP). Seterusnya VSP bersetuju mengeluarkannya semula dalam
bentuk album pada awal 1991. Bagaimana deal dan persetujuan yang dibuat dengan
syarikat ini daripada segi royalti dan sebagainya kerana Cromok merupakan artis
pertama mereka. "Ini pun panjang juga ceritanya," cuba berseloroh
sambil mengulas lanjut, "Jig adalah juruadun atau 'sound engineer' untuk
gig Cromok di Australia. Banyak pertolongan yang telah beliau buat untuk band
Cromok termasuk memperkenalkan kami kepada VSP. Daripada segi deal atau
'royalty payment' untuk kami adalah sama, iaitu 'standard format' untuk
band-band lain di bawah naungan VSP," ceritanya dan VSP merupakan syarikat
pengedar kaset-kaset thrash atau ekstrem metal terbesar pada zaman itu sejak
bermula pada 1989 melalui album-album thrash antarabangsa seperti Sodom,
Bulldozer, Kreator, Destruction, Sabbat, Exodus, A.M.Q.A, Onslaught dan
sebagainya.
Album tersebut terjual lebih 30,000 unit
(dikatakan juga lebih 100,000 unit) dan merupakan satu fenomena dalam industri
muzik rock di negara ini! Kemunculan 'Image of Purity' tepat pada masanya.
Adakah kamu semua sedar dan ketahui tentang populariti Cromok di Malaysia waktu
itu? "Kami hanya mendengar khabar-khabar angin yang kami sendiri tidak
mengetahui kesahihannya, Alhamdulillah khabar itu bukan sekadar khabar angin
setelah kami pulang ke tanah air. Bayangkan album tersebut dikeluarkan ketika
kami semua masih di Australia, media tempatan sama ada underground atau
mainstream berhubung terus dengan kami dari Australia untuk mendapat maklumat.
Selain Cromok jangan lupa jualan album-album kumpulan metal lain tidak kurang
hebatnya seperti F.T.G dan Suffercation," jawab jurucakap Cromok itu yang
mana album pertama mereka mengecap populariti mendadak bersama-sama F.T.G. yang
baru dua minggu menghasilkan album mini 'Freedom's That's Gone' di bawah
syarikat Karun Seni. Cromok dan F.T.G. melakar sejarah thrash dan ekstrem metal
tempatan hingga mendapat ekspos yang meluas dalam media perdana seperti Utusan
Malaysia, Berita Harian, Media Hiburan, URTV dan sebagainya! Sehubungan dengan
itu juga irama thrash mengalami satu proses neutralisasi di kalangan masyarakat
Malaysia kerana muzik keras terbabit diterima dan mempunyai ramai peminat.
Bagaimana dengan reaksi keluarga ahli-ahli
Cromok masa itu, adakah mereka terkejut, kamu semua yang masih menuntut di luar
negara tetapi sudah memiliki album di negara ini? Keluarga kami terima segala
kenyataan seadanya," berterus terang tanpa berselindung kerana keluarga
masing-masing amat memahami situasi mereka. Sebelum mengeluarkan album kedua
'Forever In Time' Cromok sudah pun berada di (thrash) zon yang selesa dalam
industri muzik rock tempatan berikutan kejayaan album 'Image of Purity'.
Macamana Cromok boleh mendapat kepercayaan dan tawaran EMI sedangkan label ini
secara dsaranya bukan alternatif terbaik buat Cromok kerana sebelumnya tidak
mempunyai kaitan dengan irama berat apa lagi muzik seperti thrash? "Aku
pun tak berapa ingat tetapi EMi berminat mungkin disebabkan album pertama yang
meletup di pasaran. Melihatkan tawaran bagus yang diberi selepas pulang ke
Malaysia iaitu sebelum album kedua dirakamkan, aku, Miji dan Karl bersetuju
untuk menjadi artis mereka dengan menandatangani kontrak untuk beberapa album.
