SOAL Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal disentuh dalam Bajet 2014 menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.
	
	Bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung GST, Sinar Harian Online 
berpeluang menemu bual Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal 
Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.
	
	Ikuti temu bual kami bersama beliau bagi memberi sedikit pemahaman kepada orang awam berhubung GST.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Apakah GST itu sebenarnya?
	
	WAN SAIFUL: GST adalah satu bentuk cukai yang 
dikenakan ke atas setiap barang dan perkhidmatan yang kita beli. Ia 
bukan satu perkara baru sebenarnya. Lama dah ada tapi kita tak perasan. 
Kita panggil sebagai cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
	Apa yang dicadangkan oleh pihak kerajaan, ialah untuk menyatukan dua bentuk cukai menjadi Goods and services tax (GST).
	
	Sebelum ini, kadar yang dikenakan sebenarnya agak tinggi juga. Satu 6 
peratus (%), satu lagi 10%. Tapi apabila GST diperkenalkan ataupun jika 
GST diperkenalkan, kalau tak silap saya, kadar cukai yang sedang 
dibicarakan sekarang 4% lebih kurang. Jadi, kalau satu lagi cara 
kerajaan nak mempelbagaikan sumber pendapatan, yang mana semua orang 
sepatutnya kena bayarlah.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, berapa sebenarnya kadar yang sesuai dikenakan jika ia mahu dilaksanakan?
	
	WAN SAIFUL: Untuk menentukan kadar cukai ini 
sebenarnya, bukan satu proses yang mudah, yang boleh kita kata, okey 5%.
 Ia bukan seperti itu. Yang pastinya, banyak perkiraan. Kadang-kadang 
bukan perkiraan ekonomi semata-mata. Ada juga perkiraan politik yang 
perlu diambil kira. Contohnya, katalah kadar yang sepatutnya bila dikira
 dari segi ekonomi sepatutnya 10%. Kemudian, timbul persoalan dari segi 
politik. Adakah 10% ini akan menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan 
kerana tiba-tiba mengenakan cukai tersebut. Maka, kerajaan kena ambil 
kira dua-dua perkara. Jadi, hubungan antara politik dengan ekonomi tidak
 dapat dinafikan dan ia satu fakta.
	
	Saya rasa, mahu atau tidak mahu ia akan bermula dengan satu kadar yang 
rendah. Tetapi jika dilihat dari negara-negara yang lain, sebenarnya 
kadarnya lebih tinggi. Di UK sekarang tak silap saya lebih kurang 20%, 
di AS kadarnya berbeza mengikut negeri. Kadar itu suatu perkara yang 
berbeza-beza antara satu negara dengan negara lain.
	
	Yang hampir pasti adalah sekali dimulakan, setiap tahun pasti akan 
naik. Kalau tak naik tahun ini, pasti naik tahun depan. Cukai ini, 
sekali wujud mesti akan naik. Jadi, saya jangkakan apabila dimulakan, 
saya hampir pasti akan dimulakan, ia akan bermula dengan kadar yang 
rendah. Yang sekarang disebut-sebut oleh orang ramai adalah 4%.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Apa impak pelaksanaan GST kepada kerajaan?
	
	WAN SAIFUL: Dari segi pelaksanaan GST, yang pastinya 
harga barangan akan menjadi berbeza daripada sekarang. Jadi, yang 
pastinya, jika harga sekarang RM10, apabila dikenakan GST sebanyak 4%, 
maka harga pasti akan naik sebanyak 4%. Itu tidak dapat dielak sebab ada
 cukai baru. Tetapi ia boleh diseimbangkan. Sekiranya kerjaan mengatakan
 bahawa mereka menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan, jadi, mungkin
 akan berlaku proses penyeimbangan di situ, di mana apabila cukai 
diperkenalkan, ada cukai dihapuskan. Jadi, mungkin ia akan turun jadi 
tengah-tengah balik. Akibatnya, kalau naik pun, akan naik sedikit. 
Malahan ada juga ahli ekonomi yang kata apabila kajian dibuat, sekiranya
 GST diperkenalkan, maka harga barang akan turun dulu sedikit. Kerana 
GST diperkenalkan kadarnya lebih rendah daripada gabungan cukai jualan 
dan pekhidmatan. Jadi, impak kepada harga barangan secara segera kita 
tak dapat nak jangka sekarang sebab ia bergantung kepada kadar yang 
ditentukan.
	
	Tapi dari segi kerajaan pula, impak yang pasti akan berlaku adalah 
kerajaan akan dianggap tidak popular sebab rakyat akan mula mengatakan 
bahawa kerajaan mengenakan cukai. Sebelum ini tak ada cukai. Itu tak 
betul. Sebelum ini dah ada cukai, sekarang ini ditukar dalam bentuk 
cukai yang lain.
	
	Tapi saya sebenarnya secara prinsipnya, secara umumnya, saya agak tidak
 menyukai cukai-cukai baru. Sebab bagi saya, rakyat bekerja keras untuk 
mendapatkan sumber pendapatan masing-masing, tiba-tiba kerajaan 
mengenakan cukai sebab kerajaan tak cukup duit. perkara ini pada saya 
agak janggal berlaku. Kerajaan belanja berlebihan, rakyat pula kena 
bayar. Tapi walau bagaimanapun, dalam hal GST ini ada sedikit 
pengecualian yang mana saya rasa GST ini bagus dilaksanakan. Sebab, 
orang ramai bercakap mengenainya. Sebelum ini, istilah yang sering kita 
gunakan ialah duit kerajaan. Sedangkan duit kerajaan itu tak wujud. 
Sebenarnya ia duit rakyat. Apabila rakyat merasakan mereka membayar 
cukai dan dia sedar bahawa kerajaan mengenakan cukai maka, bagi saya, 
apa yang akan berlaku ialah rakyat menuntut lebih banyak akauntabiliti 
daripada kerajaan. Walaupun secara umumnya, saya tidak menyukai 
pengenaan cukai pada rakyat tapi dalam hal ini, saya rasa ada faedah 
dari segi jangka panjang, demokrasi dan akauntabiliti dalam negara, ia 
agak positif.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Implikasi pelaksanaan GST 
terhadap golongan pertengahan ke bawah dan tidakkah GST ini akan 
menambah beban rakyat berpendapatan rendah?
	
