Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah memerintahkan pengarah Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat produksi Juara Filem Production Sdn Bhd membayar ganti rugi RM170,100 kepada Johan Raja Lawak dan isterinya berikutan kes saman berhubung kecederaan yang dialami pelawak itu dalam penggambaran di sekitar Negeri Sembilan pada 2010.
Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos perubatan RM100 kepada Johan serta faedah lima peratus kepada Johan bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.
Mahkamah turut memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri pelakon dan pelawak itu, Rozlinawaty Ismail serta faedah lima peratus bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos RM50,000 kepada pasangan suami isteri itu.
Dalam penghakimannya, Su berkata mahkamah mengambil kira bahawa plaintif merupakan seorang pelakon dan bergantung kepada wajahnya untuk mencari sumber pendapatan.
"Kecederaan yang dihadapi pada wajah Johan menyebabkan parut kekal dan sebagai seorang pelakon Johan bergantung kepada wajahnya untuk mencari pendapatan, akibat daripada kecederaan itu telah menjejaskan kerjayanya sebagai seorang pelakon," katanya.
Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.
SUMBER : http://mediahiburan.karangkraf.com/johan-raja-lawak-menang-kes-saman-rm170-100-1.297367