Selepas itu kami terus berada di bawah EMI atas dasar kepercayaan syarikat itu
dengan penjualan album kedua."
Muzik bagi album ini tidak sekeras 'Image of
Purity' tetapi mempunyai melodi dan solo paling hebat, malah merupakan album
Cromok yang paling tinggi jualannya sehingga mencecah 100,000 unit. Ia
menampakkan satu proses kematangan muzik Cromok melalui album ini. "You’ve
said it better than I do' (ketawa)." 'Forever In Time' tidak menampilkan
Din yang juga merupakan anggota paling awal menamatkan pengajian dan pulang
dari seberang laut. Beliau menyumbang enam buah lagu termasuk solo untuk
'Forever in Time'. Mengapa nama beliau tidak diberikan kredit dalam album ini
sedangkan Din turut serta dalam penulisan lagu, mengenai soalan ini, Sam agak keberatan
untuk menjelaskan puncanya tetapi secara ringkas memberitahu, "sebab
musabab ini saya rasa lebih baik biarkan antara kami berempat sahaja yang
mengetahuinya." Din sebenarnya pernah menyuarakan rasa terkilan terhadap
Sam, Karl dan Miji dengan menyindir mereka menerusi album solo pertama Din
iaitu kumpulan D'Cromok berjudul 'VII Years VII Days' (1995) kerana tidak
memberikan kredit kepadanya sebagai salah seorang komposer untuk 'Forever In
Time'. Sebenarnya ada beberapa perkara lagi antara mereka yang menjadi sebab
hubungan agak dingin tetapi ia tidak manis untuk didedahkan di halaman ini
tambahan lagi perkara itu telah tertutup dalam lipatan sejarah.
Difahamkan pengunduran Din adalah kerana
idea-ideanya sering tidak diterima dan ini membuatkannya bergerak sendirian
secara solo dengan menubuhkan D'Cromok. Projek ini boleh disifatkan sebagai
Cromok dalam versi sedikit perlahan tetapi penuh dengan variasi daripada segi
pengaruhnya daripada heavy hingga thrash. Apa pandangan kamu mengenai dua album
D'Cromok? "'D'Cromok is another Cromok with different ideas'. Perlahan,
ganas atau variasi saya letak di atas tangan pendengar untuk menilai. Bagi saya
projek D'Cromok adalah satu anugerah untuk memantapkan muzik underground
tanahair." Sekiranya Din terus berada dalam Cromok, adakah direksi muzik
kumpulan ini akan lebih jauh berbeza dengan penghasilan selepas album 'Forever
In Time'? "Semestinya! Beliau memang mempunyai banyak idea-idea kreatif
yang kadang kala luar biasa sekali." Din menghembuskan nafas terakhir pada
penghujung 1997 setalah diserang penyakit malaria dan bukan seperti yang
digembar gemburkan sebelum ini, untuk itu diharapkan tidak ada lagi tanggapan
negatif yang berlegar-legar mengenai pemergiannya, Al-fatihah untuknya.
Sebelum 'Forever In Time' dikeluarkan Cromok
sempat mengadakan gig sulung di Life Centre, Kuala Lumpur bersama kumpulan
death metal jemputan, Suffercation. Ini adalah persembahan pertama Cromok di
negara ini dan penonton masa itu dilihat terlalu ghairah ingin melihat Cromok.
"Kami baru pulang ke Malaysia masa tu kalau tak silap (termenung
seketika)..." Lebih kurang dua minggu selepas balik dari Australia kan?
