Beliau berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas seluar yang dipakainya itu menyukarkan pergerakannya untuk menyelamatkan diri.
“Saya dan penumpang lain menyedari air mulai masuk melalui pintu belakang bot dan kami bertindak memecahkan cermin keselamatan bot untuk keluar selamatkan diri. Saya terpaksa tanggal seluar dan melepaskan beg untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu tidak mudah kerana cermin keselamatan yang sempit dan keadaan kelam-kabut dan sesak dengan penumpang.
“Selepas keluar dari tingkap keselamatan bot, badan saya kejang, tetapi terpaksa kuatkan hati berenang ke kawasan berbatu di tengah sungai untuk menunggu diselamatkan,” katanya.
Rumah panjang itu adalah antara dua dari rumah panjang yang diguna untuk menempatkan mangsa bot karam yang selamat. Sebuah lagi ialah Rumah Panjang Uma Tanjong.
Emerita, 27, yang menaiki bot dari Kem Pembalakan di Bakun untuk pulang ke kampungnya di Rumah Panjang Benggau Nanga Sut Balleh, Kapit, hilang semua dokumen peribadi.
“Saya balik nak sambut Hari Gawai, dah jadi begini, rasa seronok nak sambut dah hilang,” katanya.
Bagi Sultan Usar, 40, suasana ketika itu kelam-kabut dengan penumpang berusaha selamatkan diri tanpa bantuan petugas bot ekspres itu.
“Keadaan ketika itu ‘bersepah’, masing-masing cuba selamatkan diri, saya sendiri yang sudah berjaya keluar dari bot hampir lemas kembali selepas kaki tersangkut dan bot ekpres itu yang tenggelam ‘menarik’ saya,” katanya.
Sultan yang bekerja di kem pembalakan di Bakun dan menaiki bot ekspres menuju ke kampungnya di Rumah Panjang Undi Sg Bena, Kapit bersyukur terselamat dan masih dapat sambut Hari Gawai.
“Sangat bersyukur kerana saya dan 13 rakan sekerja dari kem yang sama menaiki bot ekspres itu terselamat, namun sedikit kecewa kerana pengendali bot langsung tidak beri arahan selamatkan diri, sebaliknya sibuk menyelamatkan enjin bot,” katanya.
Terpaksa, tiada pilihan selain jalan darat yang terlalu jauh untuk pulang ke kampung, menyebabkan Philip Duren, 41, menaiki bos ekspres itu walaupun terpaksa duduk di atas bumbung.
“Saya beli tiket berharga RM50, sama harga seperti penumpang duduk dalam bot ekspres, tetapi sebab nak balik sambut Hari Gawai saya naik juga walaupun terpaksa duduk atas bumbung,” katanya.
Philip berkata, dalam kejadian itu, dia bersama anak, Rosek Philip, dalam perjalanan dari Kem Pembalakan Sy Sin Yang Lakin B, Bakun menuju ke kampungnya di Nanga Merit, Kapit untuk bercuti 10 hari sempena Hari Gawai.
“Sudah lima tahun saya bekerja di Kem Pembalakan Sin Yang, sejak dari Lakin A hingga sekarang ke Lakin B, tiap kali balik ke kampung untuk sambut Hari Gawai atau Hari Krismas, kena duduk atas bumbung...ini dah jadi perkara biasa, sebab itu saya tidak kisah kali ini untuk duduk atas bumbung,” katanya. - Bernama