Sharnaaz Ahmad: "Jadilah seperti seorang lelaki"
Aktor "Juvana", Sharnaaz Ahmad akui
enggan ambil kisah akan kenyataan yang dikeluarkan oleh ayah kepada
teman wanitanya, ND Lala yang memberitahu rasa diketepikan selepas
Sharnaaz bertegas akan merisik Shila Amzah pada Mac ini.
Dipetik dari laman sesawang Murai, Sharnaaz memberitahu dia tidak
terkejut apabila membaca kenyataan ND Lala yang dipetik dari Harian
Metro. "Terpulanglah dia hendak cakap apa. Saya tidak terkejut apabila membaca kenyataan dia. Sebab itu memang caranya. Tapi kalau saya hendak datang merisik atau meminang Shila, sudah tentu saya akan berjumpa dengan dia dan isterinya," ujar Sharnaaz yang memberitahu sedia untuk berjumpa dengan ayah teman wanitanya itu bila-bila masa sahaja.
Tambahnya lagi, "Banyak orang kenal siapa dia, tapi orang malas hendak cerita. Janganlah gunakan media untuk bercakap tentang hal ini. Hal peribadi, biarlah kita selesaikan secara peribadi. Jadilah seperti seorang lelaki."
Sharnaaz turut memberitahu ibu bapanya turut terkilan dan marah selepas membaca kenyataan ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh.
"Takkanlah saya hendak pergi merisik atau meminang tanpa kehadiran ibu bapa saya.
"Dia cakap saya ini kurang ajar. Tapi dalam hal ini, kita kena sama-sama saling hormat. Bukan yang muda saja kena hormat yang tua. Tapi yang tua juga kena hormat yang muda juga."
BACA: ND Lala berang dengan Sharnaaz
BACA: Sharnaaz tetap mahu merisik Shila Amzah
BACA: Sharnaaz akui mengkongkong Shila Amzah
Sharnaaz turut memberitahu bahawa dia tidak akan mudah putus asa dengan perkara ini.
"Entahlah, saya tak tahu nak cakap apa lagi. Saya tak putus asa. Namun jika saya terus hantar rombongan merisik atau meminang, tetapi dia tidak terima, bagaimana?
"Dalam hal ini, saya sebenarnya kesian pada dia. Sebab dia sebenarnya yang memalukan diri sendiri dengan cara dengan tindakannya terlalu yakin itu. Tak perlulah hendak jadi yakin sangat."
Sharnaaz turut berharap pihak media akan bertanya kepada Shila kerana baginya, teman wanitanya itu sudah pun dewasa.
"Saya rasa biarlah dia yang bercakap. Sebab keputusan terletak di tangan dia. Malah dia pun dah besar panjang. Saya yang hendak kahwin dengan dia, bukan dengan bapa dia. Jadi tanyalah kepada tuan empunya badan sendiri."
Sebelum ini dipetik dari Harian Metro, ND Lala telah menegur Sharnaaz kerana bersikap terlalu terbuka dengan hubungan cintanya dengan pelantun lagu "Patah Seribu" itu.
Malah ND Lala turut meminta agar jangan biadap dan mengenepikan dirinya dan isteri sebagai ibu bapa Shila selepas mengeluarkan kenyataan bahawa dia akan tetap merisik Shila pada Mac akan datang walaupun dihalang oleh bapa penyanyi tersebut.