"Ha-ah, kira-kira dua minggu dan dah kena buat buat konsert pulak. Masa tu
kami tak berapa tahu sangat 'scene' dekat Malaysia cuma tahu sikit-sikit ja,
jadi bermacam-macam perasaan dan jangkaanlah. Penonton yang datang antara 600
hingga 700 orang, penonton ni memang gila-gila, ada yang 'excited' nak tengok
Cromok sampai 'banging' tak ingat dunia dan yang tidak. Contohnya kami kena
'boo' dan ada yang menjerit 'woi balikla' tetapi tidak kurang juga yang
fanatik," tersenyum mengenangkan saat itu tetapi tetap berpuas hati dengan
sambutan pada hari tersebut. "Kami diberitahu penonton yang datang
kebanyakan dari luar Kuala Lumpur seperti Johor, Selangor dan Melaka. Lepas
habis gig dan jumpa kami sekejap, diorang ni ambik bus terus balik kampung,
terima kasihla kepada semua yang datang," luahnya dan dalam gig tersebut,
Ogy, gitaris/vokalis Black Skull diundang khas di posisi gitar bergandingan
dengan Karl. Ogy adalah adik kepada Jack, gitaris F.T.G.
Selepas melakukan persembahan di sebuah
funfair di Gemas, Negeri Sembilan sekitar 1998, kamu ada beritahu saya Cromok
pernah mendapat tawaran menjadi kumpulan pembukaan untuk tour Motorhead di
Australia sekitar 1991/92 tetapi peluang itu terlepas begitu sahaja. Ini kerana
Din pulang ke Malaysia dan Cromok tidak sempat mencari penggantinya. Adakah
kamu rasa jika Cromok dapat bermain pada hari itu, peluang Cromok akan lebih
cerah tidak seperti mana hari ni, maksudnya mungkin ada label antarabangsa
berminat selepas menyaksikan kamu beraksi? "Wallahualam," terdiam
seketika sambil ingatannya mencari-cari radar zaman untuk kembali ke masa silam
dan seketika kemudian menyambung semula, "kitorang tak dapat cari
pengganti kerana masa yang diberikan hanya dua minggu sebelum 'show', kami
tidak terfikir pun untuk terus bermain dengan tiga anggota kerana kekok untuk
bermain 'three piece'. Nak cari bekas gitaris Cromok semuanya dah balik Malaysia
masa tu, jadi nak tak nak dan dengan berat hati kitaorang lepaskan ja tawaran
tu, memang sayangla lepas peluang macam tu ja."
Sewaktu itu (1992) sejurus pulang ke sini,
banyak kumpulan underground tempatan yang mula merakamkan album seperti F.T.G.
'After The Promise', Suffercation 'Day Of Darkness', Silent Death 'Before The
Sunrise', Brain Dead 'From The Ectasy' dan Pilgrim 'Perfume Garden'. Pendapat
kamu tentang kumpulan-kumpulan ini dan tidak terkejut masa itu kerana band
tempatan juga mampu keluarkan album? "Terkejut juga. Memang tak sangka
kerana pemuzik underground tempatan sudah maju dan berkembang sehingga ke tahap
itu. Kami berbesar hati kerana band kami yang merupakan 'part time musician'
mampu berentap dengan band-band tempatan yang rata-ratanya 'full time
musician'. Mereka mempunyai semangat perjuangan untuk maju, tidak hairanlah
mengapa mereka mampu mengeluarkan album yang lebih mantap dan tidak hairan juga
sekiranya album-album mereka mendapat sambutan dari negara luar,"
berbicara secara merendah diri walaupun era tersebut Cromok diangkat sebagai
kumpulan yang memberi nilai tambah kepada reputasi thrash di Malaysia!
Selepas album kedua Cromok lebih banyak
menumpukan perhatian terhadap kerjaya tetapi walaupun begitu masih mampu
mengeluarkan album ketiga 'Yours Truly' pada 1996. Muzik kali ini semakin
kurang berat (speed metal). "Susunan muzik menjadi lebih kemas walaupun
kurang berat. Kami lebih menumpukan kepada sound dan kualiti." Bagi album
'Yours Truly' bagaimana boleh datang idea untuk mengundang Khalid Mobin,
gitaris Rusty Blade untuk bermain solo? "'Your’s Truly ', untuk julung
kalinya kami menggunakan khidmat profesional untuk 'recording'. Kami dapatkan
khidmat Rusty Blade iaitu Zan dan Khalid Mobin termasuk DB production."