	WAN SAIFUL: Saya rasa masih terlalu awal untuk kita 
nak jangka, ia menambah beban rakyat atau mengurangkan beban rakyat 
sebab ia amat bergantung kepada kadar yang dikenakan. Jika kadar rendah 
dan dihapuskan cukai jualan dan perkhidmatan, maka harga barang mungkin 
turun. Jadi, ia bergantung pada kadar yang dikenakan. Saya rasa kita tak
 boleh buat judgement awal terhadapnya. Tapi yang pastinya ialah, kalau 
rendah sekalipun sekarang dalam masa 5, 10, 15 tahun, saya pasti ia akan
 naik.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Negara Asean yang melaksanakan GST dan bagaimana kesannya kepada negara dan rakyat itu sendiri?
	
	WAN SAIFUL: Biasanya, kebanyakan negara memang ada 
GST. Di sebelah selatan, di Singapura, memang ada. Banyak juga negara 
lain yang melaksanakan GST.
	
	Dari segi kesannya kepada sumber kewangan negara sudah tentu ini 
mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada satu-satu sumber tententu. 
Contohnya, dalam konteks Malaysia, kalau kita nak mempelajari pengalaman
 daripada negara lain. Kita amat bergantung kepada pendapatan daripada 
minyak dan gas. Jadi, dengan adanya, cukai seperti GST, maka diharapkan 
kebergantungan kita kepada Petronas boleh berkurangan. Petronas boleh 
menggunakan pendapatan untuk pelaburan dan membangunkan syarikat kepada 
lebih baik.
	
	Dalam bahasa mudahnya, asas cukai, sumber pendapatan negara akan menjadi lebih luas.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Jika GST mahu dilaksanakan, apa sebenarnya yang kerajaan perlu ambil perhatian?
	
	WAN SAIFUL: Saya rasa pendidikan terhadap rakyat itu 
amat penting. Sekarang ini, saya juga agak kecewa melihat kualiti 
perdebatan kita sebab apa-apa isu timbul, terus nak dijadikan isu 
politik kepartian. Satu parti kata nak buat, satu parti bantah. Satu 
parti bantah, satu parti kata bantahan itu salah. Ia menyebabkan kualiti
 perbincangan kita turun kepada satu tahap yang amat rendah sebenarnya. 
Iaitu sama ada parti aku yang betul atau parti kau yang betul, tak ada 
cara tengah-tengah. Mungkin sebenarnya, ada fakta yang dilupakan.
	
	Saya rasa dalam proses persediaan ini, kita perlu meningkatkan kualiti 
penyampaian kita. Saya rasa peranan media sebenarnya amat besar untuk 
memastikan rakyat faham bahawa GST ini ada kebaikan dan keburukan. 
Impaknya pasti akan ada. Pada peringkat awal, harga barang mungkin 
turun. Saya tak pasti. Bergantung kepada kadar. Tapi dalam jangka 
panjang, ia pasti akan naik.
	Jadi, pendidikan itu amat penting. Pendidikan itu perlu disertakan 
dengan proses menyedarkan rakyat bahawa sekarang apabila anda semua 
membayar cukai, maka anda perlu menuntut lebih banyak 
kebertanggungjawaban daripada kerajaan, jangan sambil lewa, seolah-olah 
duit itu tiada kena mengena dengan kita.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Encik Wan menyebut mungkin kerajaan akan menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan, jadi kemungkinan itu...
	
	WAN SAIFUL: Saya rasa memang tujuan kerajaan mewujudkan GST untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
	
	SINAR HARIAN ONLINE: Nasihat atau cadangan Encik Wan untuk rakyat sendiri untuk berdepan dengan perkara ini?
	
	WAN SAIFUL: Kita kena sedar bahawa cukai ini ialah 
satu bentuk pengambilan dana daripada rakyat yang dilakukan oleh 
kerajaan. Kalau rakyat tidak membayar cukai, maka boleh dikenakan 
tindakan.
	Kalau nak beri dalam bahasa yang mudah, sebenarnya perbezaan antara 
cukai dengan mencuri sedikit sahaja sebenarnya. Mencuri salah di sisi 
undang-undang. Cukai halal sebab ada undang-undang yang menghalalkannya.
 Tapi kedua-duanya adalah proses pengambilan wang daripada A untuk 
diberi kepada B. Satu berlaku dengan cara paksaan dan satu cara yang 
dihalalkan oleh Parlimen. Tapi tetap paksaan juga sebab kalau tak bayar,
 masuk penjara.
	
	Jadi, itu prinsip asal cukai. Sebab itu penting rakyat sedar kita kena 
ambil peduli bagaimana wang ini dibelanjakan kerana ianya diambil 
daripada kita secara paksa. Tapi kita kena sedar juga bahawa proses 
pembayaran cukai ataupun tindakan membayar cukai adalah tanggunjawab 
sebab sekiranya tidak ada cukai yang dikenakan, semua perkhidmatan awam 
yang kita nikmati sekarang, tak dapat diberikan.
sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/gst-dan-kesannya-kepada-rakyat-1.211853