Sesudah 95 kilometer dari plaza tol Ipoh Selatan (Ampang), pemandu
kenderaan harus mula bersedia untuk membelok ke kiri, iaitu keluar
menerusi plaza tol Bandar Baharu, Kedah. Perjalanan perlu diteruskan
menuju Parit Buntar, tetapi bukan ke arah pusat bandar. Sebaliknya,
pemandu hendaklah terus ke arah Hospital Parit Buntar dan kompleks
sekolah.
Tidak jauh dari situ sudah kelihatan deretan kenderaan diletakkan di
pinggir jalan, manakala pergerakan lalu lintas juga mulai perlahan.
Keadaan itu hanya berlaku pada setiap hari Sabtu apabila kawasan
berkenaan menjadi tumpuan pengunjung yang hendak mendapatkan pelbagai
barang yang diniagakan oleh masyarakat Kemboja dan Indonesia, manakala
peniaga tempatan tertumpu kepada jualan makanan dan minuman.
sebelah kiri negeri Perak, sebelah kanan pula Pulau Pinang,
Jalan Sempadan menjadi pemisah
Urus niaga bermula seawal pukul tujuh pagi dan berakhir lewat tengah hari. Tapak perniagaan yang dikenali sebagai Pasar Kemboja itu pernah ditutup beberapa bulan akibat aduan penduduk tempatan tentang gangguan lalu lintas dan urusan persekolahan. Pada ketika itu, perniagaan dijalankan dengan kekerapan dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Jumaat.
Setelah berlaku perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan kedua-dua
buah negeri yang bersempadan, hari Sabtu dipersetujui sebagai ganti.
Namun, terdapat ura-ura bahawa sebuah masjid berhampiran kampus UiTM
Kerian hendak menawarkan sewaan tapak tanah wakaf kepada peniaga. Urus
niaga di sana akan memberi tumpuan terhadap jual beli secara borong
sahaja.
Maka, Pasar Kemboja yang dibuka untuk pengunjung dalam kalangan orang
awam ditetapkan pada setiap hari Sabtu di tapak yang lama. Penduduk
tempatan, walaupun mungkin mengalami kesesakan lalu lintas dan susana
ramai, namun boleh mengambil kesempatan untuk turut menjalankan
perniagaan.
Tapak perniagaan Pasar Kemboja hakikatnya bukanlah kawasan tanah lapang,
padang atau laluan jalan yang ditutup secara khusus. Pasar Kemboja yang
sudah berusia melebihi satu dekad itu pada asalnya bermula secara
kecil-kecilan sebagai tempat pertemuan antara pemborong Kemboja dengan
peniaga pasar malam di kawasan utara semenanjung. Mereka menyewa tapak
laman hadapan rumah penduduk tempatan.
Lama-kelamaan, berita urus niaga berkenaan tersebar seperti viral
dalam internet yang menggamit pembeli dalam kalangan penduduk sekitar
dan bandar berdekatan. Bilangan peniaga Kemboja pula semakin bertambah
sejajar dengan permintaan yang menggalakkan. Kini, sewa tapak untuk satu
lot (sebesar saiz satu khemah) ialah RM300 sebulan, atau RM75 untuk
sekali berniaga pada hari Sabtu.
Seorang peniaga Melayu yang hanya membuka meja untuk menjual cadar import dari China memberitahu bahawa dia turut menggunakan facebook
untuk menyertai urus niaga atas talian. Setelah bayaran dimasukkan oleh
pelanggan ke dalam akaun bank yang dinyatakan, cadar akan dihantar
menerusi perkhidmatan kurier dengan caj tambahan sebanyak RM10 daripada
harga senarai.
Seorang pengunjung yang ditemui mengatakan bahawa dia tidak perlu ke
Vietnam untuk mendapatkan kain pasang atau ke Bandung untuk membeli
telekung sulam kerana di Pasar Kemboja semuanya sudah ada. Malah, harga
yang ditawarkan lebih murah. Berita seperti itulah yang menjadi buah
mulut yang tersebar hingga warga Kuala Lumpur sanggup turun ke Parit
Buntar.
Kunjungan ke Pasar Kemboja bermakna lawatan ke tiga buah negeri sekali
gus, iaitu Perak (utara), Kedah dan Pulau Pinang. Selain itu, kegigihan
masyarakat Kemboja merantau ke negara orang untuk mencari rezeki
akhirnya dilimpahi dengan kemewahan hingga berjaya memiliki rumah dan
kenderaan yang besar. Masyarakat tempatan hanya mampu memandang dan
terus menjadi pengguna biasa.
Seorang pesara jabatan pemetaan yang kini berusia 70 tahun yang ditemui
di warung sarapan pagi dekat situ juga berkata warga Kemboja memiliki
kemahiran yang lain. Dia membawa isteri untuk mendapat rawatan urut
daripada wanita Kemboja yang menyewa rumah abangnya. Banyak lagi cerita
yang dapat dikutip untuk cerita selanjutnya ...
sumber : http://cikguazharrodzi.blogspot.com/2014/01/pasar-kemboja-tawan-sempadan-dua-negeri.html
sumber : http://cikguazharrodzi.blogspot.com/2014/01/pasar-kemboja-tawan-sempadan-dua-negeri.html