Selepas itu dalam satu persembahan di Fun Fair di Gemas, Cromok turut
menggunakan khidmat Zan sebagai pemain dram sementara bagi menggantikan Miji
yang patah tangan dan seorang lagi gitaris Rusty Blade, Mohd. Noor Hendrix,
mengapa memilih mereka? "Kami berkecimpung dalam arena gig di Malaysia di
bawah kelolaan Ella Production. Pemuzik Ella pada masa itu ialah Zan, Khalid
Mobin dan Yem Bai (bekas bassis Bumi Putra Rockers- Xul). Mereka adalah pemuzik
yang cemerlang daripada segi pembawakan dan permainan dan kami rasa mereka
mampu membawa muzik Cromok. Tidak kami duga mereka sanggup beraksi bersama kami
di 'funfare gig' di Gemas. Idea 'funfare gig' ini di kelolakan oleh bekas
'sound engineer' Ella’s Production iaitu Yusof Tapai."
Sekitar 1997 Amuk ditubuhkan dan tanpa perlu
dinafikan lagi kumpulan ini merupakan Cromok versi Melayu tetapi dengan lebih
lembut lagi. Kumpulan rock ini secara tidak langsung mempopularkan Cromok
tetapi pada masa yang sama, turut menjahamkan irama metal kerana langsung tidak
mempunyai originaliti dan tidak menepati maksud 'real metal'. Beliau dan Miji
yang pernah menyumbang lagu untuk kumpulan itu agak tersentak dengan pertanyaan
tersebut, "jangan cakap macam tu," ujarnya lembut sekali gus
membayangkan secara relatifnya bahawa Amuk memang 'bertopengkan' originaliti
Cromok, "mereka cuba mempromosikan muzik Cromok dan seterusnya muzik
mereka sendiri dalam bahasa ibunda dengan sebutan dan penghayatan yang lebih
jelas." Jika dikaji pada era itu, terdapat banyak kumpulan rock Melayu
yang mendakwa (thrash) metal tetapi hakikat sebenarnya kosong tanpa pengisian
kejiwaan irama metal yang sebenar -'false metal'!!! Sebenarnya kewujudan
kumpulan-kumpulan false metal ini satu tragedi kepada irama metal Malaysia,
yeyeh!
'Mean, Meaner, Meanest' pada 1999 adalah
karya yang tidak dijangka dan buat pertama kali menampilkan Hillary Ang sebagai
sessionis bagi menggantikan Karl yang tidak mampu lagi memberikan komitmen.
Album ini menampilkan hanya beberapa lagu baru yang dilihat sebagai permulaan
baru perjalanan muzik Cromok bersama Hillary. "'Mean, Meaner, Meanest'
adalah album separuh kompilasi dengan tiga lagu baru dan dua lagu lagi yang
'rerecord'. Pada masa itu Hillary adalah selaku pemuzik undangan sahaja dan
kami tiada 'plan' untuk meneruskan muzik Cromok, lagipun 'contract' bersama EMI
tamat selepas tiga album." Selepas
album ini mereka kurang aktif tetapi masih mendapat publisiti meluas tetapi
penjualannya tidak dapat menandingi album-album sebelumnya. Spekulasi bahawa
Hillary yang merupakan bekas gitaris Search bermain untuk Cromok menerawang di
permukaan reputasi mereka ketika itu dan ahli-ahli kumpulan lagenda ini lebih
selesa membiarkannya sebagai satu realiti yang diselubungi enigma.
'Image of Purity' dikeluarkan semula
(remastered) pada tahun 2000 buat kali ketiga selepas VSP yang sebelum ini
pernah mencetaknya untuk kali kedua sekitar 1992/93 dengan tajuk 'Image Of
Purity + Live'. Kali ini menampilkan dua lagu baru yang keras seperti mana
dahulu. "EMI mahukan 'the whole Cromok collection under their label'.
Kontrak bersama VSP tamat dan kami pindahkan 'master copy' ke EMI. Maka album 'remastered' keluar bersama dua
lagu 'live' yang di petik dari konsert kami di Life Centre," dan buat
pertama kalinya 'Image of Purity' dikeluarkan dalam format cakera padat (CD)
dengan kelebihan penambahan proses 'remastering' yang lebih menyegarkan.
Meskipun begitu, keluaran tersebut masih tidak dapat menandingi versi kaset
sebelum ini yang dianggap lebih klasik serta 'cult' kerana kulit album, susun
atur dan foto-foto lama Cromok jauh lebih terkesan daripada segi nilai
klasikalnya.
Album keempat 'What's Left' (2000) secara
rasminya memperkenalkan Hillary sebagai gitaris baru yang mengambil alih posisi
Karl dan menyaksikannya turut menyumbang lagu. Bagaimana mencari keserasian
sedangkan sebelum ini Hillary tidak pernah mendengar pun muzik Cromok atau
irama thrash. Adakah Cromok rasa ia satu pilihan yang tepat? "Ya. Tepat
kerana kami mahukan kelainan dan variasi muzik Nusantara. Hillary pemuzik
berkaliber yang banyak mengajar kami susunan dan olahan muzik seperti
keroncong, Hindustan dan klasikal," komen Sam tanpa bias kepada Hillary
atau Karl yang tidak pernah dinafikan sumbangan besarnya terhadap sound dan
originaliti Cromok. Sedikit masa dahulu, kehadiran Hillary dipertikaikan kerana
tidak sesuai dilihat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Karl kerana
sebab-sebab yang disebutkan tadi.
Cromok menjadi semakin teknikal melalui album
seterusnya 'Defeaning Silence' pada 2002, adakah kamu rasa melalui gandingan
bersama Hillary adalah penyebab utama kepada perubahan tersebut?
"Tidak," menafikan karya tersebut yang masih tidak boleh dilabelkan
sebagai post-thrash metal, "ini adalah 'direction' kami sekumpulan dan bukan
Hillary seorang. Kita perlu mempertingkatkan daya mutu dan keunggulan muzik
kami." Pengalaman luas Hillary sebagai pemuzik sessionis dan terlibat
dalam kerja-kerja penerbitan album turut dibawanya bersama untuk mencorakkan
album tersebut. Selain Hillary, Karl juga pernah berkecimpung dalam bidang
tersebut dan hasil buah tangan sulungnya ialah menerbitkan album pertama death
metal negara, Suffercation 'Day of Darkness' pada pertengahan 1992 juga di
bawah VSP sebagai artis ketiga mereka. Karya tersebut merupakan album death
metal kedua di Asia Tenggara selepas album berkembar (split LP) Abhorer
(Singapura) dan Necrophile (Jepun) pada 1990 di bawah Dicapitated Records
(Greece).
Album terakhir Cromok 'Untitled'
seolah-olah sudah dirancang bahawa ia
merupakan noktah terhadap karya seni kamu. Ia seperti sebuah album selamat
tinggal tetapi tetap sarat dengan riff bermutu dan turut mempunyai keistimewaan
sendiri. "Belum. Noktah bagi kami masih belum dikenal pasti lagi. Kami
masih belum berhenti daripada keingingan untuk mengarang muzik, walaupun kami
tidak aktif," sanggahnya dan memberi satu petanda Cromok yang amat sinonim
dengan simbol kuda bertanduk atau unicorn ini masih bernafas tetapi cuma
berhenti seketika setelah dua dekad dengan perjalanan tidak terlalu prolifik.
Cromok sentiasa berteka-teki dengan status mereka kerana biasanya akan muncul
dengan produk baru secara tiba-tiba dan selepas itu akan senyap kembali tanpa
disedari khalayak metal mania.
Melalui enam album boleh dinilai evolusi muzik
Cromok tanpa mengabaikan akar muzik kamu tetapi diserikan dengan unsur
eksperimental serta menyelitkan pelbagai pembaharuan seperti instrumen dan
elemen kemelayuan, orkestra, instrumental dan sebagainya. Manakah album yang
paling bersejarah dan cukup meninggalkan kesan sehingga kini.
"Semua," pantas perkataan itu terpacul dari mulutnya serta
menyifatkan setiap album mempunyai keistimewaan atau keunikan tersendiri
walaupun berlaku sedikit perubahan line-up. Sukar baginya untuk memilih yang
terbaik atau terburuk antara karya mereka. Setelah enam buah album dihasilkan,
boleh dijustifikasi bahawa Cromok tidak pernah menggadai maruah, prinsip dan
pegangan muzik mereka terhadap sebarang bentuk ikutan muzik metal semasa malah
dilihat tidak terikat dengan thrash secara tematik seperti di awal kemunculan.
Thrash adalah satu bentuk refleksif paling sesuai untuk mendefinasi citra
muzikal mereka meskipun sudah melalui beberapa peringkat evolusi.
Setelah enam album dipertaruhkan dalam
gelanggang metal Nusantara serta berpeluang menggegarkan pentas-pentas prestij
seperti di Hard Rock Cafe, Rock The World V, TV8 dan Planet Hollywood khususnya
di ibu negara, Cromok diangkat ke singgahsana. Pada 2007 selepas 20 tahun
Cromok ditubuhkan, anak syarikat EMI, Clockwork Records mengeluarkan album tribute
'Hail To The King 1987-2007'. Menampilkan 12 buah band dan daripada semua,
kumpulan mana paling disukai pembawakan lagu Cromok dan mengapa? "Secara
jujurnya Zul, aku tak pernah dapat pun album tribute ni. Apa yang aku dapat
dengar adalah dua tiga buah lagu itu pun melalui internet dan rakan-rakan.
Beberapa 'sample' yang dapat saya dengar daripada rakan-rakan memang sungguh
menakjubkan. Mereka buat lain dari versi asal dan ini yang bagus, kalau sama ja
lebih baik tak payah cover Cromok. Ada satu band tu apa nama dia, yang ada
anggota perempuan tu?" Amethyst! "Ha Amethyst, band ni bawak memang
lain daripada Cromok. Miji dengan Karl aku tak tahula dapat ke tidak album
tribute ni, memang tak sangkala ada orang yang sanggup buat album ni (gelak)."
Terbaru EMI mengeluarkan semula semua album
yang pernah dirakamkan Cromok dalam satu box set khas 'Anthology' tetapi
malangnya dikeluarkan tanpa menyertakan bonus tambahan seperti gambar band atau
cerita ringkas di sebaliknya. Kompilasi ini sepatutnya mempunyai pelbagai
keistimewaan khas bagi Cromers! "Kompilasi ini merupakan satu bonus untuk
Cromers. Sebanyak enam keping CD pada
harga terendah untuk satu pakej.
Sekiranya
gambar cerita ringkas diselitkan maka itu boleh dikira 'additional bonus' untuk
mereka tetapi tidak dapat dilakukan." Apa tujuan 'Anthology' diterbitkan
sedangkan EMI sendiri sudah lebih setahun berkubur, adakah tujuan label ini
semata-mata mahu mengaut keuntungan dalam keadaan industri muzik yang serba
tenat? "Mungkin, EMI pun sekarang dah tutup buku tetapi mereka masih
pegang 'copyright' album-album kami. Biasala label mana yang tak nak buat
duit."
Bagaimana kamu melihat perkembangan muzik rock
sekarang termasuk isu black metal yang pernah dan masih lagi dimainkan pihak
media massa? "Isu black metal, ada kebaikan dan keburukan kerajaan
membenteras muzik ini. Antaranya telah memperkecilkan punca pendapatan dan
perkembangan muzik tanahair. Isu ini sekiranya tidak dibendung dari awal ia
mungkin mendatangkan mudarat bagi masyarakat yang prihatin. Kita perlu menegur
antara satu sama lain dan tidak bersikap mementingkan diri." Pendapat
peribadi macamana daripada sudut menyekat pemuzik untuk berkarya?
"Pendapat peribadi aku, pemuzik perlu diberi kebebasan memilih jenis dan
pembawakan mereka tersendiri untuk mewarnai dunia dan industri muzik tetapi
perlu ada garisan dan panduan yang bersesuaian. Media pun sama, jangan membuta
tuli, selidik dulu betul-betul sebelum buat tuduhan yang tidak masuk akal,
kesianla mat-mat metal yang tidak bersalah."
Sekarang semua anggota asal Cromok sudah
menetap semula di Kuala Lumpur dan pada masa hadapan adakah sebarang
kemungkinan Cromok kembali proaktif? Apa halangan utama untuk Cromok
menghasilkan album baru dan pernahkah berbincang mengenai perkara ini?
"Susah nak cakap, masa yang akan menentukan. Keinginan untuk main muzik
memang ada tapi masa amat terbatas, masing-masing sibuk dengan kerja dan
keluarga. Kami susah untuk berkumpul, masa kerja aku tak sama dengan Miji atau
Karl, masa aku keja diorang rehat, bila aku ada masa lapang diorang pulak
kerja. Aku kerja siang diorang kerja malam (ketawa). Kami semua kerja sendiri.
Aku masih dengar lagi rock, metal dan juga pelbagai muzik lain, ini sudah
menjadi darah daging kami. Selain itu, faktor umur juga adalah salah satu
penyebabnya, kami semua dah berumur, dekat-dekat nak masuk pertengahan 40-an,
jadi terbatas sikitla nak buat apa pun."
Ditanya kemungkinan melakukan reunion, Sam
berkata: "Aku dah malas nak main muzik disebabkan hal-hal yang disebutkan
tadi. Sebenarnya kami masih terima pelawaan untuk melakukan reunion 'show' tapi
terpaksa tolak kerana tak dapat bagi jaminan boleh penuhi sebarang undangan.
Kalau orang beri masa tiga bulan pun belum tentu kami dapat beri komitmen, jadi
daripada buat orang marah lebih baik tolak." Ada cipta lagu baru?
"Setakat ni memang takde apa lagi perancangan untuk buat album. Tapi
tengoklah macamana, mana tau tiba-tiba nak main semula (ketawa)."
Bagaimana bentuk album baru jika Cromok kembali bersatu? "Ni soalan yang
susah nak jawab atau memang tak dapat jawab." Kembali kepada muzik asal
atau terus melakukan kesinambungan terhadap perjalanan album yang terakhir
'Untitled'? "Yang ni lagila tak boleh jawab (ketawa besar)."
Macamana dengan kehidupan sekarang, adakah
anggota-anggota Cromok pernah menyesal kerana tidak memilih bidang muzik
sebagai karier sepenuh masa atau adakah pilihan yang dibuat pada awal '90-an
adalah tepat iaitu menjadikan muzik sebagai satu hobi? "Ya, kami masih
menganggap sebagai satu hobi utama. Kami tidak pernah menyesal kerana tidak
menjadi pemuzik sepenuh masa kerana itu bukan matlamat asal pun. Bagi kami apa
yang dicapai sehingga kini pun sudah memuaskan." Kata-kata akhir untuk
semua peminat yang masih setia menanti dan penutup kepada temuramah ini, mungkin
ada apa-apa lagi yang tertinggal? "Thanks to all involved in 20 years time
frame. The list goes on and on… you know who you are. Interview ni paling
gilala pernah dapat (ketawa) yang menyentuh semua sejarah Cromok termasuk
cerita-cerita yang belum pernah diketahui peminat kami."
FULL ARTIKAL : http://www.majalahkarisma.com/portal/index.php?option=com_content&view=article&id=446:cromok-akhirnya-melakukan-reunion&catid=1:latest-news